TERKENANG
KENANG WAKTU BERPUASA DI KAMPUNG KAMI
MENDENGAR
beduk dipalu berulang kali menandakan waktu sahur telah tiba. Di kampung kami
dahulu, beduk yang dibuat dari kulit kambing itu, terdengar nyaring bunyinya
hingga ke seluruh pelusuk desa. Bagi sebuah masyarakat yang mempunyai sistem
berkomunikasi yang tersendiri, beduk digunakan secara tradisi untuk memberitahu
jika tibanya waktu Jumaat, atau dengan jumlah paluan yang tertentu, untuk
menyampaikan berita duka jika ada sesuatu musibah yang menimpa. Namun beduk
juga selalu ditabuh untuk memberitahu waktu untuk bersahur.
Bila
tiba waktu berbuka, kadang-kadang jika tidak dapat melihat matahari terbenam ke
ufuk, beduk dijadikan sebagai penanda masuk waktu maghrib. Kami yang masih
kanak-kanak ketika itu,sudahpun bersedia di depan gelas penuh minuman.
Selepas
makan, berlarilah kami ke masjid untuk ikut menunaikan solat terawih. Masih
terngiang juga suara imam Haji Abdul Rahman, imam tua di kampung kami atau
bacaan ayat al-Quran oleh Haji Mukadim, yang ramai anak-anaknya menjadi juara
musabaqah.
Dahulu
lepas waktu sungkai, kanak kanak sebaya kami berlumba lumba meletupkan meriam
buluh atau `kidaban' dalam bahasa kami. Bersahut-sahutan, mencari mana
`kidaban' yang paling kuat bunyinya. Tetapi pada masa itu, jarang sekali kami
mendengar ada orang yang tercedera atau jadi mangsa kerana permainan itu. Tak
ada juga orang yang meletupkan kidabannya pada waktu lain kecuali selepas waktu
berbuka, atau yang paling sering ialah selepas menunaikan solat terawih
beramai-ramai.
Selepas
sepertiga puasa, di kampung-kampung masyarakat Iranun menjadi terang bercahaya
kerana orang-orang tua memasang tajukur.Tajukur yang sebenarnya pelita yang
dipasang pada malam tujuh likur itu
biasanya dibuat daripada tempurung kelapa yang dibakar . Pada malam-malam
ganjil sepuluh hari terakhir bulan Ramadan itu dipercayai akan turun `lailatur
qadar' yang selalu ditunggu-tunggu.
Arwah
ayah selalu mengatakan bahawa pada bulan puasa, tangan dan kaki iblis dan
syaitan diikat, sehingga ia tidak boleh lagi mengganggu orang-orang untuk
melakukan ibadah. Kami teringin juga melihat bagaimana tangan dan kaki syaitan
itu diikat, tapi kerana kami masih kecil, kami hanya dapat membayangkan
syaitan-syaitan itu sebagai sesuatu yang ngeri.
Kata
arwah ayah, orang yang kotor jiwanya, orang yang selalu berbuat jahat, selalu
berdengki, selalu berdendam dan bermusuhan antara satu sama lain itu, adalah
sahabat syaitan. Jika tidak mahu menjadi sahabat syaitan, janganlah buat
perkara perkara serupa itu, kata ayah kepada kami.
Demikianlah
puasa kami jalani. Kalau berpuasa, kata ayah, kita bukan saja puasa makan
tetapi juga puasa mata, puasa telinga dan sebagainya. Kita bukan saja berlapar
menahan dahaga tetapi juga puasa menahan pandangan mata dan penglihatan kita
daripada melihat sesuatu yang `tidak benar'.Bagi kami kanak-kanak pada waktu
itu, kami tidak faham benar apa yang diperkatakannya.
Biasanya,
kami mengaji mulai mukaddam hingga khatam quran daripada pakcik Haji
Salleh.Rumahnya sentiasa riuh rendah dengan suara anak-anak yang mengaji.Kami
belajar alif ba ta daripadanya. Saya selalu teringat rotan ekor pari yang
biasanya digunakan untuk menakut-nakutkan kami supaya tidak nakal atau membuat
bising.
Jika
waktu puasa, biasanya meriah.Kami melupakan sejenak minat menonton cerita
`combat' atau `canon' di rumah cikgu Hujud, satu-satunya jiranya kami yang
mempunyai peti tv. Peti tv itu menggunakan tenaga bateri kereta kerana pada
waktu itu bekalan elektrik belum sampai di kampung kami.
Selain
tv, melalui siaran radio, kami mengetahui waktu bermulanya puasa atau pengumuman
Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan oleh
penyimpan mohor raja-raja. Seawal pagi lagi, selepas solat Subuh pada pagi
AidilFitri itu, kami menunggu kedatangan Arwah Babu Inai Daiman yang rajin
menghantar dulang berisi makanan sesuai dengan tradisi kami. Selepas itu, Inai
Agaitu juga datang menghantar dulang. Kemudian ibu pula menghantar dulang ke
tempat jiran-jiran yang lain atau membalas hantaran dulang itu.
Setelah
pagi aidilfitri itulah, biasanya kami dibenarkan bermain `kanjarapung'
(mercun). Pada pagi itu kami berkunjung ke perkuburan menziarahi keluarga yang
lebih dulu berpulang. Selepas itu barulah kami berkunjung ke rumah sanak
saudara. Kadang-kadang kami berjalan kaki berbatu-batu kerana waktu itu jarang
ada kenderaan seperti sekarang.
Kenderaan
Pick-up yang selalu menjadi alat pengangkutan untuk ke pekan Kota Belud, jarang
beroperasi pada hari raya.Meskipun tidak ada kereta, tapi itu tidaklah
menghalang kami untuk berziarah satu sama lain. Masyarakat kami waktu adalah
masyarakat yang erat hubungan kekeluargaannya.
Tetapi
sekarang, nilai nilai lama sudah tergantikan oleh sistem nilai yang baru. Tidak
lagi terdengar beduk dipalu, tidak ada lagi zaman kanak-kanak yang dulu ada.
Sekarang diganti dengan sms, mms dan sebagainya. Orang lebih seronok
menggunakan media alfisbuki. Melalui media sosial, mereka yang jauh seperti
berada di sebelah rumah sahaja. Meski begitu, ironisnya, walaupun dekat, tetapi
mereka semakin jauh. Kadang-kadang walaupun mereka berada di depan mata kita,
mereka seolah-olah tidak lagi akrab atau bercakap dengan kita, kerana sibuk
menekan punat handphone, sehingga kita kadang tenggelam dalam kesendirian.
“Sahurlah
sahur, sahur semua, bangunlah sahur, untuk puasa”, tiba tiba terdengar
sekumpulan remaja memukul tambur untuk membangunkan orang bersahur. Alangkah
indahnya, jika kita sentiasa mengingat makna dan hikmah berpuasa. Puasa
daripada fitnah atau sumpah seranah, puasa dari benci dan rasa iri, puasa dari
dendam dan kebencian, puasa dari nafsu yang menggebu-gebu, puasa dari kata-kata
nista dan dusta. Puasa sebenar puasa