Isnin, 25 Jun 2012

Prof Dr.Mohd.Harun Abdullah, peneraju UMS yang rendah hati

Tags



PROF.DR.HARUN, PENERAJU UNIVERSITI YANG RENDAH HATI

MULANYA beliau bercita-cita menjadi tentera udara. Kalau bukan kerana kasihankan ibunya yang sedih hingga menangis di sudut rumah, kini mungkin beliau sudah menjadi pemandu jet pejuang. Tetapi takdir berkata lain. Setelah lulus universiti, beliau pernah bertugas sebagai kakitangan awam sebelum menjadi tutor sambil meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Profesor yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyelidikan air ini, kini dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang keempat, berkuatkuasa 18 Jun 2012.


PROF.DR.Mohd.Harun Abdullah dilahirkan pada 1 Januari 1961 di Kampung Gudon, Menggatal,Sabah. Beliau merupakan anak sulung daripada 5 adik beradik hasil perkongsian hidup ayahnya,Abdullah Mohammed dengan ibunya,Normah  Mat Wahid.  Prof.Harun mendapat pendidikan awal di St.Catherine's Primary School Inanam pada tahun 1966-67 dan kemudiannya di GEPS (Government English Primary School) Tanjung Aru dari tahun 1968-1973. Beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Maktab Sabah dari tahun 1974-1978 dan lulus M.C.E (Malaysia Certificate of Education) di Tingkatan Lima dalam Aliran Sains. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia sehingga lulus B.Sc Alam Sekitar. Ijazah M.Sc  diperolehinya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Manakala ijazah doktor falsafah (PhD) diperolehi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai.

Beliau adalah penerima AOTS (The Association for Overseas Technical Scholarship) Jepun, Fellowship for NEDO (New Energy & Industrial Technology Development Organization) Program on Industry dan Environmental Protection di Yokohama, Jepun pada tahun 2002.

Prof.Dr.Harun pernah berkhidmat sebagai kakitangan awam pada tahun 1980 di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Sabah sebelum melanjutkan pelajaran ke UPM sebagai penerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. Setelah lulus, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik Alam Sekitar di Kementerian Pelancongan & Alam Sekitar sabah dari tahun 1987-1993. Ketika berkhidmat di kementerian itu, beliau adalah penerima biaya bagi latihan Institute of Hydraulic & Enviromental Engineering) Delft, Belanda dalam bidang Ekologi Gunaan. Kemudian beliau menceburi kerjaya dalam bidang pendidikan sebagai Tutor pada 1994 dan seterusnya Pensyarah pada tahun 1995 di Fakulti Sains dan Sumber Alam, UKM Kampus Sabah. Beliau seterusnya berpindah ke UMS pada tahun 1996 apabila Kampus UKM di Sabah ditutup.

Ketika ini, Mohd.Harun memegang jawatan Profesor dalam bidang Sains Sekitaran di Program Sains Sekitaran, Sekolah Sains dan Teknologi (SST) UMS. Dalam bidang pentadbiran, beliau pernah memegang jawatan Timbalan Dekan (Akademik dan hal Ehwal Pelajar ) di sekolah tersebut pada tahun 2002-2006 (selama 4 tahun), kemudiannya menjadi Dekan sekolah Sains & Teknologi  pada tahun 2008 hingga 31 Julai 2011 (selama 3 tahun). Beliau telah dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Timbalan Naib Canselor yang menjaga Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi (berkuatkuasa 1 Ogos 2011. Selepas itu, beliau dilantik oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuatkuasa 18 Jun 2012) bagi tempoh tiga tahun.

Mohd.Harun merupakan Ahli senat UMS sejak 3 Jun 2008 hingga sekarang dan merupakan Ketua Unit Penyelidikan Air (WRU) yang pertama sejak 15 November 2011 bagi tempoh dua tahun.Beliau dilantik oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sebagai wakil tetap UMS dalam Majlis Perlindungan Alam Sekitar Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 2001 hingga sekarang.

Selain menerbitkan buku dan artikel-artikel dalam jurnal bertaraf antarabangsa, beliau aktif dalam penyelidikan dan telah mengetuai banyak geran penyelidikan sama ada tajaan dari dalam negara mahupun luar negara. Di antara penyelidikan yang diketuai oleh beliau telah dibiayai oleh dana dari Kurita Water and Environment Foundation Research Grant (KWEF) Jepun, Geran dari UNU (United Nations University), IERC (International Environment Foundation Research Center) Korea Joint Programme on Science & Technology for  Sustainability 2008-2009; geran Sciencefund  daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Beliau juga mempelopori kumpulan penyelidik mengenai sumber air dari perspektif alam sekitar di pulau-pulau kecil di Malaysia yang dipanggil SIRG (Small Islands Research Group).

Wartawan kanan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN bersama MOHD.NURAZWAN AUGUSTINE (wartawan pelatih UMS) sempat menemubual PROF.DR.MOHD.HARUN ABDULLAH  pada satu petang yang cerah di Tingkat 6,Bangunan Canselori UMS.



UB:       Tahniah Prof kerana dilantik sebagai Naib Canselor UMS yang keempat. Sebelum ini, pernah terfikir jadi pimpinan di Universiti misalnya jadi Naib Canselor?

NC:       Terima kasih. Sebenarnya saya tidak  pernah terfikir untuk menjadi  pemimpin di universiti, apatahlagi menjadi naib canselor.Mana  ada kaunseling ketika itu, yang memberi nasihat atau membimbing kita untuk memilih kerjaya.Kita belajar saja.Ikut kawan.
Masa Tingkatan Lima, salah seorang kawan Salleh Kabul mengajak saya memohon untuk menjadi tentera udara-Air Force. 
Ketika itu, tidak ramai pelajar Melayu dalam aliran Sains, mungkin hanya 20 peratus saja, 80 peratus lagi pelajar Cina. Dulu memang tertanam dalam mentaliti masa itu aliran sains sesuatu yang sukar.. Masa itu, selepas lulus LCE, pelajar diberi pilihan sama ada mahu masuk aliran sastera atau sains.Jadi orang takut. Minda orang bumiputera ketika itu takut aliran sains.  Apatah lagi dulu, mentaliti orang lain sikit. Bila nampak orang baca banyak buku sains, tebal-tebal, kawan ejek konon kata kita  berlagak dan sebagainya.

UB:       Rupanya Prof dulu bercita-cita jadi tentera udara ya?
NC:       Kalau saya jadi tentera udara, sekarang mungkin saya jadi pilot jet pejuang. Tetapi ketika tunggu keputusan itu, saya nampak beliau perempuan saya (ibu dalam bahasa Sabah) asyik menangis saja. Ikatan keluarga kami kuat, tidak pernah berpisah. Beliau hanya duduk di sudut, menangis kerana mendengar saya pergi ke Kuala Lumpur masuk tentera udara. Beliau lelaki (bapa) pula marah.Tetapi saya fikir masuk tingkatan enam pun oklah. Jalan hidup kita ini sudah ditentukan, hanya kita manusia, insan yang lemah ini yang tidak tahu.

UB:       Kira-kira apa yang dapat diteladani daripada ayah Prof?
NC:       Ayah saya suka membaca.Suka baca buku. Minat beliau terhadap buku itu, banyak mempengaruhi saya. Kebolehan tulis menulis inipun adalah  pengaruh daripada beliau.

UB:       Mungkin ada pengalaman Prof sewaktu mula masuk universiti dulu, yang boleh dikongsikan kepada pembaca.
NC:       Dulu sebelum ada universiti di Sabah, sukar masuk IPT. Saya ingat sewaktu masuk UPM dulu, arwah Pakcik Atin turut menghantar saya di lapangan terbang. Kasi duit. Bagi saya itulah pertama kali saya berjauhan dengan keluarga.
Setibanya di Serdang, sewaktu mendaftar di satu dewan besar, saya tengok semua orang sama saja.saya hampir tak dapat membezakannya.Yang wanitanya bertudung.Itulah pertama kali saya melihat begitu ramai orang bertudung.Ketika itu di Sabah, masih belum lagi ramai yang bertudung.Itu antara kesan saya sewaktu mula-muola belajar di KL.

UB:       Sewaktu sekolah dulu, siapa cikgu yang paling Prof gemari?
NC:       Bukan gemari, sebaliknya yang paling mengesankan saya.Saya ingat Mrs George. Orangnya tinggi. Memakai sari. Dia guru yang saya paling hormat.Guru matematik. Agak tegas, malah kalau pelajar berselisih jalan, kalau kita Nampak kita menghindar kerana takut. Tapi dia ajar matematik sehingga semua muridnya faham. Dia mahu muridnya dapat yang terbaik.Tanyalah murid di Sabah College ketika itu.Pasti mereka ingat.

UB:       Siapa antara rakan sekolah Prof?
NC:       Ramai. Antaranya Kamil Jamaludin, Roslina Mohd Sharif, Chu Soon Taw, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee, Salleh Kabul dan ramai lagi.

UB:       Sebelum masuk dalam bidang akademik, bukankah Prof pernah bekerja di Kementerian Pelancongan dan  Alam Sekitar? Bagaimana pula Prof boleh tertarik dalam bidang akademik?
NC:       Selama tujuh tahun bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Alam Sekitar di Kementerian Pelancongan & Alam Sekitar Sabah dari tahun 1987-1993. Saya memikirkan sesuatu yang boleh meningkatkan lagi pencapaian. Kalau dulu, setiap tahun ada SKT dan sebagainya. Jadi akhirnya saya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana di UKM Kampus Sabah pada tahun 1992. Ketika belajar itulah saya ditanya, mengapa tidak sertai kami. Maksudnya berkhidmat di Universiti.Selepas itu saya meletakkan jawatan di kementerian pada 1993 dan bertugas sebagai tutor sambil menyiapkan ijazah master saya.

UB:       Ketika UKM pindah ke KL, Prof ikut pindah juga?
NC:       Saya tidak ikut. Ketika itu saya sudah dilantik menjadi Pensyarah di Fakulti Sains Sumber Alam UKM Kampus Sabah.Arwah Prof Dr Arbain minta saya jaga kampus "Harun, jangan dulu pindah, jaga kampus Sabah" begitulah kira-kira yang dikatakan arwah Prof Arbain kerana masih banyak khazanah UKM yang masih terdapat di kampus itu.Ketika itu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru dibuka.

UB:       Bila Prof masuk UMS?
NC:       Apabila Kampus UKM di Sabah ditutup, pada tahun 1996, saya berpindah ke Sekolah Sains dan Teknologi (SST) UMS. Ketika itu, kampus UMS masih meminjam bangunan KKYS. Program SST itu dijalankan di Kampus di Jalan Tuaran. Saya menjadi pensyarah pada tahun 1997-2001. Kemudian pada tahun 2003, saya dilantik Profesor Madya dan pada tahun 2007, dilantik pula sebagai Profesor.

UB:       Barangkali Prof boleh beritahu apa antara perancangan Prof setelah dilantik sebagai Naib Canselor?
NC:       Jika boleh kita mahu menerapkan elemen alam sekitar dalam pembangunan Universiti.Banyak yang kita boleh buat untuk melestarikan alam, yang akan kita akan usahakan dalam tempoh tiga tahun saya menjadi naib canselor.
Kita juga mahu sumber manusia  yang kita miliki dapat dimanfaatkan secara lebih bersistem.Kita juga mahu mengembangkan dan meningkatkan potensi sumber manusia yang kita ada. Selain dari itu, kita juga mahu memperkukuh elemen keharmonian.Kita mahu semua harmoni.Kita tak boleh maju ke depan kalau tak harmoni.Sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengilhamkan Konsep 1Malaysia. Antara tujuannya ialah supaya kita bersatu, supaya kita sama-sama, supaya kita berkerjasama, dan membetulkan salah faham.
Saya menekankan bahawa kita mesti bekerjasama sebagai satu pasukan.Perumpamaanya sama seperti kalau kita berkayak.Kita mesti berkayuh bersama-sama.Sama serentak ke satu arah destinasi.Kalau satu mengayuh ke arah yang lain atau tak serentak, kayak tidak dapat bergerak laju, malah kadang-kadang berpusing-pusing.Oleh sebab itu kita mesti mengayuh sama-sama.Itulah yang kita harapkan.
Kita mahu staff memiliki rasa `sense of belonging’, memiliki rasa kepunyaan terhadap universiti.Dengan adanya rasa kepunyaan, barulah terbina rasa kepedulian, rasa keprihatinan terhadap usaha kita membangun, memelihara citra universiti.

UB:       Apa bidang yang akan diberi tumpuan oleh Prof sebagai Naib Canselor?
NC:       Kita juga akan memperkuatkan bidang penyelidikan yang telah kita pelopori sebelum ini. Kita juga akan fokuskan penyelidikan berdasarkan sumber alam yang kita miliki.Negeri Sabah dikelilingi laut, satu-satunya negeri yang mempunyai pantai yang terpanjang di Negara ini.

Di samping itu, kita juga akan menjadi peneraju dalam bidang penyelidikan akuakultur. Sebagaimana yang kita tahu, rumpai laut kita mempunyai kualiti yang tinggi, yang sudah pasti memiliki nilai komersil yang tinggi.
Selain itu kita akan menjadi peneraju bidang penyelidikan kelapa sawit.Sabah adalah penyumbang atau pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia.UMS berperanan dalam memajukan bidang kajian dalam bidang kelapa sawit.
Kita juga mahu UMS menjadi peneraju dalam bidang penyelidikan minyak dan gas. Inilah antara hasrat kita. Kini UMS memiliki pusat kecemerlangan penyelidikan antaranya Institut Penyelidikan Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Intitut Penyelidikan Marin Borneo dan Institut Penyelidikan Bioteknologi. Kita mahu membangunkan potensi bidang-bidang ini.Kita beri penekanan terhadap penyelidikan bersifat inovasi, pengkomersilan dan sebagainya. Ini tidak bermakna kita tidak memberi penekanan kepada bidang yang lain.Bidang-bidang lain juga turut diberi perhatian selaras dengan hasrat kita menjadi UMS sebagai pusat kecemerlangan ilmu.

UB:       Bagaimana pula dengan pengantarabangsaan UMS?
NC:       Kita akan bekerja kuat ke arah pengantarabangsaan UMS.Kini ramai pelajar dari China,Korea,Jepun, dari Indonesia, Iran, Bangladesh malah dari serata dunia belajar di UMS. Ini menunjukkan UMS salah satu universiti yang terkemuka dan mendapat pengiktirafan dari kalangan antarabangsa.

UB:       Selain itu, apa perancangan dan visi Prof?
NC:       Semua ini saya akan nyatakan dengan jelas dalam ucapan Amanat Naib Canselor yang akan disampaikan pada Isnin (hari ini 25 Jun).

UB:       Oh ya. Tentu tugas baru akan menyita banyak perhatian dan masa Prof. Biasanya jika ada masa terluang, apa hobi Prof, kalau boleh tahu?
NC:       Saya jenis orang yang `family type’. Biasanya saya suka membawa keluarga jalan-jalan. Setiap hujung minggu saya suka berjogging. Senaman baik untuk menjaga kesihatan

UB:       Mungkin ramai yang ingin tahu, apa motto hidup atau falsafah hidup Prof sehingga mampu mencapai tahap seperti sekarang?
NC:       Sentiasa memperbaiki diri.Hari ini lebih  baik daripada kelmarin. Esok lebih baik daripada hari ini. Itu yang banyak mendorong saya. Saya sentiasa cuba memperbaiki diri.

UB:       Boleh tahu apa jenis buku yang suka Prof baca?
NC:       Waktu muda-muda dulu saya suka baca buku agama, falsafah, novel terutamanya novel-novel Buya Hamka. Beliau seorang ulama, ilmuan,ahli falsafah, penulis, dan sebagainya. Buku-bukunya seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Falsafah Hidup dan sebagainya.Itu sebenarnya yang banyak membentuk fikiran saya. Saya meminati buku Hamka sampai sekarang.Bahkan ketika Di Bawah Lindungan Kaabah difilemkan, bila menontonnya menitis air mata saya.

UB:       Masih ada masa baca novel?
NC:.      Sekarang saya baca jurnal, ilmiah. Banyak masa saya gunakan untuk memerika kerja kerja kursus, disertasi dan tesis pelajar.Lebih banyak baca jurnal sekarang, dah tak banyak masa seperti dulu.

UB:       Akhir sekali, apa pesan Prof ?
NC:       Sepanjang tiga tahun menunaikan amanah sebagai Naib Canselor, kita mahu memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah memperkasa, menambah baik dan mempertingkan kecemerlangan universiti.
Semua orang  ada peranan, tak ada yang lebih mulia daripada yang lain.Orang yang mulia adalah orang yang buat kerja dengan bersungguh-sungguh.Setiap orang ada peranan dan tanggungjawab masing-masing yang sama pentingnya. Kita buat kerja bersungguh-sungguh dan ikhlas. Semua harus saling lengkap melengkapi.