Rabu, 26 September 2012

Catatan sekitar Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2010/2011

Tags

Setengah jam sebelum acara bermula, pemenang-pemenang Hadiah Sastera Sabah 2010/2011 sudah berbaris di depan tangga. Malam itu mereka berbaju batik, sementara yang wanita berbaju kurung. Hampir semuanya tersenyum ceria menantikan detik-detik istimewa, yang pastinya jadi kenangan dalam kehidupan mereka sebagai sasterawan di negeri ini.
Sebentar lagi, majlis penyampaian hadiah akan dilangsungkan sebagai bentuk pengiktirafan kepada karya-karya yang mereka hasilkan.Sebelum itu, mereka berbaris sambil menunggu ketibaan tetamu kehormat pada malam bersejarah itu.
Empat kerusi di depan mereka masih kosong.
Kerusi itu dikhaskan untuk Tuan Yang Terutama, Yang Di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Haji Mahiruddin dan isterinya, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Datuk RM Jasni. Dua lagi kerusi, sebelah kanan akan diduduki oleh Timbalan Ketua Pengarah DBP Malaysia, Kamarulzaman Shaharudin manakala sebelah kiri akan ditempati Pengarah DBP Sabah, Haji Jamaluddin Mohd Sulong. 
"Semua 17 pemenang HSS hadir pada malam ini kecuali dua orang, Lokman Abdul Samad kerana ada tugas rasmi di WP Labuan manakala Julia Unggai masih di Amerika Syarikat," kata Rusdi Awang, salah seorang pegawai kanan DBP Sabah yang bertungkus lumus menjayakan majlis itu.
"Sebaik TYT tiba, beliau akan terus bergambar pemenang Hadiah Sastera, selepas itu barulah masuk ke dalam dewan untuk acara selanjutnya," katanya.
Tidak lama kemudian, kedengaran siren berbunyi. TYT tiba dan bersalaman dengan pegawai-pegawai kanan DBP sementara isterinya menerima jambangan bunga.
Selepas wartawan dan jurugambar mengabadikan gambar bersejarah itu, TYT diiringi masuk ke dewan utama sebelum acara dimulakan. Tetamu-tetamu kehormat yang lain iaitu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Haji Ismail, Pengerusi SEDCO, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan, Dekan Sekolah Sains Sosial UMS, Prof Madya Haji Inon Shaharuddin Abdul Rahman, dan kenamaan lain sudah pun berada dalam dewan bersama penulis, dan aktivis aktivis sastera yang datang dari jauh dan dekat.
Pelaksanaan majlis ini jelas memperlihatkan komitmen tinggi pelbagai pihak dalam meneruskan tradisi menghargai peranan dan sumbangan besar golongan sasterawan terhadap pembangunan minda dan sikap masyarakat, kata Pengarah DBP Sabah, Haji Jamaluddin Mohd.Sulong.
Beliau menyifatkan keberangkatan TYT Tun besar maknanya terhadap usaha-usaha yang dijalankan bagi menempatkan sastera dan sasterawan di kedudukan yang sewajarnya.

Kenyataan menunjukkan bahawa bangsa yang maju sering menempatkan kehidupan budaya sebagai bahagian penting dalam kehidupan bangsa itu, katanya. Sasterawan dihargai dan karya mereka dibaca, diterbitkan dari semasa ke semasa, dan menjadi sumbder acuan budaya bangsanya.

Di negara kita, kata Haji Jamalauddin, meskipun pelbagai bentuk anugerah telah diberikan sebagai pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan penulis atau sasterawan ini, kita belum benar-benar menempatkan sastera di kedudukan yang penting dalam kehidupan kita.

Sastera belum diyakini secara bersungguh-sungguh sebagai sarana yang cukup penting untuk pembinaan keperibadian bangsa.Oleh itu, DBP Sabah akan terus berperanan dalam membina minda, ilmu dan budaya bangsa dengan menyajikan karya-karya sastera yang memungkinkan penghayatan nilai-nilai kemanusiaan, ketuhanan, persefahaman dan sebagainya.

Tenaga dan pemikiran sarjana dan sasterawan akan terus digembleng untuk memenuhi tanggungjawab membina  peradaban bangsa melalui penghasilan karya bermutu yang mempunyai aspirasi seiring dengan harapan masyarakat.

Hadiah Sastera Sabah ialah hadiah berbentuk dwitahunan yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Hadiah kali ini adalah untuk karya terbaik yang terbit sepanjang tahun 2010/2011.

Kali ini, hadiah bagi setiap karya yang terpilih adalah RM3,000 bagi genre novel, RM1,000 bagi genre Esei/Kritikan, RM1,000 bagi genre cerpen dan RM750 bagi genre puisi.

Penulis yang paling bertuah pada malam itu ialah Ruhaini Matdarin yang menang tiga kategori sekaligus. Pemegang ijazah sarjana muda ekonomi kewangan ini nmenang genre Novel apabila novelnya Nisan terbitan Penerbitan Melur mengalahkan enam novel lain termasuk dua karyanya sendiri.Ruhaini juga menang dalam genre cerpen melalui cerpen Emas Hitam yang tersiar dalam Antologi Emas Hitam dan beliau juga menang genre puisi melalui puisi Sesedih Aku yang tersiar dalam wadah Jun 2011.Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,750 dan sijil penghargaan kerana kemenangan yang mecatat sejarah tersendiri bagi diriny dan bagi dunia sastera di Sabah.

Penilaian itu dilakukan terhadap karya-karya yang diterbitkan melalui media cetak sepanjang tahun 2010/2011.Hanya karya sastera yang tersiar dalam akhbar,majalah, buletin, buku cenderamata, antologi, atau diterbitkan dalam bentuk buku atau makalah di Malaysia dan Negara Brunei Darussalam dipertimbangkan untuk dinilai. Karya yang dipertimbangkan untuk HSS hendaklah karya yang ditulis oleh penulis Sabah iaitu rakyat Sabah yang berkarya di Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan labuan, Semenanjung Malaysia dan Negara Brunei Darussalam atau oleh penulis yang telah bermastautin di Sabah selama sekurang-kurangnya lima tahun.

Sebanyak 331  cerpen diteliti untuk HSS bagi tahun penilaian 2010/2011.Panel penilai yang terdiri daripada Dr Mohd.Hanafi Ibrahim, Hajah Siti Aisah Murad, Syed Mohd.Zakir Syed Othman dan Rahimidin Zahari mencatatkan bahawa ciri-ciri umum yang diberikan perhatian sewaktu penilaian ialah cerpen tersebut menyebabkan pembaca berfikir kerana ada ilmu pengetahuan (baharu) bersama persembahannya.Pembaca tidak terus melupakan apa-apa yang dibaca kerana cerpen tersebut berjaya dihayati selain memberikan ilmu baharu.Kedua, selaindaripada memanfaatkan unsur ketegangan, cerpen dapat menguja dan memikat pembaca untuk mengikuti cerpen tersebut hingga akhirnya.Ketiga, memelihara nilai-nilai murni, walaupun berhasrat dijadikan sebagai sindiran, namun disampaikan secara wajar dan berimbang yang mempesonakan pembaca.Keempat, mengekalkan nilai tradisi yang kian tersisih akibat pengaruh luar yang mementingkan kebendaan daripada pengisian rohani dan adab susila dan Kelima, isu globalisasi juga diambil kira beserta dengan suntikan nilai-nilai positif. Justeru, latar sosiologi dan antropologi masa kini yang digunakan sebagai latar mampu memperlihatkan kepekaan pengarang terhadap perkembangan isu semasa.
Kesam keindahan penggunaan bahasa yang memikat melalui diksi dan frasa yang segar serta indah sebagai wahana  pengolahan naratif juga menjadi kriteria penting penilaian sesebuah karya sastera.

Sebanyak 10 cerpen terpilih untuk memenangi hadiah berdasarkan lima ciri yang disebutkan iaitu Ng Kafak karya A.Karim Kadir yang tersiar dalam Dewan Sastera, April 2010, Kekasih karya Azmah Nordin (Dewan Sastera September 2010), Internet karya Lembayung Senja (Harian Ekspress 24 April 2011, Tanah Kubur karya Juri Durabi (Wadah, Jun 2011)Nyiur Gading Tinggi Menjulang karya Yatim Ahmad (New Sabah Times, 22 Mei 2011), Embun di Tapak Tangan karya Hasyuda Abadi (Utusan Borneo 29 Ogos 2011), Sepasang Mata Biru Sepucuk Pistol karya Julia Unggai (Utusan Borneo 11 April 2010), Resah si Kembang Kolam karya Ismi Nailofar (Wadah Jun 2011), Emas Hitam karya Ruhaini Matdarin (Antologi Emas Hitam (Iris Publishing & Distributor 2010) dan Milik Yang Hilang karya Amini Gawis (Utusan Borneo, 30 Januari 2010).

Bagi genre puisi, lebih 900 puisi yang tersiar di media massa telah dibaca dan diteliti oleh penilai. Sebanyak 10 buah puisi terbaik telah dipilih untuk menang HSS 2010/2011 iaitu puisi Hidup karya A.Karim Kadir (Dewan Sastera, April 2010), Sepetang Mengenangmu karya Jasni Matlani (Wadah, Disember 2010), Sungai Pegalan karya Amini gawis (Utusan Borneo, 6 Februari 2011) Perlimbahan Cinta karya Hasyuda Abadi (Sutera Kunjungan, 2010), Tanah Penungguan karya Ramli AR (Sutera Kunjungan, 2010), Di Kaki Hujan karya Pena Alam (Utusan Borneo, 13 Februari 2011), Bengkoka karya Jair Sulai (Dewan Sastera Oktober 2011), Sesedih Aku karya Ruhaini Matdarin (Wadah Jun 2011), Redup karya Juri Durabi (Harian Ekspress,28 mac 2010 dan Aku Ingin Menatap Tidurmu karya Norawi Haji Kata (Dewan Sastera, Oktober 2011).

Sementara itu, hanya dua daripada 40 esei kritikan yang diterima, layak menerima HSS 2010/2011. Esei yang terpilih ialah esei bertajuk Yang Indah dan Bermanfaat dalam Sastera Rakyat oleh Lokman Abd.Samad dan Sejarah Datuk Jamdin Buyong dan Perjuangannya Menerusi Kumpulan Puisi Ada dalam Tiada oleh Raymond Majumah.

Di antara petikan gambus dan lagu-lagu tradisi Melayu oleh kumpulan gambus dari Bongawan, penyair Norawi Haji Kata tampil membacakan puisinya `Aku ingin menatap tidurmu', selang beberapa ketika oleh A.Karim Kadir yang membacakan cerpen Ng Kafak mengenai respon masyarakat Bonggi terhadap pembangunan di pulau terbesar di Sabah itu. Karim menggunakan kreativitinya untuk mengungkapkan isu kepercayaan dan adat, pertembungan antara pemilihan nilai moden dan tradisi iaitu antara keupayaan untuk mempertahankan adat atau memperjudikannya dalam arus kemajuan.

Kemudian  Ruhaini Matdarin tampil  membacakan fragmen novelnya `Nisan'  .Menurut laporan penilai, Nisan mengujarkan subjek tentang tujuan hidup dan makna kewujudan insan yang berteraskan hubungan secara menegak iaitu pengabdian insan dengan penciptanya serta hubungan secara mendatar antara insan sesama insan dengan alam lingkungannya.

Selepas menikmati jamuan yang disediakan, penulis seorang demi seorang dijemput naik ke pentas untuk menerima hadiah  wang tunai dan sijil penghargaan yang disampaikan sendiri oleh TYT Yang Di Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Mahiruddin.

Pemenang sempat mengabadikan gambar bersama TYT setiap kali mereka dijemput menerima hadiah. Sungguh satu kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana sempat bersalaman dengan TYT, yang secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan dan sumbangan yang diberikan oleh penulis di negeri ini.

Kehadiran golongan sasterawan juga amat membanggakan pada malam itu. Bahkan majlis malam itu menjadi wadah pertemuan penulis yang lama tidak berjumpa. Misalnya, Hanafiah Haji Zulkifly dan Ramlah Rashid  misalnya tidak pernah berjumpa lagi selepas mereka menyertai bengkel penulisan tahun 1988. Selepas 23 tahun barulah mereka bersua dalam acara sastera.Sehingga timbul cadangan untuk reunion peserta yang mengikuti berkenaan.Begitu juga novelis Mahmud Eddie, yang lama tak hadir dalam acara sastera, walaupun masih tetap menulis. Malah novelnya Wangian Kasih terbitan Alaf 21 Sdn.Bhd turut dinilai dalam HSS 2010/2011.

Tokoh-tokoh sastera di Sabah juga turut hadir pada malam itu. Antaranya, Datuk Hajah Noraini Haji Salleh, tokoh penulis wanita yang menggunakan nama Suhani S, Laliman Ahmad, penulis budayawan dan pengamat teater yang tidak asing lagi di Sabah, wartawan dan penulis Emin Madi, yang juga novelis yang tidak asing lagi,Awang Mohdzar,  Ailin Nor, Jaafar Abd.Wahid, Mat Congo, penggiat seni, Rashid Deman, seorang aktivis  teater, Mastari Kanjabun, aktivis teater dari Kudat, Prof Mat Zin Mat Kib, penulis dan pensyarah di UiTM, Jasni Yakub Setiausaha Satu IPS, Mohd.Shukri Majalin, penulis yang kini bertugas di FAMA, Hashim Haji Ibrahim, Ali Amat Anas, penyair Ustaz Ismail Haji Duah dan Noor Aisyah Maidin, deklamator Dulamid Rudin, penulis Mabulmaddin Shaiddin, penulis-penulis wanita seperti Ony Latifah Osman, Sahara Jais,Katherina Tati, Welin Ebal dan ramai lagi.

Penulis-penulis dari Perwila juga hadir, antaranya Cikgu Haji Othman Mahali, ANS Suili Bakar, dan banyak lagi nama lain yang tak sempat dicatatkan.

Meski demikian, ramai juga penulis yang tak dapat menghadirkan diri. Ada yang dijemput tapi tak dapat datang, ada pula yang tidak mempunyai alamat terkini tetapi ada juga yang mungkin terlepas pandang.

Apapun, majlis penyampaian hadiah sastera paling berprestij di Sabah itu berlangsung dengan jayanya. Penulis-penulis, tetamu tetamu jemputan telah berangkat pulang ke tempat masing-masing.

Entah apa kiranya yang bermain dalam minda mereka untuk dituangkan dalam karya-karya sastera, yang pada gilirannya akan nilai pada edisi HSS 2012/2013?

Ruhaini berazam untuk menulis karya yang lebih baik lagi. Jair mungkin akan terus merakam pengamatannya terhadap kehidupan masyarakat di daerahnya, Hasyuda dan Jasni barangkali akan terus memastikan nama mereka terus tersenarai  sebagai pemenang sejak HSS itu, sejak ianya  diperkenalkan dan mungkin juga ramai lagi penulis yang sedang menyimpan geram dan impian mereka agar karya mereka juga mendapat pengiktirafan.Penulis-penulis dari pantai timur juga pastinya mahu nama mereka juga turut terpilih untuk mendapat hadiah paling berprestij itu.

Penulis-penulis telah pulang meninggalkan bangku-bangku kosong yang bakal terisi dua tahun lagi. Di luar, hujan gerimis telah berhenti.












2 comments

Abang Nad! Tahniah.. ulasan abang Nad sesungguhnya meliputi kesemua acara, dari mula hujan ribut di luar, kemeriahan di dalam..keindahan majlis dan kembali kepada cuaca gerimis di luar! tahniah bang..

pada mulanya, tulisan abang lebih panjang daripada ini. tapi akhirnya dipendekkan saja kerana masalah waktu.terima kasih kerana sudi membacanya. dan tahniah kepada pena alam dan kepada semua pemenang