Khamis, 2 Ogos 2012

Satu demi satu, kata Ponheary Ly

Tags

"Kami masih belum tahu dimana boleh mendapatkan duit itu", kata Ponheary Ly. Saya tidak menyangka dapat berjumpa dengan perempuan ini.Pertemuan kami pun agak singkat iaitu ketika check out dari Seven Candles, sebuah rumah tumpangan yang bersih dan selesa di 0307, Wat Bo Road Siem Reap. Seven Candles GH itu adalah perniagaan keluarga Ponheary.
Beliau menguruskan rumah tumpangan itu bersama adiknya Dara Ly. Kebanyakan tetamunya datang dari luar negeri.
Ponheary adalah salah seorang wanita Kemboja, yang terselamat daripada kekejaman rejim Khmer Rouge.Sama seperti rakyat Kemboja yang lain, keluarganya begitu menderita.Menderita bukan saja kerana kekejaman dan tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh Pol Pot, tetapi kerana mereka juga dibelit kemiskinan.Namun ia tidak membuat Ponheary lemah jiwanya.
Pada tahun 2006, beliau menubuhkan Ponheary Ly Foundation.Yayasan Ponheary bergerak dalam bidang pendidikan. Ponheary berpendapat bahawa cara yang paling efektif untuk melawan kemiskinan ialah melalui pendidikan.
"We Will Educate Our Children.We Will Do It One by One...Step by step," katanya. Bahasa Inggerisnya baik sekali.
"Kami membantu anak-anak di luar bandar, tanpa mengira latar belakang mereka, agama dan fahaman mereka," katanya. Ponheary sendiri beragama Islam.Tahun ini ibunya menjalankan umrah di Tanah Suci Mekah.
Setakat ini, Yayasan Ponheary menyekolahkan kira-kira 2,500 murid di pedalaman Kampuchea.
Pelajar-pelajar itu tidak dapat bersekolah kerana ibubapa mereka sangat miskin.Kadang hanya berpendapatan Us$1.00 dolar sehari. Mereka tidak dapat menyediakan pakaian seragam dan alat-alat tulis untuk anak-anak mereka ke sekolah. Inilah masalah utama yang kami hadapi, kata Ponheary. Kanak-kanak juga kami dapati perlukan perhatian dan rawatan kesihatan kerana kerana kekurangan gizi. Antara cabaran lain yang dihadapi ialah bekalan air bersih, dan dapur untuk menyediakan sarapan pagi untuk kanak-kanak.
Satu demi satu, kata Ponheary.
Selangkah demi selangkah. Cabaran lain yang perlu dihadapi ialah menyediakan gaji untuk guru dan tenaga pengajar serta memastikan mereka mempunyai alat bantu mengajar yang mencukupi.
Anak-anak pedalaman itu perlukan buku untuk perpustakaan, perlukan basikal bagi mereka yang tinggal jauh di sekolah, kompas, pemadam, pembaris, kamus, alat-alat permainan, dan banyak lagi bantuan. Banyak lagi perhatian diperlukan.Banyak lagi cinta perlu ditumpahkan kepada mereka.
Ponheary memberikan saya brosur mengenai Yayasan itu.
Katanya, derma US$20 boleh membiayai sarapan untuk 200 kanak-kanak.US$20 juga boleh digunakan untuk subsidi gaji guru untuk satu bulan.$40 boleh membeli basikal dan membantu anak-anak yang tinggal jauh dari sekolah,$23 boleh membeli keperluan seorang pelajar untuk satu tahun,US$25 boleh digunakan untuk membantu tuisyen pelajar sekolah menengah untuk satu bulan,$5 boleh membayar tambang pengangkutan ke hospital,US$100 boleh membantu membeli buku baru untuk perpustakaan, $250 boleh digunakan untuk 64 pelajar menghadiri kelas komputer selama sebulan, US$400 boleh memberi komputer menggunakan tenaga solar, US$1,000 boleh digunakan untuk membeli tenaga solar untuk sekolah dan banyak lagi.Katanya, sukarelawan dipelawa , sama ada untuk satu minggu atau lebih lama lagi untuk membantu guru-guru Khmer untuk mengajar kelas bahasa Inggeris. Banyak cara kagi boleh membantu.Anda juga mungkin boleh membiayai makanan tengahari untuk anak-anak sekolah kerana mereka mungkin tidak makan di rumah, selain itu boleh juga membawa peralatan sekolah untuk anak-anak, mengajar mereka tentang sesuatu dan sebagainya.Mereka yang berminat boleh melayari theplf.org untuk meninjau kemungkinan boleh membantu.
Tahun ini, kata Ponheary, pihaknya perlukan dana untuk menyekolahkan anak-anak itu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
"We Will Educate Our Children.We Will Do it One By One...Step by Step", kata Ponheary. Ya, satu demi satu, selangkah demi selangkah.