SAYA TIDAK INGAT LAGI WARNA PISAU ITU
SAYA tidak ingat lagi warna pisau itu.Juga bagaimana bentuknya. Tapi saya yakin benar bahawa pisau itu memang amat tajam.Ia mampu memotong kulit kita dalam sekejap. Saya masih terasa betapa mengerikan peristiwa itu, meskipun ia sudah berlaku lebih tiga puluh tahun yang lalu. Bagi saya, ia sesuatu yang luar biasa.Sekali dalam hidup dan menjadi penanda dalam perjalanan menuju dewasa.
Di kampung kami, ketika itu hanya terdapat dua orang mudim. Seorang yang kami panggil Amai Budui atau Haji Yusuf, seorang lagi Apu' Amai Melin atau Haji Ahmad. Oleh kerana lidah orang kampung kami, tidak dapat menyebut huruf H, C dan Z maka Haji Yusuf disebut Kadi Yusuf. Lidah mereka keras, maka jangan hairan, jika pada ketika itu Nabi Muhammad, disebut Nabi Mukamad, Ahad disebut Akad, Kaca disebut Katia, Kacang disebut Katiang dan sebagainya.
Tetapi Haji Yusuf, selain menjadi imam, seorang tok mudim yang terkenal.Begitu juga Haji Ahmad yang selain menjadi Mudim adalah `pamomolong' atau tukan ubat tradisional yang terkemuka di daerah kami ketika itu. Entah berapa ratus orang kampung kami yang pernah menjalani upacara berkhatan yang dilakukan oleh mereka berdua.
Ketika itu, belum ada pihak atau penganjur yang menganjurkan upacara berkhatan beramai-ramai seperti sekarang ini. Belum ada juga klinik atau hospital yang mempunyai kepakaran untuk mengkhatankan anak lelaki. Hanya selepas itu, di Klinik Jawi-Jawi, muncul seorang bernama Osman, kalau tidak silap saya, yang bertugas menyunat kanak-kanak yang hampir akil baligh.
Orang yang mengkhatankan saya ketika itu ialah pakcik Haji Yusuf itu. Sekarang beliau sudah arwah. Arwah Haji Yusuf itulah yang menjalankan upacara berkhatan itu kepada saya, lebih tiga puluh tahun yang lalu. Ketika itu kami dibawa ke dalam belukar kecil di satu tempat yang kami panggil `pagun' Amai Arifin untuk dikhatankan. Pagun dalam bahasa Iranun bermakna Kebun tetapi tempat itu hanya ditanami pokok kelapa dan kerana kurang terjaga, tumbuhlah pokok-pokok yang membentuk belukar kecil. Di tempat itulah, kami dikhatankan.
Beliau menenangkan kami supaya jangan takut atau gentar. Katanya proses itu hanya sebentar. Saya melihat beliau meengeluarkan beberapa alat, dan saya diminta duduk di satu tempat yang dikhaskan. Kemudian beliau mengeluarkan alat khas seperti pisau yang tajam dan memulakan upacara yang memisahkan kami dengan alam kanak-kanak. Selepas upacara berkhatan itu, kami dianggap lelaki yang sempurna, mengikut kepercayaan dan budaya kami.
Jika tidak silap, ibu memberikan seekor ayam, tidak ingat apa warnanya, dan wang tunai sepuluh ringgit sebelum kami dikhatankan itu.Pakcik Haji Yusuf menerimanya tanpa banyak cincong. Selepas itu, kami dibenarkan pulang dengan memakai kain pelikat, dan kerana sakit dan ngilu, saya memegang kain, mengangkatnya sedikit dan sesampainya di rumah berbaring diam-diam dan tidak dibenarkan banyak bergerak supaya luka cepat sembuh.
Ada seorang abang sepupu saya yang agak berani juga, selepas dikhatankan itu,beliau masih bermain bola. Kerana tidak menepati pantang larang itu maka lambatlah lukanya sembuh. Mungkin lama juga, lebih seminggu, barulah saya dibenarkan berjalan dengan leluasa.
Kini walaupun telah lama berlalu, peristiwa itu tetap terakam dalam ingatan saya. Betapa mencemaskan tetapi betapa membahagiakan kerana selepas berkhatan itu kami dianggap lebih dewasa. Biasanya,pada musim cuti sekolah seperti sekarang, adalah waktu yang paling tepat dan paling sesuai bagi kanak-kanak muslim untuk menjalankan upacara berkhatan itu. Ada yang menyambutnya dengan gembira, seperti berpesta. Disirami air kegembiraan, riang ria sebelum mereka dikhatankan oleh tok mudim atau doktor di hospital.
Bagi saya, jasa tok mudim ini perlu dihargai. Kadang-kadang jasa bakti mereka terlupakan.Padahal mereka mempunyai peranan yang penting dalam menentukan status kedewasaan seseorang seperti di kampung kami. Setelah proses berkhatan itu, dan setelah kami dianggap dewasa, maka kami dikehendaki untuk menjalankan perintah agama seperti puasa dan solat tanpa banyak alasan kecuali menyerahkan diri kepada kasihsayang Allah SWT.
Bayangkan kalau tok mudim tiada, bayangkan kalau orang seperti Haji Yusuf dan Haji Ahmad dan tiada pula orang yang menggantikan tugas mereka, sudah tentu salah satu tuntutan atau kewajiban sebagai umat Islam tidak dapat dilaksanakan.Mujurlah ada tokoh-tokoh yang tidak didendangkan seperti mereka berdua itu, yang diberikan autoriti untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sesuai dengan kehendak agama.
Kebanyakan ibu bapa di Malaysia mengkhatankan anak-anak mereka ketika mereka berusia 10-12 tahun. Amalan berkhatan ini sudahpun dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim malah ada rekod yang mengatakan amalan berkhatan itu sudah dilakukan di zaman Mesir Purba. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri, mengikut pandangan Imam Ibn Qayyim, dikhatankan oleh datuknya Abdul Mutalib pada hari ketujuh kelahiran beliau mengikut kebiasaan orang Arab.
Di antara fungsi berkhatan bagi lelaki adalah membuang tempat bersarangnya kotoran. Bahkan ada juga yang mengatakan berkhatan dapat menghindarkan diri dari terkena penyakit berbahaya seperti HIV. Ramai juga pakar kanak-kanak menganggap amalan khatan baik di kalangan kanak-kanak lelaki. Di antaranya ialah Dr.Edgar J.Schoen, seorang profesor perubatan kanak-kanak di Universiti California San Fransico.
Dalam satu kajian yang beliau lakukan bersama rakan-rakannya mendapati bahawa daripada 89 kes barah zakar, 87 daripadanya di kalangan lelaki yang tidak berkhatan. Menurut beliau, khatan mencegah lelaki dari menghidap barah zakar dan penemuan beliau itu telah dimuatkan dalam majalah Pediatrics.Di samping itu, terdapat banyak kajian yang telah dilakukan yang menunjukkan khatan mencegah dari pelbagai jenis penyakit.
Bagaimanapun, mungkin pengalaman setiap orang berbeza antara satu sama lain. Memang seronok untuk mengadakan upacara berkhatan beramai-ramai, dihadiri oleh sanak-saudara dan kadang-kadang disaksikan orang kenamaan, diraikan dengan gembira kerana ia peristiwa yang hanya berlaku sekali seumur hidup. Banyaknya program berkhatan yang diadakan dalam cuti sekolah menunjukkan bahawa kesedaran di kalangan masyarakat Islam di negara ini untuk menjaga amalan budaya dan kehendak agamanya masih tinggi.
Semoga selepas ini, mereka menjadi orang-orang yang bukan saja mengamalkan amalan berIslam dengan menjaga hubungan antara sesama dan berbaik-baik kepada semua orang tetapi juga tidak melupakan esensi atau hal-hal pokok dalam beragama. Seiring dengan waktu memasuki usia remaja, semoga anak-anak kita dirahmati dan diberkati hidup mereka menjadi generasi yang berguna.
Ingatan saya terhenti apabila ternampak seorang kanak-kanak berkain pelikat, keluar dari kereta, singgah minum di Likas Plaza.