Rabu, 12 Oktober 2011

sekadar berkongsi pengalaman sewaktu di Pattani

Tags

SEKADAR BERKONSI PENGALAMAN DI SEMINAR ANTARABANGSA PENGAJIAN MELAYU DI PATTANI

PELUANG menyertai Seminar Antarabangsa Mengenai Pengajian Melayu Kali Pertama 2011 yang diadakan pada 24-26 Mac lalu di Narathiwat dan Pattani, Selatan Thailand adalah sesuatu pengalaman yang sangat berharga. Seminar bertemakan "Patani: Pengalaman dari Dunia Melayu" itu diadakan di tiga tempat iaitu di Pancor Nasional Park, Bachok, di Dewan Jubili Majlis Daerah Bachok, Narathiwat dan Prince of Songkla Universiti Kampus Pattani.

Di Pancor Nasional Park, saya diminta bercakap mengenai puisi perdamaian, mungkin atas kapasiti saya sebagai Ketua Dua Ikatan Penulis Sabah (IPS). Selepas itu saya membentang kertas kerja di dewan Jubili, Majlis Daerah Bachok atas kapasiti sebagai wartawan Utusan Borneo yang pernah membuat liputan dan berkunjung ke Mindanao manakala di Prince Songkla University, Kampus Pattani saya diminta bercakap mengenai sukubangsa Iranun dan masyarakat Sabah yang berbilang kaum atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan Badan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI).

Selain daripada membentang kertas kerja kami dibawa melawat tempat-tempat bersejarah dan destinasi yang menarik. Selain muzium peribadi Nik Amin di Mukim Gading, Daerah Jeringga, kami dibawa melihat istana Raja Sai yang terbiar, Muzium Raja Teluban di Yingo yang sedang dalam pembinaan, lokasi tragedi Tak Bai dan sebagainya.

Pemakalah dari negara-negara Asean seperti Malaysia, Singapura yang diwakili Sasterawan Tun Seri Lanang, Djamal Tukimin, Indonesia diwakili Prof Dr.Zulhasril Nasir, dan Negara Brunei Darussalam diwakili Dato Paduka Utama Ustaz Dr.Awang Haji Abdul Hamid Haji Tamat atau lebih dikenali Salmi Mesra dan anggota rombongan lain juga telah melihat Masjid Wadi Hussin, masjid kayu tertua berusia kira-kira 250 tahun di Teluk Manak, dan Masjid Krisik atau Masjid Krue Se yang bersejarah itu. Kami juga dibawa berkunjung ke Yala Rajabhat Universiti, Prince of Songkla Universiti Kampus Pattani dan Kampus Hatyai. Tidak lupa juga, kami sempat dibawa berkunjung ke Yarang, iaitu ibukota Kerajaan Langkasuka yang terkenal, sebelum kerajaan itu dikatakan berpindah ke Kedah.

Majoriti penduduk keturunan Melayu mendiami wilayah wilayah di Selatan Thailand. Wilayah–wilayah yang bersempadan dengan Malaysia itu seperti wilayah-wilayah Melayu Patani (Kerajaan Melayu Patani lama) iaitu Wilayah Pattani, Yala, Narathiwas; wilayah bekas tanah jajahan Kedah, Malaysia iaitu Wilayah Setul dan kawasan Kerajaan Melayu Patani lama yang diserah kepada kerajaan Singora atau Songkla iaitu 4 daerah (Nathawi, Sabayoi, Chanak dan Sadao) di Wilayah Songkhla.

Penduduk keturunan Melayu berjumlah hampir 2 juta. Selain berlainan bangsa, bahasa pertuturan dan budaya, mereka juga berlainan agama dan sejarah dengan pendudukan keturunan Thai.

Bagaimanapun, suasana bergolak sejak tahun 2004. Keadaan di Wilayah Pattani dalam keadaan tidak setabil. baik dari segi politik dan keamanan. Hubungan di antara etnik di beberapa tempat tidak erat seperti sebelum tahun 2004.

Menurut pengerusi penganjur, Nik Rakib Nik Hassan, Seminar Antarabangsa Mengenai Pengajian Melayu kali Pertama ini diadakan untuk mengembalikan hubungan baik di antara etnik di dalam masyarakat Melayu setempat.

"Pengalaman hubungan etnik di Dunia Melayu atau negara-negara rumpun Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina diketengahkan supaya masyarakat Melayu Patani dapat mengetahui bagaimana hubungan etnik di negera-negara tersebut", katanya. Selain itu, beliau berharap agar masyarakat dapat mengubahsuai pengalaman tersebut ke dalam masyarakat Melayu setempat.

Program itu juga diadakan sempena 103 tahun penubuhan daearah Bachok, Wilayah Narathiwas. Ia dianjurkan oleh Pusat Studi Nusantara, Jurusan Pengajian Melayu, Fakulti Kemanusiaan dan Sians Sosial, Prince of Songkla University, Kampus Pattani dengan kerjasama daerah Bachok, Wilayah Narathiwas dan rancangan “Di Selatan” Channel TV ThaiPBS (www.thaipbs.or.th).

Perjalanan dari Sungai Golok di Kelantan, terus ke Bachok Narathiwat, Yala, Pattani, seterusnya ke Hatyai Songkla, lalu ke Sadao dan kemudian melepasi sempadan di Kayu Hitam, Kedah adalah satu pengalaman yang sukar dilupakan.