KATA,KATA-KATA DAN ANCAMAN KATA KATA
"KALAU bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Ini kali lah!."
Saya melihat orang-orang mengacung-acungkan tangan mereka sambil mengucapkan atau meneriakkan kata-kata ini ini. Dengan meneriakkan kata-kata ini, orang-orang itu bertambah bersemangat, bertambah tenaganya untuk berusaha menjayakan cita-cita mereka. Kata-kata "ini kali lah" tiba-tiba menjadi slogan politik, menjadi jargon parti politik tertentu dalam menghimpunkan sokongan orang ramai terhadap perjuangan mereka.
Jika kata-kata ini diucapkan, katakanlah dua atau tiga tahun lalu, ia tidak membawa makna sekuat makna yang dikandungnya sekarang.Kata-kata itu seolah-olah membawa tenaga magis, sehingga orang-orang politik, khususnya golongan oposisi di negeri ini sering mengucapkan, sering melaungkan malah sering meneriakkan kata-kata ini.
Barangkali tidak perlu bagi saya menuliskan mengenai mengapa kata-kata itu dipilih sebagai slogan, dan latar belakang yang menyebabkan kata-kata itu dirasakan oleh mereka sebagai kata-kata yang paling tepat untuk melambangkan keazaman mereka. Saya fikir, sudah tentu banyak persoalan politik, sosial, ekonomi dan budaya yang melatari kelahiran kata-kata itu.
Sebenarnya ungkapan itu lahir sejak lama dalam masyarakat kita dan sering diungkapkan mengikut konteks kata dan konteks masa. Tetapi apabila ia digunakan sebagai jargon politik, kata-kata itu dirasakan seolah-olah menyimpan kekuatan.
"Ini kalilah"
Sekilas tidak ada salahnya kata-kata ini. Kalau bukan kita, siapa lagi? Ia mungkin membawa maksud, kalau bukan kita yang melakukannya, atau kalau bukan kita yang mempertahankannya, siapa lagi yang kita harapkan.
Kalau bukan sekarang, bila lagi? Ungkapan ini membawa maksud yang positif. Maknanya sudah tiba masanya iaitu sekarang, jangan buang masa lagi sebaliknya buatlah sesuatu demi kebaikan.
Ada beberapa persoalan penting yang kita boleh fikirkan dalam ungkapan yang kelihatan pendek ini. Pertama ialah kita dihadapkan dengan persoalan kita dan bukan kita.
Apa ertinya kita, bukan kita dan kalau bukan kita. Kita bermaksud kata ganti bagi diri orang yang bercakap serta sekalian yang hadir (mendengarnya), atau saya dan kamu semua. Dalam dialek Sabah, perkataan `kita' boleh membawa makna kamu atau anda. Jika disebut semangat `kekitaan' maksudnya semangat bekerjasama (bantu membantu) dalam sesuatu kumpulan atau masyarakat, atau boleh juga membawa makna semangat persaudaraan dan sebagainya.
Bukan kita, maksudnya mungkin orang lain. Jadi ungkapan `kalau bukan kita, siapa lagi.' ertinya kita, saya dan anda kerana tiada siapa lagi diharapkan.
Kalau bukan sekarang, bila lagi? Ia berkaitan dengan faktor masa iaitu sekarang, jangan tunggu waktu yang lain, atau jangan buang masa, sebaliknya `ini kali lah" .
Ini Kali Lah! Ketika kata-kata itu dilaungkan di Semporna, orang-orang di sana berkata, bahawa mereka tidak biasa menggunakan ungkapan itu kerana ia merupakan dialek bahasa Melayu Sabah di Pantai Barat dan Pedalaman. Sebaliknya, mereka berhujah, di kawasan Pantai Timur, mereka menggunakan ungkapan `Kali ini" dan bukan "ini kali". Tetapi sama ada `Ini Kali Lah" atau "Kali Ini Lah" yang penting bukan "Lain Kali' kata mereka.
Orang-orang politik ini menemukan satu kata-kata biasa "ini kali lah" dan mereka memberikan tenaga kepada kata-kata itu. Tenaga kata. Kata-kata yang mereka anggap bertenaga untuk mengubah senario.Kata-kata untuk yang mereka anggap boleh membawa mereka ke arah kemenangan.
Tiba-tiba saja ungkapan `ini kali lah' menemukan tenaga dan kekuatan, bukan di kalangan ahli bahasa tetapi di kalangan penutur yang sebelum ini hanya merupakan satu kata-kata biasa, yang dituturkan hampir secara monotonous. Kini ia menjadi embrio yang akan menjelma sebagai satu kuasa.
Di sini kita menyedari betapa kuatnya kata-kata. Betapa kata-kata menjadi satu kekuatan bagi penuturnya. Betapa kata-kata mengandung kekuatan bahkan betapa kata-kata menjelma menjadi raksasa kekuatan bagi mereka yang berahi kuasa.
Sayang sekali kerana kata-kata "Ini Kali Lah" digunakan sebagai senjata untuk memburu kuasa. Sayang sekali kerana kata-kata itu kini seperti dimonopoli satu pihak untuk merobohkan kekuasaan lawan mereka. Oleh sebab, kata-kata ini dikaitkan dengan pihak-pihak tertentu, akhirnya ada orang yang tidak membenarkan orang-orangnya untuk mengucapkan kata-kata Ini Kali Lah.
Kini kita menyaksikan bagaimana bahasa atau kata-kata, biarpun pendek, mampu memberi kekuatan, mungkin juga memberi kebimbangan atau ketakutan bagi pihak-pihak yang melihat kata-kata itu tak ubahnya satu seperti hantu yang mengganggu hidup mereka. Padahal sebenarnya kata-kata itu adalah milik semua orang. Tetapi apabila ada usaha setengah pihak untuk memiliki kata itu, maka pihak lain merasa khuatir akan bahaya kata-kata.
Sebenarnya ungkapan ini hanyalah kata-kata biasa, yang tiba-tiba menjadi luar biasa, bagi mereka yang memburu kuasa.
Sabtu, 4 Februari 2012
Kata,Kata-kata dan ancaman kata
✔
abd naddin
Diterbitkan 6:55 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)