Ahad, 13 Mei 2012

meneka-neka teka-teki

Tags

MENEKA-neka teka teki



KETIKA berjalan-jalan di Wisma Merdeka, kami sempat singgah  membeli buku. Meskipun banyak jenis buku yang dijual di kedai buku itu, perhatian saya tertumpu kepada sebuah buku kecil bertajuk Dusun Riddles of Sabah.

 Buku itu diterbitkan tahun 2008. Penyusunnya, Roziah Uji Razalie, lulusan Wichita State University dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, memiliki diploma perbankan dari UiTM dan sarjana pengurusan dari universiti yang sama, mempunyai minat yang mendalam untuk menelusuri seni budaya Kaum Dusun dengan mengumpulkan teka teki atau  Sundait dalam bahasa Dusun.

 Saya tidak berapa jumlah teka teki yang terkandung dalam buku setebal 183 muka surat terbitan Opus Publications ini. Bagi saya, buku ini sangatlah berharga kerana ia menyimpan khazanah budaya yang boleh dijadikan rujukan oleh generasi kini dan akan datang.

 Roziah menyusun buku ini berdasarkan dua buku, Dusun Riddles oleh Ivor H.N Evans yang dikerjakannya pada tahun 1951 dan 1954 dan sebuah buku lagi, mengandungi 17 teka teki dari buku Dusun Riddles of Sabah oleh D.Wellings yang diterbitkan tahun 1968. Menurut pengakuan Roziah, 37 lagi teka teki dalam buku itu diperolehinya dari ibunya, Asiah Dusuman, yang memperkenalkannya mengenai seni teka teki. Buku yang disusun oleh Roziah ini adalah kumpulan teki teki suku kaum Dusun Kadamaian, Kahung Saraiyoh, Tambatuon, Tambulian, Telibong dan lain-lain lagi.

 Sodop-sodop monontian, suab-suab do susu atau dalam bahasa Melayunya Mengandung setiap malam, beranak atau bersalin setiap pagi. Teka-teki atau Sundait itu  dikutip dari orang Dusun Kadamaian.Apa jawapan  atau araiton bagi teka teki itu?

 Saya mengemukakan soalan teka-teki itu kepada rakan-rakan di facebook, dan mendapat jawapan yang berbagai-bagai. Ketika masa kanak-kanak dahulu, kami sangat suka berteka-teki. Kadang-kadang ada teki teki yang tidak terjawab sampai tertidur. Si penyoal akan selalu meminta supaya kita memikirkan lagi sedalam-dalamnya sehingga bertemu jawapan yang diinginkan.

 Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Teki-Teki bermaksud soalan yang dikemukakan secara samar-samar dan rumit yang jawabannya harus diduga, soalan untuk menduga akal.Kanak-kanak biasanya sangat suka akan teki teki.

 Namun jika kita meneliti seni teki teki, kita mungkin boleh mendapat gambaran mengenai alam pemikiran sesuatu suku bangsa itu. Bagaimana mereka berfikir, bagaimana cara mereka mendeskripsikan sesuatu sesuai dengan milieu mereka. Induoh do otiki, insan do gaiyoh? Dua kali kecil, besar sekali. Jawapan teka-teki itu ialah ulan dalam bahasa Dusun Kadamaian atau tulan dalam bahasa Dusun yang lain, yang bermakna bulan. Sebabnya kerana bulan kelihatan kecil dan berbentuk seperti bulan sabit pada awal bulan, pada pertengahan bulan ia menjadi bulan penuh dan pada penghujung bulan ia mengecil semula.

 Dalam teki-teki tradisional Melayu, kita menemui teka teki berbentuk empat baris pantun iaitu "Akulah bola tergantung tinggi, menjadi pujaan seekor burung, apabila aku tiada lagi, gelap gelita, hidup pun murung". Jawapan bagi teka teki ini juga ialah bulan.  Teka teki berdasarkan kepada satu peribahasa Melayu iaitu pungguk rindukan bulan.

 Memang benar bahawa teka-teki ialah penyataan atau soalan yang mempunyai pembayang-pembayang tertentu yang bertujuan untuk menduga akal seseorang. Kebiasaannya, sesuatu teka-teki itu mempunyai jawapan yang menarik, unik atau kelakar. Terdapat pelbagai jenis teka-teki yang wujud dalam dunia ini, menurut Wikipedia, ensiklopedia bebas.

 Cuba kita lihat teka teki ini. Nosorilid turudang ot botung-botung, maksudnya sebuah tasik dikelilingi oleh batang-batang buluh yang tajam. Apa jawapannya atau araiton bagi teka teki itu. Jawapannya ialah mata. Tasik merujuk kepada mata hitam dan pokok-pokok buluh ialah bulu-bulu di sekeliling mata. Dalam bahasa Iranun, teka-teki untuk mata ialah katutu katiti, yang lebih kurang maksudnya `di situ di sini', juga jawapannya merujuk kepada mata.

 Saya mempunyai pengalaman menarik mengenai teka teki ini. Satu ketika pada tahun lalu, saya pernah melontarkan teki teki dalam bahasa Iranun dalam facebook. Bermula dari satu teka teki itu saya tidak dapat tidur hingga jam tiga pagi kerana diasak dengan pelbagai soalan dari rakan-rakan berbahasa Iranun, bukan saja dari Mindanao, malah mereka yang berada di Amerika Syarikat, di Jepun, di Timur Tengah, di Indonesia , di Kuala Lumpur dan ditempat lain dimana menyebarnya diaspora Iranun dan bergabung dalam grup Basa Iranaon di facebook. Sungguh menarik kerana masih ramai juga yang menyimpan soalan teki-teki yang diminati sejak zaman kanak-kanak lagi.

 Soalan teka-teki ini banyak menguji akal kita, menduga sejauh mana penguasaan kita terhadap bahasa ibunda kita.  Seorang lagi, tokoh yang banyak mengkaji mengenai seni teka teki yang sudah turun temurun ini ialah Dr.Haji Janathan Kandok, kini Pengarah Kastam Sabah.   Saya pernah menemani beliau ketika membuat kajian mengenai teka teki itu. Sayang sekali responden yang kami temui sudah agak berusia.Bayangkan jika tidak ada usaha untuk mengumpulkan teka teki, sudah tentu, ia akan hilang begitu saja. Kehilangan seni teka teki atau sundait dalam bahasa Dusun atau antuka dalam bahasa Iranun juga memungkinkan kehilangan khazanah bahasa ibunda kita.

 Dalam sebuah kapal, ada hamba abdi, seorang nabi dan seorang maharaja. Jika kapal tenggelam, yang mana satu yang meninggal dunia? Soalan ini menguji keupayaan  atau penguasaan berbahasa kanak-kanak.Jawapannya ialah hamba abdi . Hamba abdi saja yang meninggal dunia kerana maharaja mangkat dan nabi pula wafat.Maharaja dan nabi tidak memerlukan istilah "meninggal dunia".

 Satu lagi teki teki berbentuk gurauan ialah kambing mati , diikat dikayu mati , dipukul mati-mati,apakah bendanya?.Jawapannya gendang. Dalam teki-teki ini memberitahu kita bahawa gendang biasanya di buat daripada kulit kambing, yang diikat di kayu mati dan dipukul secara mati-mati atau bersungguh-sungguh untuk menghasilkan bunyi yang diperlukan. Ada gendang yang dipalu untuk kecemasan, ada gendang yang dipalu untuk memberitahu berita kematian dan sebagainya. Ini semua budaya yang boleh digambarkan jika kita mengkaji mengenai teka teki dengan mendalam.

 Sodop-sodop monontian, suab-suab do susu. Jawapan kepada teki-teki Dusun Kadamaian ini ialah walai atau Rumah. Mengapa demikian? Rumah kediaman biasanya lebih ramai orang pada waktu malam dan menjadi lengang pada waktu pagi bila penghuninya keluar bekerja. Biasanya, pada sebelah siang mereka bercucuk tanam atau mencari rezeki dan hanya pada sebelah malamnya mereka balik ke rumah. Jadi orang kampung menggambarkannya dengan teka teki mengandung setiap malam, bersalin setiap pagi.

 Saya fikir, usaha-usaha perlu dipergiatkan lagi untuk mengumpul seni budaya yang masih tertinggal sebelum ia lenyap ditelan waktu. Semua suku bangsa di negeri ini, tidak kira  orang Dusun, Kadazan,Brunei,Bajau, Iranun, Suluk, Sungai, Bisaya, Kedayan, Tidong,Idahan, dan sebagainya, sudah tentu mempunyai teka teki masing-masing. Semua ini boleh dikaji dan dikumpulkan kerana ia memberi manfaat untuk generasi akan datang bagi menggali budaya nenek moyang mereka.

 Kita ini, ibaratnya hatus-hatus o guwas om iso-imo tuntu. Kita ini, ibaratnya sungai yang mempunyai beratus-ratus cabang,  berasal dari satu pohon dan kesemuanya mengalir ke laut.