Sabtu, 9 Jun 2012

sekadar cerita mencari dugong di kuala penyu

Tags


CERITA MENCARI DUGONG DI KUALA PENYU

Inus memandang ke Pantai Pelakat. Laut tenang tetapi airnya kurang jernih.
Biasanya pada waktu-waktu seperti ini, dugong, sejenis mamalia yang hidup di perairan itu akan timbul memperlihatkan dirinya.

Tetapi sejak pasangannya mati kira-kira dua bulan lepas, dugong itu semakin jarang kelihatan, mungkin kerana kesunyian.
Barangkali ia merasa kehilangan kerana ditinggalkan suaminya yang mati terjerat pukat.

Dugong yang mati itu panjangnya kira-kira tujuh kaki, dengan beratnya sekitar 200 kilogram dan  matanya sebesar lapan inci, kata Inus, seorang penduduknya yang menumpahkan minatnya kepada aktiviti memancing.

Katanya, sejak dulu lagi, perairan Pelakat, Kiaru Bugunjai menjadi tempat permainan dugong-dugong itu. Dahulu terdapat banyak keluarga dugong ditemui nelayan.Ketika matahari cerah,dugong-dugong itu berenang ke permukaan mencari cahaya. Keluarga dugong adalah vegetarian, yang hidup memakan rumpai, meragut rumput dan lumut laut.

Orang kampung menamakannya duyung babi, kerana kepalanya menyerupai babi, ada bulu bulu, badannya seperti ikan. Ada juga yang menamakannya lembu laut.

Populasi dugong itu semakin mengecil setelah adanya pukat tunda.Dugong-dugong terjerat pukat , lalu mati dan berkurang. Dulu orang tua kami tak begitu peduli kehadiran dugong-dugong ini tetapi kemudian generasi kami baru mengerti mengenai kepentingan dugong-dugong bukan saja dalam mengekalkan sistem ekologi laut malah penting sebagai salah satu daya tarikan pelancongan.

"Kalau musim air tenang, sini saja dia pusing-pusing,"kata Inus menunjukkan perairan Pelakat-Kiaru itu. Setelah seekor dugong mati, dipercayai dugong jantan, tinggal seekor lagi. Mungkin juga, ada beberapa ekor lagi dugong di perairan itu, tetapi belum ada statistik yang lengkap mengenainya.

Hari itu, kami sengaja mengitari persekitaran laut Pelakat-Kiaru, kalau-kalau ada dugong yang muncul agar kami dapat melihatnya.

Sistem ekologi di kawasan itu terancam bahaya, mungkin kerana diakibatkan oleh kapal-kapal laut dalam, sebahagiannya disebabkan ada pihak yang rakus mengaut keuntungan sambil memusnahkan sistem ekologi di kawasan itu.

Bukan itu saja, kata Inus, beliau melahirkan rasa khuatir kerana kemungkinan nelayan bakal kehilangan masa depan mereka tanpa sebarang ketentuan. Katanya, tidak lama lagi, nelayan bakal dilarang  menangkap ikan di kawasan yang menjadi tempat menangkap ikan tradisi mereka kerana khabarnya kawasan itu termasuk dalam Zon  Operasi Eksklusif bagi Kemudahan Terminal Laut Petrolium dan Gas Sabah (SOGT) di Teluk Kimanis.

Nelayan dilarang menangkap ikan di ZOE itu, katanya, tetapi jika dapat, alangkah baiknya jika kerajaan memberikan mereka sedikit pampasan kerana kehilangan sumber ikan.Kehilangan tempat menangkap ikan sama dengan kehilangan kehidupan mereka.Seumur hidup mereka tidak dapat lagi menangkap ikan, kata Inus sebagai mewakili kebimbangan golongan nelayan di kawasan itu.
Itulah cerita Inus, yang mengaku kaki pancing itu. Selain itu, beliau menunjukkan tempat dimana terdapatnya banyak ikan lumba-lumba. Kawasan teluk itu sungguh menarik, dan indah pemandangannya. Kerajaan pula berbaik hati membawa pembangunan dengan menjadikan Teluk Kimanis sebagai Terminal Laut Petrolium dan Gas Sabah (SOGT).

Cuma apa yang diinginkan masyarakat nelayan, ialah agar nasib dan masa depan mereka lebih terbela lagi.Mereka mengimpikan agar kerajaan lebih prihatin lagi terhadap kelangsungan hidup mereka.  Jika mereka tidak dibenarkan menangkap ikan di kawasan itu, seperti banyak diceritakan orang, sudah tentulah pergantungan hidup mereka terhadap laut sebagai sumber kehidupan akan terjejas.Mereka terpaksa mencari sumber penghidupan di kawasan menangkap ikan yang lebih jauh, dengan pulangan yang lebih sedikit kerana kos perbelanjaan yang lebih mahal.

Lama-kelamaan nasib nelayan akan sama dengan dugong. Dugong hilang dan mungkin pupus kerana ekosistem yang terganggu.Nelayan terjejas kehidupan mereka kerana kehilangan laut yang secara tradisi menjadi tempat mereka mencari sumber rezeki, tempat mereka bermain ombak, tempat mereka melayarkan satu kehidupan.

Kalian tidak bernasib baik kali ini, kerana dugong yang biasanya bermain di sini, tidak kelihatan lagi.Mungkin mereka mencari teluk atau perairan yang lain, atau mungkin juga bersunyi-sunyi bersama arus air kerana pasangannya telah mati kira-kira dua bulan yang lalu, katanya.

Kami turun dari perahu di Kampung Pelakat Kuala Penyu tanpa melihat dugong yang makin pupus itu.