BERMULA DARI PANDANGAN MATA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
DARI mana punai melayang, dari sawah turun ke padi, dari mana datangnya sayang, dari mata turun ke hati.
Saya suka pembayang dan maksud pantun lama ini.Meskipun saya sedar sekarang tidak lagi banyak punai, tidak lagi banyak sawah, kerana itu tidak banyak lagi padi.Populasi burung jauh berkurang kerana dahan pokok tempat mereka hinggap telah ditebang.Sawah-sawah yang dulunya luas, kini telah dikebas oleh pembangunan.
Walaupun begitu, walau tiada lagi punai melayang, perasaan sayang tetap datang dari mata turun ke hati.Hakikat ini tidak lagi dapat dimungkiri kerana apabila mata telah berkata, hati dengan mudah dapat menerima.
Kata-kata `dari mata' itu menunjukkan bahawa pertama-tama pandangan matalah yang menentukan penilaian, pentafsiran, yang pada akhirnya membuahkan kesimpulan akan sesuatu. Dengan itu, kata-kata `dari mata turun ke hati' itu dianggap amat penting dalam sekuen -sekuen atau babak-babak dalam kehidupan kita. Bahkan bukan saja dalam pantun cinta seperti ini tetapi pandangan dari mata itu adalah sesuatu yang sering kita lakukan, sering kita perbuat dalam menentukan sikap kita, perasaan kita, fikiran kita dan sebagainya.
Sebab itu, kita sentiasa dituntut untuk melihat dengan mata, sama ada dengan mata lahiri, atau dengan mata batini kita.Kalau kita tidak dapat melihat secara lahiriah, kita mesti melihatnya menggunakan mata hati kita.
Setelah kita melihatnya dengan mata,kemudian barulah turun ke hati.Apabila kita telah menetapkannya dengan hati,biasanya ketetapan itu sukar diubah.Hati, bagaimanapun bentuknya, atau walau bagaimanapun orang mengertikannya, mempunyai peranan untuk menentukan benar salah, sesuatu keputusan atau tindakan kita.
Tetapi apabila pandangan `dari mata' kita silap, seperti yang berlaku kepada salah seorang sahabat baik saya, boleh mendatangkan akibat yang pelbagai. Alkisahnya,isteri sahabat baik saya ini `ter'silap melihat dari mana datangnya cahaya. Saya menekankan imbuhan `ter' itu kerana perbuatan beliau itu tidak disengajakan, malah tidak pernah pun terbetik dihatinya. Hanya apabila suaminya terdetik untuk melihat punca cahaya itu, maka barulah disedari bahawa selama ini, sebenarnya mereka tersalah arah.
Kira-kira dua bulan yang lalu, isteri sahabat saya itu terfikir untuk mencari rumah sewa. Suaminya kerana bertugas di luar daerah, hanya pulang sebulan sekali atau sebulan dua kali itu, mempercayakan kepada isterinya untuk mencari rumah sewa baru untuk mereka.Dipendekkan cerita, mereka pun berpindahlah ke sebuah rumah yang meskipun sederhana besarnya, selesa untuk didiami.
Ketika mereka mula berpindah itu,isterinya sudah melihat dimana cahaya tumpah, lantas membuat kesimpulan bahawa disitulah arahnya menghadapkan wajah.Dalam agama, arah matahari boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat.
Mungkin sepanjang masa itu, isterinya jarang melihat matahari.Mungkin juga jarang membuka jendela, atau kalaupun membukanya, tidak pernah melihat matahari.Hinggalah pada satu pagi, mereka terfikir untuk bersama-sama melihat cahaya matahari yang terbit.
Dan alangkah terkejutnya mereka, bahawa sebenarnya arah kiblat mereka selama ini salah kerana rupa-rupanya mereka menghadap ke arah matahari terbit.
Kiblat atau menghadap ke arah Kaabah di Masjidil Haram Makkah Al Mukarramah adalah prasyarat utama sahnya ibadah sembahyang. Kita diwajibkan menghadap kiblat dan bukan arah yang lain.
Keinginan untuk melaksanakan ibadah dengan betul terutamanya dalam menunaikan sembahyang adalah impian setiap umat Islam kerana sembahyang adalah tiang agama.
Soalnya, apakah ibadah sembahyang mereka sah? Tanpa mereka sedari, menghadap ke arah lain yang bukan kiblat. Apakah mereka salah disebalik ketidaktahuan itu. Tetapi kesilapan itu berpunca dari kelalaian mereka melihat, bermula dari pandangan mata.
Sebenarnya banyak cara untuk menentukan arah kiblat, mulai dari kompas magnetik, bayang-bayang matahari sampai dengan alat survey dan navigasi satelit seperti GPS dan kompas digital.
Tetapi dalam cerita ini, isteri sahabat saya itu tersilap mentafsir bayang-bayang matahari sehingga dalam tempoh itu mereka tersalah arah kiblat.
Dengan itu, kata-kata `dari mata turun ke hati’ hanya lengkap pengertiannya apabila kita memerhatikan, meneliti dan menyelidiki. Sebab bila kita berpandu hanya kepada pandang pertama, kadang-kadang kita boleh tersalah.
“Apakah kamu tidak memerhatikan (penciptaan) Tuhanmu, bagaimana Dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang; dan kalau dia menghendaki, nescaya Dia menjadikan tetap bayang-bayang itu.Kemudian Kami jadikan matahari sebagai petunjuk atas bayang-bayang itu, demikian Allah menyebutnya secara tersirat dalam surah Al-Furqan ayat 45.
Tuhan juga memberikan jaminan dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 149 , bahawa Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang dikerjakan oleh hambanya. Dari mana saja engkau keluar untuk mengerjakan sembahyang, maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram.Sesungguhnya, itu merupakan satu ketentuan dari Tuhan dan Dia tidak sekali kali lalai dari `apa yang kamu kerjakan”.
Menurut Imam Al-Ghazali. Salah satu syarat doa kita mustajab ialah apa yang disebut mustaqbilal qiblah iaitu menghadap arah kiblat.
Barangkali itu sebabnya doa kita sering tidak terkabul kerana cara doa kita sembarangan, dan terburu-buru kata seorang teman saya. Betapa pentingnya arah kiblat. Sehingga nabi pernah berpesan kepada umatnya supaya jangan membuang hajat menghadap atau membelakangi kiblat.
Kata sahabat saya, “sekarang setiap kali kami sembahyang, kami tersenyum mengingat kesilapan melihat bayang matahari.Malah pada detik itu, barulah kami menyedari, betapa lamanya tidak melihat matahari terbit atau terbenam walaupun kejadian itu antara detik terindah dalam kehidupan.”. Pernahkah kita merenung, meneliti, merasai keindahan langit, awan, dan bintang-bintang di angkasa.Pernahkah kita melihat betapa besarnya kurnia Tuhan kepada kita, iaitu sepasang mata.
Ya, segalanya bermula dari pandangan mata.