Ahad, 1 Januari 2012

di pintu gerbang ketika tahun baru

Tags



Tepat jam 12.00 malam, saya berada di depan pintu gerbang masuk ke kampung kami.
Bunyi berdentum diikuti cahaya percikan bunga api menghiasi malam penutup tahun 2011. Saya mengambil handphone berkira-kira menghantar ucapan tahun baru tanpa menyedari bahawa sebenarnya saya kehabisan kredit.
Sms yang tidak terkirim, tahun lalu yang pergi, mengiringi langkah saya untuk memasuki tahun baru yang tiba.
Saya cuba menulis.Membaca buku-buku tetapi ternyata saya kemudian mengambil air suam untuk diminum.
Saya terduduk memikirkan betapa banyak yang belum saya lakukan, dan perlu saya lakukan secepat yang mungkin sebelum ilham menulis hilang.
Saya berazam untuk menghasilkan sekurang-kurangnya empat buku tahun ini.Itulah KPI saya.Tapi kalau dapat terbit dua bukupun, saya amat bersyukur, apatahlagi jika kos penerbitan itu hasil usaha dan inisiatif saya sendiri.Menjadi penulis independen yang menerbitkan buku secara independen pula, mungkin sangat menarik.
Saya terfikirkan betapa saya masih gagal untuk menyusun buku-buku, mengkatalognya dan mendaftarnya dalam satu sistem yang tersusun.
Saya hampir menangis kerana ada buku-buku yang rosak dimakan tikus.Ada juga buku yang hilang.Ada yang dipinjam tapi belum dikembalikan juga sampai sekarang. Tahun 2012, dalam suku pertama tahun ini, saya akan cuba menyusun daftar buku-buku supaya ia lebih terjaga lagi.

Masih banyak yang perlu dikemas dan diatur. Bersih lahir dan di dalam batin, saya teringat satu lagu, yang memotivasi saya untuk bersih lahir dan di dalam batin.
Tiba-tiba terganggu ketika terdengar orang buat bising kerana mabuk.Sedih melihatnya kerana memilih cara begitu untuk menyambut tahun baru.
Khabarnya, orang mabuk itu terjun dari tingkap, lalu datang memukul dinding rumah orang, sesuatu perlakuan yang sepatutnya tidak ada di kampung kami.

Ya, saya juga melihat betapa cantiknya bunga api di langit tahun 2012 di Kota Kinabalu.Walau tidak semeriah tahun yang lalu, tetapi tahun baru tetap datang juga, tidak peduli sama ada cahaya bunga api ada atau tiada.

Dulu, saya suka mendengar peluit kapal dibunyikan bersahut-sahutan untuk menyambut tahun baru. Saya juga suka menyaksikan bagaimana ulah orang menyambut tahun baru, suka berada di keramaian dan berada di tengah kerumunan. Tapi zaman itu sudah berlalu, kata Haji Hakim yang menghantar saya pulang malam itu selepas kami minum di sebuah restoran di Jalan Gaya.

"Ketahuilah, makan, minum, kesenangan dan perolehan materi adalah bagian dari tujuan hidup yang terbatas, tetapi tekad membara terhadap cita-cita yang besar, akan membawa kita menjadi orang besar kelak", kata Ustaz Jalidar sambil mengsms mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012.