Sabtu, 8 September 2012

MESKIPUN MASIH SAMAR,KEDAMAIAN BOLEH DIKECAPI DI MINDANAO

Tags




MESKIPUN MASIH SAMAR, KEDAMAIAN BOLEH DIKECAPI DI MINDANAO


PERDAMAIAN nampaknya masih samar-samar di Mindanao. Belum ada kepastian yang benar-benar pasti mengenai masa depan Wilayah Autonomi Islam di Mindanao yang dihuni kira-kira 4.1 juta orang itu. Tetapi yang jelas, kedua-dua pihak, Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sedang berusaha seinci demi seinci untuk mencipta kedamaian yang berkekalan di wilayah yang bergolak itu.

Sehingga nota  ini ditulis, belum ada pengumuman rasmi mengenai hasil rundingan antara GPH dengan MILF yang berakhir kelmarin di Kuala Lumpur kelmarin. Perundingan yang diadakan buat kali yang ke-31 itu diharapkan setidak-tidaknya membuka jalan yang lebar untuk membolehkan rakyat Mindanao menikmati udara pagi yang lebih segar dan tidur yang lebih nyenyak dalam suasana yang aman, tanpa dentum senjata, tanpa perseteruan dan sengketa.

Mohagher Iqbal mengetuai panel pendamai MILF manakala Marvic Leonen, seorang ahli akademik, pakar undang-undang  yang berwibawa mengetuai panel pendamai Filipina dalam rundingan yang diadakan  pada 5-8 September di Kuala Lumpur. Pertemuan yang sepatutnya diadakan pada 27-30 Ogos lalu terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pengkebumian Jesse Robredo, Setiausaha Luar Bandar dan Kerajaan Tempatan (DILG) yang maut dalam tragedi kapal terbang terhempas di Masbate pada 18 Ogos.

Perundingan di Kuala Lumpur itu dijangka menarik kerana ia membincangkan mengenai perkongsian kuasa, perkongsian sumber alam, kawasan geografi, isu normalisasi dan isu perlembagaan yang menjadi sebahagian daripada agenda perundingan 'The 31th GPH-MILF Exploratory Talks'.

Hasil rundingan antara kedua pihak itu sedang dinanti-nanti oleh pelbagai pihak, bukan saja di Mindanao, di Manila tetapi di seluruh dunia Islam. Mampukah konflik yang telah berkepanjangan sejak ratusan tahun itu diselesaikan melalui perundingan? Apakah solusi yang digunakan di Helsinki antara GAM dan Jakarta boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah di Mindanao?. Apalah tawaran MILF untuk mendapatkan `substate' sebagai jalan penyelesaian untuk menamatkan konflik itu diterima atau apakah bentuk cadangan balas yang akan dikemukakan oleh GPH dibawah kerajaan Presiden Benigno Aquino III?

Persoalan bangsamoro ini tentulah menarik. Bukan saja kerana ia merupakan salah satu konflik terpanjang dalam sejarah khususnya di Asia Tenggara tetapi juga ia mengandungi prospek yang menjanjikan. Mindanao mempunyai sumber alam dan hasil bumi yang belum diteroka.

Kawasan itu berpotensi mengeluarkan minyak dan gas malah pada masa ini, Mindanao menyumbang sebahagian  sumber pendapatan Filipina. Mindanao memiliki simpanan mineral, tembaga dan emas yang paling banyak, sumber hutan juga masih kaya tetapi semua itu tidak akan dapat dinikmati tanpa perdamaian.

Namun, konflik dan kemelut yang melanda Mindanao, yang telah berjuang bagi daulat dan martabatnya sejak penjajahan Sepanyol, Amerika, dan berjuang untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai bangsa yang merdeka sejak 70-an lagi, tidak mudah diselesaikan tanpa mengambil kira semua aspek. Jika diambil kira keluasan ARMM (Wilayah Autonomi Muslim Mindanao) yang mempunyai keluasan 12,288 km persegi terdiri dari Wilayah Maguindanao, Lanao Del Sur, Tawi-Tawi, basilan (Kecuali Isabela City) dan Bandaraya Islam  Marawi.

ARMM mentadbir sebanyak 712 kampung di pulau Mindanao saja..Purata kemuskinan di wilayah itu ialah 45.4 peratus pada 2003, iaitu hampir dua kali ganda berbanding purata di peringkat kebangsaan iaitu 24.4 peratus. Bagaimanapun wilayah Lanao del Sur mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 26.9 peratus, Tawi Tawi dan Sulu mengurangkan kemiskinan antara 18 dan 17.6 peratus.Pada tahun 2003, semua empat wilayah ARMM merupakan antara 10 wilayah termiskin di Filipina tetapi pada 2003, Lanao del Sur, Sulu dan Tawi-Tawi terkeluar dari senarai wilayah termiskin itu, menjadikan hanya Maguindanao sebagai wilayah kedua termiskin di Filipina.

Oleh sebab itu, rakyat khususnya bangsamoro menunggu dengan penuh harap akan hasil perundingan yang dijalankan di Kuala Lumpur itu. Sementara sebahagian besar rakyatnya sangat dahagakan perdamaian, tidak kurang juga yang bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan andainya perundingan itu menghadapi jalan buntu.

Meskipun demikian, selagi ada jalan damai, selagi ada ruang untuk berunding, mereka akan memilih jalur itu. Walaupun sehingga kini belum ada kepastian mengenai hasil rundingan itu, ramai yang yakin akan menemui cahaya selepas melalui kegelapan terowong.  Mereka percaya,  selepas ribut taufan, mereka boleh melihat langit biru.

Tetapi inilah masanya yang tepat untuk menyelesaikan persoalan bangsamoro. Seperti yang dikatakan Ketua Perunding, Mohagher Iqbal, peluang hanya datang sekali. Beliau melihat inilah masa yang terbaik kerana pertama, Bangsamoro sedang dalam suasana untuk menamatkan konflik itu, kedua, pentadbiran Aquino masih menikmati kepercayaan rakyat, dan Presiden Aquino dilihat memberikan dorongan untuk menjayakan proses damai, ketiga, kepimpinan MILF yang kukuh, konsisten dan pragmatik, keempat, masyarakat antarabangsa yang mendesak supaya kedua pihak mengakhiri konflik secepat mungkin, kelima, konflik di Laut Cina Selatan  yang belum selesai dan keeanam, MILF sendiri telah membuktikan bahawa ia rakan yang boleh dipercayai dalam proses damai.

Semoga dua pihak yang bersengketa itu tidak kehilangan momentum untuk menyelesaikan persoalan Bangsamoro di Mindanao. Kita yakin sekiranya kedamaian berkekalan dinikmati oleh masyarakat di Mindanao, semua warga Nusantara akan dapat menikmati kemajuan dan kedamaian dan cita-cita mewujudkan Komuniti Asean 2015 akan lebih mudah dicapai.