Sabtu, 14 Januari 2012

Menjadi wartawan itu tugas yang mulia, kata Muhammad Nasri Aboe

Tags

MENJADI WARTAWAN ITU TUGAS YANG MULIA

-Satu catatan pertemuan dengan Muhammad Nasrie Aboe

SAYA suka menulis mengenai orang-orang kecil, itu yang mendorong saya menjadi wartawan, kata Muhammad Nasri Aboe. Wartawan kanan FAJAR, sebuah harian pagi yang terbit di Makassar, Indonesia menceburi bidang kewartawanan sejak 1985. Sebelum itu, beliau bekerja sebagai surveyor di Sucofindo, sebuah badan yang mengurus perlesenan beras. Beliau meninggalkan gaji yang lumayan untuk menjadi seorang wartawan kerana panggilan hati nurani.

Pada tahun 1985, beliau pernah bertugas sebagai wartawan lepas majalah Detektif dan Romantika di Samarinda sebelum balik ke Makassar.Beliau juga pernah bertugas di Harian Tegas, sebuah akhbar petang sebelum menyertai akhbar Fajar, yang kini merupakan antara suratkhabar paling berpengaruh di luar pulau Jawa. Mantan Ketua Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Pinrang ini sebelumnya adalah Setiausaha PWI Pare-Pare. Lulusan Akademi Jurnalistik Makassar ini pernah membuat liputan dalam pelbagai peristiwa penting yang terjadi sama ada di Makassar atau di kota-kota lain di Indonesia dan negara-negara Asean.

Kerja sebagai wartawan adalah kerjaya yang mulia, katanya. Satu hari beliau memerhati seorang wanita kelihatan murung dan susah hati.Ketika ditanya, ternyata perempuan itu adalah isteri kepada Basri Masse, seorang warga Indonesia yang pada ketika itu menghadapi hukuman gantung di Malaysia. Melalui suratkhabar, penderitaan wanita itu didedahkan dan mendapat simpati.

"Saya banyak melihat dan menulis mengenai masyarakat kecil yang terabaikan," katanya ketika kami duduk di Restoran Kak Tini. Ada satu lagi peristiwa yang tidak dapat dilupakannya iaitu Kes Minasa, yang dituduh selingkuh oleh suaminya. Ia dimarahi dan dituduh berselingkuh kerana keadaan perutnya yang besar, disangka hamil. Tetapi ketika diselidiki terbukti bahawa wanita itu sebenarnya menderita penyakit barah. Akhirnya setelah diperiksa doktor, wanita itu disahkan menghidap tumor atau barah.

"Wanita itu ada penyakit, hanya kerana ia orang kecil, yang tidak punya apa-apa, ia dimarahi dan dituduh kerana perutnya kelihatan hamil, padahal ia menderita barah," kata Muhammad Nasri. Perkara seperti inilah yang menjadi perhatiannya. Ekoran daripada itu, wartawan menubuhkan tabung Minasa yang diilhamkan oleh Nasri dan kawan-kawannya. Di sana, sumbangan masyarakat mengalir termasuk mendapat perhatian daripada Ibu Nani Wijaya. Akhirnya, melalui keprihatinan masyarakat, wanita itu menjalani pembedahan. Baki wang yang dikumpulkan melalui Tabung yang dinamakan Dompet Minasa itu digunakan untuk membeli rumah dan mesin jahit untuk Minasa.

"Kalau bukan wartawan, mana mungkin kisah orang kecil itu diketahui masyarakat luas," katanya. Muhammad Nasri berada di Kota Kinabalu untuk membuat liputan mengenai program 5P. Sabah negeri yang menarik, katanya.

Beliau juga mendapati kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia amatlah baik dan memuaskan khususnya dalam soal menangani pekerja Indonesia. "Tapi kebanyakannya diurus oleh pihak ketiga yang merosak program Kerajaan Malaysia dan Indonesia yang serumpun," katanya.

Beliau juga menyebut mengenai nasib 53,000 anak-anak pekerja Indonesia. Hanya 12,000 daripadanya yang mendapat pendidikan, katanya sambil menambah, bagaimana nasib 43,000 orang lagi anak-anak itu. Perkara orang-orang kecil inilah yang perlu mendapat perhatian semua pihak.

Sewaktu mula-mula menjadi wartawan, beliau selalu ditanya dan disindir "mengapa kau pilih jadi wartawan?Malah ada yang bilang wartawan gajinya hanya senin-kamis (Isnin-Khamis) yang maksudnya kecil.

"Saya menjadi wartawan kerana dengan menjadi wartawan,saya bisa membantu masyarakat kecil," katanya. Beliau mengaku mendapat kepuasan dengan menjadi wartawan. Bahkan salah seorang anaknya, Rizaldy Nasri Aboe menjadi wartawan Seputar Indonesia. Muhammad Nasri juga membidani terbitnya akhbar Pare-Pare Pos, hanya bermula dengan dua komputer dan beberapa wartawan, dan kemudian berkembang hingga terbitnya Radar Bone, Radar Sul bar, radar Bulukomba, yang semuanya bermula daripada idea Pare-Pare Pos.

Apa yang menarik di Sabah? Muhammad Nasri berkata, ada banyak destinasi yang boleh dijadikan objek pelancongan tetapi belum dieksploitasi sepenuhnya. Beliau menyebut pengalamannya ketika melalui Jalan Kimanis-Keningau dan disana, mereka sengaja memberhentikan kereta untuk menguji medan magnet yang terdapat di sana. Kereta yang mereka berhentikan arah ke bawah itu melaju ke atas ditarik oleh medan magnet walaupun sepatutnya ia meluncur ke bawah.

Muhammad Nasri berkata, kawasan itu boleh dijadikan tempat pelancongan. Katanya, medan magnet itu lebih kuat berbanding dengan medan magnet yang terdapat di Arab Saudi.

"Tetapi saya melihat, tempat itu dibiarkan saja tanpa diberikan perhatian, sehingga ramai orang Sabah sendiri yang tidak tahu mengenai kewujudannya.Sedangkan medan magnet yang sama terdapat di Arab Saudi berjaya menarik pengunjung yang ramai," kata Muhammad Nasri lagi. Lokasi medan magent di Jalan Kimanis itu lebih baik berbanding dengan yang ada di Arab saudi kerana dari sana kita boleh melihat pemandangan gunung yang indah.

Nasri juga berharap hubungan antara Fajar, salah satu akhbar yang bergabung di bawah panji Jawa Pos dan Utusan Borneo, akhbar terbesar dan terkemuka di Sabah dan Sarawak akan dapat menjalin hubungan muhibbah yang lebih akrab.

Selain itu, beliau juga berharap program pertukaran berita antara kedua-dua akhbar itu akan dapat dilaksanakan kerana ia dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, apatahlagi terdapat ramai warga Malaysia khususnya berketurunan Bugis yang mempunyai leluhur di Sulawesi.

Beliau juga berkata, hasil pemerhatiannya, Utusan Borneo mempunyai ramai peminat dan pelanggan kerana isi beritanya yang pelbagai, bebas dan banyak memberikan maklumat kepada golongan pembacanya.

1 comments so far

aku teringat dulu waktu kami sekeluarga pulang dari kota kinabalu dengan melalui jalan kimanis(tahun 2001).bapa aku drive kereta van meminta aku dan kakak aku lompat2 di belakang van kerana van sukar naik atas.pelik pula..