PAK
SANDJAYA, DIPLOMAT YANG SUKA SENYUM
TERJEBAK
di tengah-tengah tembak menembak antara dua pihak yang bertelagah di Sana'a
tidak membuat beliau patah semangat.Kerjaya dalam bidang diplomatik yang
ditekuninya, menjadikan lelaki yang suka senyum ini seorang yang lebih suka
berunding dalam menyelesaikan sebarang masalah. Sepanjang kariernya, Bapak
R.Sandjaya pernah ditugaskan di Sana'a Yaman, Port Moresby Papua New Guinea
tetapi tugasnya sebagai Konsul di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI)
Kota Kinabalu adalah antara yang menggembirakannya.
"Saya
bukan orang yang istimewa, tapi saya berusaha untuk membuat sesuatu yang
istimewa," katanya ketika ditemui Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN
HJ.SHAIDDIN di ruang pejabatnya di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI
di Lorong Kemajuan, Jalan Karamunsing, Kota Kinabalu.
R.SANDJAYA
lahir di Makassar, ibu kota Sulawesi Selatan, Indonesia pada 14 Mac 1972. Anak
kepada seorang pegawai Tentera Nasional Indonesia (TNI) , Raden Ilyas Sasongko
dan Ibu Emmy, seorang guru, mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar (SD) di
Kaputayudha, Makassar, kemudian mendapat pendidikan menengah di SMP3 Makassar
dan SMA 2 Makassar sebelum melanjutkan pelajaran di Universitas Hasanuddin
(UNHAS) dalam Jurusan Ilmu Hubungan Antarabangsa. Selepas menamatkan pengajian
pada tahun 1991, beliau pernah menjadi penyampai radio selain menceburi kerjaya
dalam bidang periklanan di Makassar.
Selepas
itu beliau berpindah di Jakarta dan bekerja di Japan Airlines dan pernah juga
bekerja di sebuah restoran Korea di Jakarta sebelum memasuki Departemen Luar
Negeri (DEPLU) pada tahun 1994.
Setelah
menamatkan kuliah di Sekolah Dinas Luar Negeri pada tahun 1995, beliau dikirim
ke Yaman untuk menjadi Kepala Konsular di Kedutaan Indonesia di Sana'a. Ketika
bertugas di Sana'a, R.Sandjaya mempunyai hubungan yang agak rapat bukan saja
dengan pelajar Indonesia malah dengan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Sri Aryati dari Palopo Bajo (Bajau) dan
dikurniakan tiga cahayamata iaitu Ilyas Fatahillah, 15, Muhamad Ihsan, 13 dan
Sulaiman faiz, 11.
Ikuti petikan wawancara bersama beliau pada
satu pagi, sambil minum kopi di pejabatnya, awal minggu ini. Pak Sandjaya
menceritakan sedikit pengalamannya ketika bertugas di luar negeri termasuk
pandangannya mengenai Kota Kinabalu.
UTUSAN
BORNEO: Selepas tamat kuliah, dimana
Pak Sandjaya mula bertugas?
R.SANDJAYA: Selepas tamat Sekolah Dinas Luar Negeri pada
1995, saya dikirim ke Yaman. Begitu turun ke Sana'a, pada hari pertama saya
sampai, saya terjebak dalam peristiwa tembak menembak, perang kabilah di sana.
Kaca kereta yang saya naiki pecah tetapi mujurlah tidak terjadi apa-apa kepada
saya.
UB: Waktu itu, Pak Sandjaya mahu kemana?
RS: Ketika saya mahu berbelanja, untuk
membeli barang keperluan. Ketika turun ke kota itulah, terjadi tembak menembak
antara dua pihak yang bertelagah di Yaman.
UB: Apa yang membuat Pak Sandjaya bersemangat
untuk bertugas di Yaman ketika itu?
RS: Saya
banyak berbahagia ketika berada di Yaman. Di sana, saya banyak belajar
mengenai agama Islam, mengenai sejarah Islam di masa silam. Sana'a itu terletak
kira-kira 2,100 meter dari permukaan laut. Kadang-kadang kadar oksigennya hanya
sekadar 73 peratus,menjadikan kita cepat berkeringat. Setiap tiga bulan harus
turun ke bawah. Satu minggu berada di permukaan laut, dan kemudian balik lagi.
Kalau tidak bisa rosak kerana suhunya agak berbeza dengan daerah kita, yang
berada di garis Khatulhistiwa.
UB:
Sebenarnya apa yang menarik di
Yaman?
RS: Di sana terdapat kota-kota yang
bersejarah. Kaabahnya Abrahah, ada disana. Istana Raja Balqis juga terletak di
sana. Selain itu, ia menjadi tempat belajar santri-santri atau pelajar pelajar
Indonesia, dan Malaysia, yang kebanyakannya bertumpu di Hadramaut. Rumah saya
selalu menjadi tumpuan anak-anak Malaysia dan Indonesia. Pelajar-pelajar Malaysia
juga sering ke rumah. Kami selalu bantu, apatah lagi ketika itu, Malaysia belum
membuka kedutaan di sana.
UB: Hadramaut, sering disebut dalam sejarah
kedatangan Islam di Asia Tenggara kerana kebanyakan pedagang Arab datang dari
Hadramaut. Bagaimana sebenarnya keadaan Hadramaut itu? Boleh ceritakan sedikit?
RS: Kota Hadramaut terletak di Wilayah Tengah
Yaman, dan itu boleh dikatakan, tempat yang menjadi tumpuan sahabat-sahabat
ketika zaman Rasulullah. Ia menjadi salah satu kota yang menjadi tempat syiar
agama dan sampai sekarang, ramai pelajar yang belajar di sana termasuk yang
paling banyak dari Indonesia dan Malaysia. Kotanya terletak di tengah-tengah
gurun pasir. Kebanyakan pelajar Asia Tenggara belaja di Tarem iaitu di Rubat
Tarem, dan Darul Mustapha.
UB: Kalau soal makanan, sukar jugakah mencari
makanan kita di sana?
RS: Ada satu pengusaha Arab dari Indonesia
yang membuku restoran makanan Asia di sana. Tapi kita suka juga makanan Arab,
makan daging kambing. Makanya, anak saya lelaki semua, kata orang kerana saya
banyak makan kambing he he
UB: Sana'a itu jauh dari Tanah Suci Mekah dan
Madinah?
RS: Kalau dari Sana'a, berangkat pada waktu
petang, boleh sampai pagi di Mekah. Jauhnya kira-kira 600 km. Alhamdulillah,
sepanjang di sana, saya sudah lima kali ke tanah suci melalui jalan darat.
UB: Di mana miqatnya? tempat berniat haji
atau umrah?
RS: Miqatnya di Yalamlam.
UB: Teringin juga mahu ke Yaman ni. Apa lagi
yang ada di Yaman?
RS: Yaman sebenarnya tempat yang menarik.
Tempat mempelajari Islam kerana di sana, banyak sahabat-sahabat nabi seperti
Muaz ibn Jabal, tokoh-tokoh perang Badar, dan lain-lain yang bermukim di sana
ketika zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah. Pada ketika itu, Tahrem adalah
pusat perpustakaan Islam yang terbesar.Ini pada zaman Yazid bin Muawiyah.
UB: Berapa lama bertugas di Sana'a?
RS: Saya bertugas di Sana'a pada tahun 1997
hingga 2001. Ketika itu ramai anak-anak Indonesia dan Malaysia yang belajar di
sana.Bahkan saya sering menjadi penjamin mereka jika menghadapi masalah,
misalnya overstay, tinggal melebih tempoh yang ditetapkan di
Yaman.Kadang-kadang izin tinggal mereka ditolak kerana tempat mereka belajar
tidak diiktiraf pemerintah. Jadi sementara mereka mencari tempat baru,
kadang-kadang mereka tinggal lebih masa. Kalau ada masalah saya jadi penjamin.
Jika saya nampak ada pelajar, tidak kira dari Indonesia dan Malaysia, saya yang
menjamin mereka. Ketika itu belum ada kedutaan Malaysia disana. Malaysia hanya
membuka kedutaan sekitar tahun 2000.
UB: Di mana pak Sandjaya belajar bahasa Arab?
RS: Saya belajar bahasa Arab sewaktu di sana.
Beradaptasi dengan masyarakat.
UB: Selepas tahun 2001, dimana pak Sandjaya
bertugas?
RS: Saya balik ke Indonesia dan bertugas
sebagai Ketua Bahagian Seni Budaya dan Filem di Kementerian Luar Negeri.
Filem-filem asing yang mahu ditayangkan di Indonesia, harus diputar dahulu
untuk ditapis sebelum diizinkan untuk ditayangkan di panggung wayang. Di sana
saya bertugas sehingga tahun 2001-2002. Kemudian pada tahun 2002-2004, saya
bertugas di Bahagian Kerjasama Inteligen Luar Negeri di Direktorat Keamanan
Diplomatik. Pada tahun 2004, saya ditugaskan pula di Kedutaan Besar Republik
Indonesia di Port Moresby, Papua New Guinea.
UB: Apa tugas bapak di PNG waktu itu?
RS: Saya bertugas antara laion menangani
masalah Papua. Di sana saya menjadi Kepala Biro Penerangan dan Sosial Budaya
merangkap Head of Chancery atau Ketua Pejabat di Keduataan Indonesia.
UB: Ada pengalaman menarik di Port Moresby?
RS: Di PNG, kami mempertahankan imej positif
Indonesia. Apatah lagi ada tentangan dari kelompok pemisah atau separatis.
Tugas saya di bidang penerangan. Selama
saya bertugas di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), kami berhasil
membawa pulang 325 kepala keluarga ke Merauke atau 875 orang Papua bahagian
utara ke kampung halamanb mereka, termasuk tokoh-tokoh papua. Saya beritahu
mereka, daripada teriak-teriak di luar , lebih baik di dalam untuk
menyelesaikan permasalahan. Selain itu, saya juga menangani masalah nelayan,
penangkap ikan Indonesia yang tertangkap
berdekatan perairan di sempadan berdekatan Merauke.
UB: Selepas itu?
RS: Selepas itu, saya balik ke Jakarta, di
Departemen Luar Negeri dan menjabat Kepala Wilayah Amerika Utara dan Tenaga di
Lembaga Kajian politik di Kementerian Luar dari tahun 2007-2009. Pada tahun
2009 hingga 2010, saya menjadi Ketuia Wilayah Amerika Selatan dan Karibia di
Lembaga Kajian Politik di Kemlu. Pada Disember 2010, saya bertugas di Konsulat
Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu.
UB: Apa kira-kira falsafah hidup Pak
Sandjaya?
RS: Saya kira dimana saja di dunia ini,
rahmat Allah selalu turun.Tidak usah khuatir, rahmat Allah selalu ada
dimana-mana.
UB: Kalau ayah Pak Sandjaya, apa pesan beliau
yang masih diingat?
RS: Pesan beliau yang selalu saya pegang
ialah supaya selalu hormat atas.Kerana beliau seorang militer, tentera. Ayah
saya sebenarnya datang dari keluarga Santri di Ponorogo, Jawa Timur. Sewaktu
Perang Kemerdekaan , beliau turut berjuang dan diberikan anugerah Bintang
Gerilya oleh Bunmg Karno.
UB: Oh ya? Apa makanan kegemaran Pak
Sandjaya?
RS: Kalau soal makan, ini paling susah saya
menjawabnya.Makan di Kota Kinabalu ini, ya, satu tahun berat badan saya naik 15
kilogram.Saya jadi `orang besar', selalu
banyak makan. Jadi untuk membaiki penampilan, saya mengamalkan program diet
yang ketat. Bagi saya, bertugas di Kota Kinabalu itu, saya seperti kembali ke
tempat asal. Di sini, agak mudah bagi saya menemui coto makassar misalnya. Ini
yang menarik. Ikan bakar, itu sama sama seperti kota kelahiran saya. Bahkan
jika ada masa terluang, saya sering nongkrong di anjung Senja.Jumpa kawan sambil
minum kopi. Ia menjadi tempat pertemuan dengan rakan-rakan di sini.
UB: Syukurlah kerana Pak Sandjaya, suka
bertugas di Sabah.
RS: Malah kalau diizinkan, saya berminat
untuk memperolehi rumah kecil jadi tempat tinggal saya di sini he he.
UB: Sepanjang bertugas di Sabah, apa
kira-kira masalah yang dihadapi?
RS: Tugas di sini menyenangkan.Jika ada
masalah di lingkungan birokrasi dalam pelaksanaan tugas, jika ada hambatan,
saya selalu konsultansi, berbincang. Kami mempunyai hubungan yang baik dengan
Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, kami mempunyai hubungan yang baik. Ada
kerjasama, ada kordinasi yang baik. Selama ini, jika ada masalah yang timbul,
kami selalu berbincang, konsultansi.
Saya
juga menyampaikan terima kasih kerana kerjasama Pak Rudy, ibu Lili Suryani di
Sandakan, Jabatan Imigresen, rakan-rakan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di
Kimanis, Papar, dan Sandakan. Kerjasama mereka amat baik, semua paling akrab, dan sedia memberikan bantuan.Mereka
menjadi tempat saya selalu
berkonsultansi jika ada masalah melibatkan warga Indonesia.
UB: Apa tugas pak Sandjaya di Kota Kinabalu?
RS: Di KJRI Kota Kinabalu, saya bertugas
sebagai Kepala Konsuler Bidang Notariat
dan Kehakiman dan Kehakiman (termasuk Imigrasi) merangkap Kepala Kantor (Head
of Chancery (HOC).
UB: Apa hobi Pak sandjaya dimasa lapang?
RS: Hobi saya, sebenarnya bermain badminton
dan berenang, tapi sekarang semakin jarang menyakan badan semakin gemuk.
UB: Siapa idola Pak Sandjaya ya?
RS: Rasulullah S.A.W kerana keperibadian
beliau yang sederhana, dan punya nilai kepimpinan yang tidak bisa diukur.
UB: Apa harapan Pak Sandjaya?
RS: Harapan saya agar tetap menjaga,
memelihara dan memberikan perkhidmatan yang maksimum terhadap masyarakat Indonesia
yang ada di Sabah. Yang paling pokok ialah menjaga hubungan baik antara
pemerintah Indonesia dengan Kerajaan Negeri.
Menjaga hubungan serumpun, jika ada masalah, bisa saling introspeksi, bisa saling mengerti, memahami kerana ada
rasa kekeluargaan sebagai bangsa yang serumpun.