Sabtu, 22 September 2012

Sejenak bersama tokoh seniman-PM Kusardy

Tags




SEJENAK BERSAMA TOKOH SENIMAN, PM KUSARDY

Polim Maulana Kusardy (PM Kusardy) lahir di Tegal tetapi dibesarkan di kota Bandung,Jawa Barat. Beliau mula meminati seni sejak berusia lima tahun. PM Kusardy mendapat pendidikan awal di Bandung sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Padjajaran Bandung dalam bidang karya seni tari dan moden. Sejak 1968, beliau telah mencurahkan khidmat baktinya  membimbing dan mengajarkan seni persembahan seperti tarian, pencak silat dan muzik etnik tradisi khususnya angklung di Malaysia, Singapura dan Brunei.  PM Kusardy merupakan salah seorang pengasas Kumpulan Viatikara, sebuah kumpulan kesenian yang terkenal di Indonesia. Sepanjang penglibatannya sebagai salah seorang koreografer tari yang terkemuka, beliau telah membuat persembahan di hadapan tokoh-tokoh besar seperti Bung Karno, Pak Harto, mantan Presiden Indonesia, Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr.Mahathir Mohammad, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens, dan ramai lagi.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN bersama pensyarah Sekolah Pengajian Seni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Suhaimi Magi menemui PM Kusardy di rumahnya yang penuh khazanah seni di Kampung Likas, pada satu pagi yang cerah untuk berkongsi pengalaman sejak berkecimpung dalam dunia seni di Sabah pada tahun 1968.

UTUSAN BORNEO:  Bagaimana mulanya Pak Polim minat dalam seni?
PM KUSARDY:           Saya mula minat dalam seni sejak umur lima tahun di majalengka. Waktu itu saya masih kecil. Sebelum pendudukan Jepun. Saya juga sering ke rumah Asisten Residen, ada pendopo, tempat masyarakat selalu datang. Saya suka nonton wayang orang, satu-astunya wayang orang di Cirebon, daerah pesisir Pulau Jawa.Waktu itu belum ada fikiran untuk menjadi orang seni. Selepas itu, saya giat dalam bidang kesenian, juga giat dalam pramuka (pengakap). Selepas agresi kedua, iaitu ketika Belanda menyerang Republik, kami mengungsi lagi ke Bandung. Saya sekolah di sana, meningkat dewasa dan terus mendalami ilmu kesenian . Di Indonesia, bersama rakan-rakan, kami sempat menubuhkan Kumpulan Viatikara, sebuah kumpulan kesenian yang cukup terkenal di Indonesia, dan telah membuat persembahan hingga ke luar negeri

UB:      Boleh Pak Polim ceritakan bagaimana mulanya sampai ke Sabah?
PK:       Ketika itu, Kumpulan Viatikara sedang mengadakan persembahan di Sarawak. Malaysia dan Indonesia baru saja selesai konfrontasi. Tun Datu Mustapha mahu kami datang ke Sabah. Kumpulan Viatikara ada seramai 80 orang. Jadi kami diangkut menggunakan pesawat Hercules untuk membuat persembahan di Sabah. Kami membuat persembahan buat pertama kalinya di Semporna. Di atas pentas terbuka.Waktu itu Tun Sakaran, masih lagi menjadi Menteri Belia dan Sukan.
Sebelum itu, panglima Kodam II, AJ Witomo dan rakannya dari Angkatan Tentera Malaysia, Tun Ibrahim Ismail bersungguh-sungguh untuk menjalinkan hubungan baik antara dua negara serumpun melalui seni dan budaya. Kita harus bersahabat terutamanya antara rakyat.

UB:      Tahun berapa itu Pak?
PK:       Tahun 1967.Itulah kali pertama Kumpulan Viatikara membuat persembahan di Sabah.Selepas itu, ada beberapa kali lagi Viatikara datang. Itu juga merupakan kali pertama angklung dipertontonkan di sabah.  Dengan rombongan artis seramai 80 orang dan diangkut dengan Hercules. Sudah tentu ia tidak lepas daripada peranan yang dimainkan Panglima kodam II, AJ Witomo dan rakannya dari Malaysia, Jenderal Ibrahim Ismail. Salah satu usaha untuk mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia adalah melalui kebudayaan dan kesenian. Ketika itu saya, bersama Pak Barli Sasmitawinata mengetuai rombongan manakala Udjo Ngalagena menjadi konduktor dalam persembahan kami. Pak Udjo inilah yang menubuhkan Saung Angklung Udjo, sekolah pertama dan satu-satunya sekolah angklung di Jawa Barat.

UB:      Sejak berada di Sabah, dimana Pak Polim pernah berkhidmat?
PK:       Selepas persembahan Viatikara itu, saya menerima tawaran untuk membimbing belia untuk mempelajari seni tari, pencak silat dan muzik etnik tradisional. Selain membimbing organisasi belia, institusi pendidikan, saya juga mengajar angklung untuk Orkestra Polis Diraja Malaysia (PDRM), Wataniah, Maktab Perguruan Gaya, USIA serta kaum Ibu USNO.

UB:      Selepas itu?
PK:       Setelah itu saya menjadi Pengarah Persatuan Kebudayaan Sabah pada 1977. Di sana saya menubuhkan Sinar Budaya Sabah, sebuah kumpulan angklung yang pernah membuat persembahan ketika pelancaran OISCA-Jepun. Bersama SBS inilah, kami banyak membuat persembahan kepada Ketua-Ketua negara,pemimpin-pemimpin besar , mengadakan pertunjukan amal dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Lion International.

UB:      Apa antara kejayaan pak Polim?
PK:      Antaranya ialah  bersama SBS, kami telah membuat persembahan taridra Puteri Sabah sempena Persidangan Majlis Raja-Raja yang pertama di Kota Kinabalu pada 1980. Persembahan itu mendapat pujian dari ramai kalangan. Pada tahun 1999 pula, sewaktu bertugas di KBRI di Bandar Seri Begawan, saya diminta oleh DYMM Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bokiah untuk menjadi Ketua Koreografi Majlis Perasmian dan Penutupan Sukan Sea ke-20 . Waktu itu, saya mengetuai kira-kira 40 koreografer dari seluruh Asia Tenggara untuk mengadakan persembahan pada majlus perasmian dan penutupan dalam acara gilang gemilang itu.


UB:      Difahamkan Pak Polim juga membimbing pelajar sekolah untuk mempelajari angklung?
PK:       ya, benar. saya pernah membimbing pelajar SMK Sanzac, SK St Joseph, SK Tanjung Aru II dan SK Stella Maris untuk belajar angklung.

UB:      Apa istimewanya muzik angklung Pak?
PK:       Angklung adalah sejenis alat muzik yang diperbuat daripada buluh dalam kategori idiofon.Ia lazimnya terdiri dari dua hingga empat tiub yang diikat pada rangka yang dikenali sebagai `ancak'.Angklung biasanya digetarkan agar ia berlaga antara dua bahagian.Angklung tidak dipukul tetapi ia menghasilkan bunyi kedua bahagian alat muzik ini berlaga ketika ia digetarkan. Antara kebaikan mempelajari angklung ialah Angklung boleh mendidik disiplin diri, supaya mereka lebih fokus, menumpukan perhatian, ekpresif dan proaktif.Ia juga boleh meningkatkan kemahiran, menumbuhkan keyakinan diri dan semangat berpasukan.

UB:      Oh ya.Bagaimana perasaan bapak ketika mula-mula sampai ke Sabah?
PK:       Saya gembira sekali. Waktu itu, Ketua Menteri Sabah, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun adalah penggemar seni.Tun pandai main muzik.Main biola, makanya dia suka angklung. Di Sabah, selain menjadi Pengarah Persatuan Kebudayaan Sabah, saya juga pernah berkhidmat di bahagian protokol Jabatan Ketua Menteri ketika zaman Datuk Harris. Kami berpejabat di Bangunan Sekretariat sebelum pindah ke Yayasan Sabah.Pengarahnya waktu itu, Datuk Benedict Shim.
Seperti yang saya akatakan tadi, kami juga sempat mengadakan pertunjukan Putri Sabah ketika Persidangan Majlis Raja-Raja. Itu yang menarik, satu kenangan yang manis.

UB:      Sewaktu bersama Viatikara, siapa saja yang pernah melibatkan diri dalam kumpulan itu?
PK:       Antaranya ialah Pak Adam Malik dan Ibu Nely. Adam Malik pernah menjadi Naib Presiden Indonesia. Selain itu, kami juga pernah mengadakan persembahan ketika perasmian Hotel Indonesia.Kami membuat persembahan di depan tokoh-tokoh seperti Bung karno.

UB:      Apa beza kegiatan seni dulu dan sekarang?
PK:       Memang jauh, maklumlah dulu belum ada apa-apa.

UB:      Bagaimana pak Polim melihat dunia seni di Sabah khususnya seni tari?
PK:       Di sini banyak yang menarik, yang asli, yang belum digilap lagi.Ini cabaran kepada seniman-seniman muda. dalam dunia seni, tidak seperti olahraga, yang ada ukurannya misalnya berapa jauh lompatannya, berapa meter, dalam seni ukurannya subjektif. Usia seni lebih panjang berbanding usia manusia.

UB:      Mungkin pak Polim mempunyai kenangang tertentu bersama tokoh-tokoh pemimpin Sabah?
PK:       Banyak sekali kenangan bersama pemimpin-pemimpin dan tokoh tokoh di Sabah.

UB:      Ada kenangan bersama Tun Mustapha?
PK:       Wah banyak. Tapi satu kali ketika menyambut ketibaan beliau di lapangan terbang, suasana sempat heboh sedikit kerana ketika tiba itu, beliau mahu disambut dengan nyanyian lagu kebangsaan diiringi angklong. Kami sempat protes tapi Tun sendiri yang minta.Katanya, tidak susah, saya juga yang sambut tabik hormat itu.Biasanya, ia disambut menggunakan band polis.tapi entah kenapa waktu itu, beliau mahu diiringi angklung.

UB:      Kalau dengan Tun Fuad? Ada kenangan manis?
PK:       Tun Fuad Stephens, waktu sebelum kemalangan itu, ketika satu majlis di Labuan, dia menyanyi lagu burung kakak tua, dalam bahasa kadazan dusun, diringi angklung.Itulah kenangan terakhir bersamanya.