ZUBAIDI
ABAS,LAPAN TAHUN BERBAKTI UNTUK BAHASA DAN SASTERA DI SABAH
TERLALU
banyak kenangan yang tak mungkin pudar dalam ingatan Zubaidi Abas, Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan
Sabah yang akan berpindah ke ibu pejabat DBP Malaysia di Kuala Lumpur mulai 9
Julai ini. Setelah lapan tahun berkhidmat di Sabah, mengunjungi hampir semua
pelosok negeri ini, beliau merasakan keakraban dan ketulusan
masyarakatnya. Beliau merasa gembira dan
bahagia sepanjang bertugas di Sabah tetapi panggilan tugas baru ke ibu negara tidak dapat dimungkiri lagi.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau yang sering
disapa dengan panggilan `Encik Zubaidi' pada satu malam sambil menikmati teh
tarik di salah sebuah restoran mamak di Jalan Pantai.
Zubaidi
Abas dilahirkan di Jerantut, Pahang pada 10 April 1959. Sebelum bertugas
sebagai Pengarah DBP Cawangan Sabah sejak 3 Januari 2005, beliau pernah
bertugas sebagai Pengarah DBP Wilayah Selatan pada 2001-2004. Berkelulusan
Ijazah Sarjana Pengajian Bahasa Moden, Zubaidi pernah menulis beratus-ratus
makalah yang pernah disiarkan di akhbar dan majalah tanahair. Sejak makalahnya
bertajuk "Isu-isu di Sebalik Perubahan Istilah tersiar di Berita Harian
pada 12 Disember 1985, beliau terus menyumbangkan buah fikirannya kepada
khalayak pembaca melalui tulisannya yang tersiar di Berita Harian, Jurnal Dewan
Bahasa,Utusan Malaysia, Harian Tamil Osai,Thinamani,Mingguan Famili, Berita
Peristilahan,MASSA,Pelita Bahasa, Jendela Selatan, Utusan Borneo, Etnik dan
sebagainya. Beliau juga menulis kolum Ujana DBP dalam akhbar Utusan Borneo
sejak 2008.
Ikuti
petikan temubual bersama personaliti yang banyak berjasa kepada perkembangan
bahasa dan sastera di Sabah, malah turut menyumbangkan buah fikirannya dengan
menulis setiap minggu mengenai isu-isu berkaitan bahasa dan sastera dalam akhbar Utusan Borneo.
UTUSAN
BORNEO: Rasa ingin tahu juga, apa
pandangan Encik Zubaidi sebelum dan selepas bertugas di Sabah?
ZUBAIDI
ABAS: Sebelum ditugaskan di
Sabah, timbul juga pertanyaan, mengapa hantar saya ke Sabah?. Tempat yang pada
anggapan saya ketika itu agak `teruk'. Saya mengambil masa juga untuk berfikir.
Tetapi apabila kita sudah bergaul dengan masyarakat di sini, ternyata persepsi
itu salah sama sekali. Amat berbeza. Mereka yang tidak pernah datang, saya
menyarankan mereka datanglah ke Sabah, alami sendiri pengalaman di sini.
Suasana hubungan masyarakat yang harmoni, antara satu sama lain, kita akan
rasa. Saya sangat gembira, sangat bahagia sepanjang berada di Sabah. Saya tak
merasakan perbezaan...saya rasakan macam suasana di kampung saya di
Semenanjung.
Saya
rasakan keakraban dan ketulusan ketika bergaul dengan masyarakat. Kalau ada
orang yang tiga hari menangis ketika mahu ditukarkan ke Sabah, setelah merasai
suasana di sini, kalau balik nanti, ibaratnya tujuh hari menangis. Betapa dia
rasa bila dia balik, tujuh ahri menangis, itulah perbandingannya. Pergilah ke
kampung-kampung, kemesraan dan keakraban itulah yang saya rasa.
UB: Banyak juga kampung di Sabah yang Encik
Zubaidi pernah kunjungi?
ZS: Banyak juga kampung yang telah saya
kunjungi sepanjang lapan tahun berada di sini. DBP Sabah mengadakan program dan
kegiatan di seluruh Sabah. Tetapi saya memang merasakan kemesraan dan keakraban
ketika bergaul dengan penduduk kampung.
UB: Kalau boleh tahu, apa tempat yang menarik
perhatian Encik Zubaidi di sini?
ZS: Antaranya bandar Lahad Datu. Saya rasa
bandar Lahad Datu boleh menjadi bandar contoh dalam aspek penggunaan bahasa
kebangsaan. Di sana kita melihat tulisan jawi pada papan tanda,penunjuk jalan,
penggunaan bahasa yang betul, itu yang saya seronok. Selain itu, mungkin kerana
Lahad Datu menjadi tempat pertama yang saya kunjungi di luar KK.
UB: Bagaimana tahap sokongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap DBP?
ZS: Sokongan pihak PBT sangat baik. Kita
mempunyai hubungan yang cukup akrab. Lebih mudah untuk menjalin kerjasama tanpa
banyak masalah. Saya boleh menyatakan bahawa tahap hubungan antara DBP dan PBT
di Sabah, adalah amat baik sekali.
UB: Hubungan dengan pemimpin dan jabatan
kerajaan lain?
ZS: Kita juga mempunyai hubungan yang baik
dengan kalangan pemimpin negeri.Kita membuat pendekatan yang baik dengan
pemimpin dan jabatan kerajaan di Sabah. Banyak program-program yang kita adakan
mendapat sokongan dan sambutan yang sangat baik.
UB: Hubungan dengan pihak lain?
ZS: DBP Cawangan Sabah juga mempunyai
hubungan yang sangat baik dengan pihak media di Sabah. Hampir semua media
memberikan sokongan yang baik terhadap program dan kegiatan-kegiatan DBP. Ini
memberikan kesan yang sangat baik. Saya sangat-sangat berterima kasih kepada
Utusan Borneo yang terus menerus memberikan sokongan kepada DBP Cawangan Sabah
dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya. Selain itu, Utusan Borneo memberika n
ruang untuk saya menulis setiap minggu. Saya telah menulis sebanyak 288 tulisan
dan sebahagiannya telahpun dibukukan dalam beberapa buah buku.
UB: Apa bidang yang menjadi tumpuan Encik
Zubaidi sepanjang berkhidmat di Sabah?
ZS: Orang melihat saya lebih cenderung kepada
bidang bahasa. Pendekatan lebih kepada bahasa ini mungkin kerana saya berasal
dari bidang bahasa.Begitu juga dengan pengarah-pengarah DBP Cawangan Sabah
sebelum ini. Zaini Oje cenderung kepada sastera kerana beliau orang
sastera.Haji Hamzah Hamdani cenderung kepada penerbitan kerana beliau banyak
terlibat dalam dunia penerbitan.
UB: Apa pandangan Encik Zubaidi mengenai
tahap penggunaan bahasa kebangsaan di Sabah?
ZS: Tahap penerimaan bahasa Melayu di sabah
sangat baik. Seperti yang kita maklumi, Sabah adalah sebuah negeri yang
mempunyai sumber terbanyak bahasa sukuan. Di sini letak keunikannya. Walaupun
bahasa sukuan Sabah pelbagai tetapi tahap penerimaan bahasa Melayu sangat baik.
Terdapat sebanyak 38 suku kaum di Sabah, itulah yang selalu disebut, sepatutnya
lebih sukar bagi bahasa Melayu berkembang namun ternyata di Sabah, penerimaan
terhadap bahasa Melayu tidak ada masalah kerana bahasa itu telah menjadi lingua
franca sejak zaman berzaman. Pergilah ke
ceruk mana pun, penggunaan bahasa Melayu adalah cukup baik.
Saya
juga sangat menyokong penerbitan akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Borneo
kerana ia membantu meningkatkan dan memajukan perkembangan bahasa Melayu
sebagai bahasa Kebangsaan di Sabah.
UB: Bagaimana pula mengenai perkembangan
bahasa sukuan di Sabah? Sebelum ini ada
dakwaan pengembangan bahasa Melayu membantutkan penggunaan bahasa ibunda?
ZS: Dari segi pendekatan, DBP
mengembangkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan tetapi tidak mematikan
bahasa sukuan.Bahkan kita mempunyai banyak projek pengembangan bahasa
sukuan. Kita berusaha memasyarakatkan bahasa Melayu, dan pada masa yang sama
kita juga menghidupkan bahasa sukuan. Sepanjang saya menulis di Utusan Borneo,
saya selalu menyatakan mengenai hal itu. Kita mengembangkan bahasa Melayu
tanpa melupai bahasa ibunda masing-masing.
UB: Apa pandangan Encik Zubaidi mengenai masa
depan penulis Sabah?
ZS: Kita banyak melihat kemunculan
penulis-penulis muda yang sangat berpotensi. Penulis-penulis Sabah menunjukkan
kematangan dalam karya-karya mereka.Saya yakin masa depan sastera di Sabah agak
cerah.
UB: Mengenai mutu karya penulis Sabah? Boleh
Encik Zubaidi berikan pendapat?
UB: Karya penulis Sabah terutamanya penulis
baru menunjukkan peningkatan. Masalah kita sekarang ialah mendapatkan
karya-karya yang baik dan bermutu untuk diterbitkan. Sebab itu jumlah
penerbitan karya dari Sabah tidak bertambah.Kadang kala ada karya dari Sabah
yang dihantar ke Kuala Lumpur sukar diterbitkan kerana tidak mencapai tahap.
Namun DBP Sabah akan terus memberikan komitmen untuk menerbitkan karya-karya
penulis Sabah.
UB: Apa harapan Encik Zubaidi kepada pengarah
baru?
ZS: Saya harap dengan kehadiran pengarah
baru, tumpuan banyak di berikan kepada penerbitan kerana beliau saya difahamkan
mahir dalam selok belok dunia penerbitan.
UB: Boleh tahu apa tugas baru di DBP KL?
ZS: Saya dipindahkan ke Bahagian Majalah
sebagai Ketua Editor.
UB: Menarik tu Encik Zubaidi. Mungkin banyak
karya penulis Sabah boleh diterbitkan?
ZS: Sebelum ini memang pernah ditimbulkan
kita kekurangan karya dari Sabah. Kita menggalakkan penulis-penulis Sabah
menghantar karya untuk dipertimbangkan. Kita mahu penulis Sabah
UB: Mungkin tugas baru lebih mencabar?
ZS: Kita akan cuba menarik minat masyarakat
terhadap majalah-majalah terbitan DBP. Kita lihat majalah terbitan DBP, dari
segi jumlahnya semakin menurun. Kita harus membuat perubahan supaya majalah DBP
seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Tunas
Cipta,Pelita Bahasa dan sebagainya diminati masyarakat seperti dahulu.
UB: Oh ya, kita beralih kepada soalan lain.
Apa makanan Sabah yang paling Encik Zubaidi gemari?
ZS: Pada peringkat awal, memang agak sukar
bagi saya menyesuaikan diri. Dulu hampir setiap kali makan, saya makan sotong
bakar.Hari-hari. Kerana itulah yang sesuai dengan selera saya. Tapi setelah
lapan tahun di Sabah, sebutlah makanan Sabah, semuanya saya makan.
UB: Apa perasaan Encik Zubaidi berpindah ke
KL selepas lapan tahun berkhidmat di Sabah?
ZS: Memang tak dapat diluahkan. Seperti yang
saya katakan tadi, kalau dulu sebelum datang Sabah, tiga hari menangis, untuk
meninggalkan Sabah, tujuh hari menangis. Itulah perbandingannya. Saya merasa
cukup mesra dan akrab dengan masyarakat di sini. Sepanjang minggu ini, saya
berkunjung ke semua PBT di Sabah untuk membuat kunjungan perpisahan sambil
mengucapkan penghargaan dan terima kasih kerana kerjasama yang diberikan
sepanjang lapan tahun bertugas di Sabah. ia satu pengalaman yang sangat
berharga dalam lipatan hidup saya.
2 comments
ABG nAD!
Tahniah untuk Tuan Zubaidi kerana telah melaksanakan lapan tahun perkhidmatan yang penuh dedikasi di Sabah. Jarang-jarang ada orang-orang besar seperti Tuan Zu yang begitu akrab dengan kakitangannya dan yg paling penting dgn penulis2 Sabah sendiri! Tahniah Tuan. Selamat bertugas d tempat baru, jangan lupa kami di Sabah k!
Syabas untuk Malaysia Book Of Records - DBP yang antaranya Baca Puisi berbagai etnik secara Serentak beramai-ramai di puncak Gunung Kinabalu 2011!!
Tahniah Encik Zubaidi. Kelahiran ramai penulis muda di Sandakan dibawah naungan BAHASA Cawangan Sandakan, banyak didorong dan disokong oleh Encik Zubaidi bersama team DBP Sabah. Terima kasih!
Kini beberapa rakan mula boleh bergerak sendiri perlahan-lahan.Terima kasih.
Al Fazli HMS
Timb. Pegerusi
BAHASA Cawangan Sandakan
Sabah.