Khamis, 10 November 2011

menjejaki diaspora Iranun 1-kisah dato mama

Tags

Kalau terjumpa tuan di laut, tuan pasti jadi orang tawanan.
Itulah antara kata-kata yang diucapkan oleh Dato Mama kepada seorang pegawai kolonial Belanda ketika mereka bertemu di Lampung, Sumatera.
Pegawai kolonial Belanda itu, M.Francis terus menulis ke Batavia melaporkan peristiwa pertemuan itu. Ketika itu M.Francis sedang berkeliling ke daerah-daerah jajahan Belanda, tiba di Lampung dan singgah bermalam di rumah Kepala Desa.
Pada masa itu, Dato Mama juga sedang bertamu. Kerana mereka berdua menjadi tetamu, maka mereka terpaksa menjaga adab masing-masing-masing.
Peristiwa ini terjadi di tahun 1830-an. M. Francis dalam suratnya bertarikh 17 Oktober 1837 melaporkan bahawa Dato Mama, adalah ketua lanun yang hanya berminat dengan perahu besar `tiang sambung' .

Surat M.Francis ke Batavia ini (Arsip Nasional 2520) dikutip oleh Adrian B.Lapian dalam artikelnya bertajuk Violence and Armed Robber in Indonesian Seas dan dimuatkan dalam buku Pirates, Ports and Coasts in Asia: Historical and Contemporary Perspective oleh John Kleinen dan Manon Osseweijer.

Dato Mama, tidak dicatatkan dari mana dia berasal. Tetapi berdasarkan namanya beliau jelas seorang Iranun yang terlibat dalam perdagangan di perairan nusantara. Ketika itu, dunia masih membenarkan perdagangan hamba, dan kemungkinan besar, jika dia bertemu M.Francis di tengah laut, maka besar kemungkinan beliau akan menjadikannya tawanan, dan mungkin boleh diperdagangkan di Singapura.

Sejarah membuktikan bahawa orang Iranun adalah sangat dominan dalam dunia maritim di Nusantara pada abad ke 18 dan ke 19. Bahkan seorang pedagang Arab, Syed Hassan Al-Habsy melaporkan bahawa di Pulau Laut, sebuah pulau di selatan Kalimantan, terdapat 90 perahu orang Iranun yang bekerjasama dengan Haji Jawa menguasai jalur perdagangan di perairan itu.
Sebelum itu, pada Mei 1787, orang Iranun yang bertindak atas permintaan Sultan Mahmud III mengusir Belanda dari Tanjung Pinang.

Bagaimanapun catatan mengenai kehadiran Dato Mama di Lampung seperti yang dilaporkan oleh M.Francis adalah bukti penting bahawa memang benar orang Iranun memainkan peranan penting dalam perdagangan di nusantara sebelum ia diganggu oleh kedatangan kolonial. Bahkan kerana ketakutkan mereka orang Iranun, mereka menggelar siapa saja yang menentang mereka di laut sebagai `lanun'. Ini merupakan panggilan exonym untuk orang Iranun.Lama kelamaan, perkataan lanun melekat kepada sesiapa saja yang melakukan kerja merompak di laut dan sebagainya.

Mengikut catatan sejarah, masyarakat Iranun dari Borneo mempunyai hubungan yang erat dengan kerajaan-kerajaan Melayu termasuk Johor Riau, Kedah dan sebagainya dan pernah dilaporkan menghantar bantuan kepada kerajaan di negeri-negeri itu untuk berjuang menentang penjajahan, pemerasan terhadap anak negeri dan sebagainya.

Paling tidak kisah pertemuan Dato Mama dan M Francis di Lampung pada Oktober 1837 membuktikan bahawa orang Iranun tidak pernah takut ketika berhadapan dengan orang Eropah.

"Kalau terjumpa tuan di laut, " kata Dato Mama, sudah pasti M Francis akan menjadi salah seorang tawanannya. Betapa beraninya dia mengucapkan itu, ketika berhadapan dengan seorang pegawai kolonial yang sangat berkuasa pada masa itu.

Bayangkan!