Sabtu, 1 Oktober 2011

Catatan singkat sewaktu di Pattani

Tags


CATATAN SINGKAT SEWAKTU DI  PATANI

Apa perasaan saudara ketika menjejakkan kaki ke Pattani?
Apakah saudara tidak takut berkunjung ke tempat kami ketika baru dua minggu yang lalu terdapat letupan bom yang menyebabkan rakyat Malaysia mati?
Apa perkara yang menarik perhatian saudara di selatan Thai?

Begitulah kira-kira beberapa pertanyaan yang diajukan oleh mahasiswa Prince of Songkla University kepada saya ketika sesi soal jawab dalam majlis forum itu. Memang terdapat pertanyaan lain seperti Asean Community 2015 dan implikasinya kepada masyarakat minoriti dan sebagainya.Tetapi pertanyaan mengenai apakah saya tidak takut untuk berkunjung ke selatan, apakah perasaan saya, apakah yang menarik perhatian saya sepanjang berada di Sungai Golok, di Narathiwat, di Yala, di Pattani, sesungguhnya sempat membuat saya berfikir, apakah saya perlu berterus terang atau berbasa basi menjawab soalan mereka.

Saya memilih untuk berkata sejujur-jujurnya. Ya, saya memang merasa bimbang. Bimbang mengenai keselamatan apatah lagi ketiga wilayah itu masih berada dalam keadaan darurat. Kehadiran pos pemeriksaan tentera setiap jarak satu batu juga membuat kami merasa cemas. Apakah saya berasa takut untuk mati? Saya fikir kalau sudah ajal, dimana pun kita bersembunyi, meskipun dalam peti, kita tetap akan mati jika telah tiba waktunya.

Namun jawapan yang saya berikan ialah rasa takut dan bimbang tidak dapat mengatasi keinginan untuk bertemu dengan saudara-saudara sebangsa dan seagama. Apa salahnya kami berkunjung ke wilayah yang mempunyai penduduk hampir dua juta keturunan Melayu itu. Itu sebabnya, sebaik menerima undangan daripada Pusat Studi Nusantara, Jurusan Pengajian Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Prince of Songkla University,untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Mengenai Pengajian Melayu kali Pertama 2011, saya terus menyatakan persetujuan untuk menyumbangkan makalah dan bercakap mengenai suku bangsa Iranun di Sabah, masyarakat berbilang kaum di Sabah, puisi perdamaian dan turut diminta berbicara mengenai pengamatan saya terhadap perjuangan umat Islam di Mindanao.

Ketika tiba di sempadan Malaysia-Thailand dan memasuki wilayah bergolak itu jam sudah menunjukkan 7.00 malam waktu Malaysia. Di Thailand, satu jam lebih lambat, walaupun hanya dipisahkan sebuah sungai. Sungai Golok. Selepas pemeriksaan Imigresen, van yang kami naiki memecut ke hala daerah Bachok, Narathiwat. Suasana persengketaan dapat dirasakan sebaik kita melihat tentera mengadakan sekatan dan mendirikan beberapa pos pemeriksaan sepanjang perjalanan itu.

Kedudukan Pattani dalam dunia Melayu amatlah penting. Jika sejarahnya ditelusuri sejak Kerajaan Pattani didirikan pada abad ke XIV dan XV, sejak Pya Tu yang kemudian menukar gelarnya menjadi Sultan Ismail Syah Zilulllah Fil Alam setelah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Pasai, hingga Kerajaan Melayu Pattani diperintah raja-raja perempuan (1584-1624),pemerintahan Raja Kuning (1635-1688)perlawanan menentang Siam pada 1791 dan 1808 yang mengalami kegagalan, hingga mengakibatkan wilayah Pattani dipecah kepada tujuh daerah,  dan peristiwa berikutnya seperti serangan Siam ke atas Kedah pada 1821, zaman pemerintahan Chulalongkorn hingga berakhirnya kuasa raja Pattani dimulai dari Tengku besar (1842) hingga Tengku Abdul Kadir (1902).

Penentangan dan perlawanan masyarakat Melayu Patani kerana ketidakpuasan mereka terhadap perlakuan kerajaan Siam tidak terus berlanjut.Berlaku beberapa pemberontakan kecil pada 1910 dan 1911 dan Pemberontakan yang agak besar pada 1923 akibat pemaksaan Akta Pelajaran 1921 yang memaksa anak-anak Melayu Pattani memasuki Pendidikan Kebangsaan siam menggunakan pengantar bahasa Siam.

Namun apa yang lebih menyakitkan ialah apabila Pibul Songgram melancarkan program Rathaniyom pada tahun 1939. Pada masa inilah istilah Siam diganti menjadi Thailand. Bagi masyarakat Melayu Pattani, program Rathaniyom 1939 ini mendatangkan musibah yang besar kerana mereka tidak lagi dibenarkan menggunakan nama Melayu, berpakaian Melayu, bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu. Pada 1944, jawatan Kadhi dihapuskan dan masalah berkaitan dengan perkahwinan dan harta pusaka diuruskan melalui undang-undang sivil.

Setelah menyedari program ini mampu melenyapkan identiti dan budaya Melayu Patani , Haji Sulung Abdul Kadir yang kembali ke Patani pada tahun 1930 selepas menamatkan pendidikan di Mekah menceburi bidang pendidikan dan politik. Bagaimanapun resolusi 7 perkara yang diusulkannya pada 1947, ditolak kerajaan Thai dan akibatnya pada 16 Januari 1948, Haji Sulong, anak lelaki dan empat pengikutnya ditangkap dan dibunuh.

Sejak itu, penentangan masyarakat Melayu Islam Patani untuk mendapatkan autonomi daripada Thailand selalu muncul walaupun kebanyakannya menemui kegagalan.Tetapi masyarakat Patani kembali bangkit menuntut hak-haknya, layanan yang dirasakan kurang adil terhadap masyarakat Melayu dan sebagainya. Berbagai pertubuhan seperti Gerakan Rakyat Patani yang diasaskan Haji Sulong 1947, Gerakan Melayu Patani Raya (Gempar) 1948, Barisan Islam Pembebasan patani (BIPP) 1959, Barisan Revolusi Nasional 1960, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN-Kongres 1970, , Patani United Liberation Organization (PULO) 1968 dan Gerakan Mujahidin Patani (GMP) yang ditubuhkan pada 1989. Pada tahun 1989 juga, Barisan Bersatu Kemerdekaan patani (BERSATU) ditubuhkan sebagai organisasi yang memayungi seluruh perjuangan rakyat Patani.

Wilayah Patani mendapat sorotan antarabangsa sejak terjadinya peristiwa Takbai pada 25 Oktober 2004. Sejak itu hubungan antara etnik semakin longgar dan tidak erat sejak peristiwa yang melukakan itu. Keadaan di selatan masih kurang stabil. Sebenarnya seminar antarabangsa yang diadakan itu, antara lain bertujuan untuk mengembalikan semula hubungan baik antara etnik di wilayah itu. Mereka berharap dapat belajar daripada pengalaman negara-negara rumpun Melayu seperti Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dalam hubungan etnik di negara mereka.

Sebenarnya banyak perkara menarik sepanjang berada di Narathiwat, Yala dan Pattani pada 24 hingga 27 September itu.Kita dapat menyaksikan betapa baik dan istimewanya layanan yang diberikan oleh masyarakat Melayu di tiga wilayah itu. Betapa generasi muda hampir tidak dapat bertutur dalam bahasa mereka sendiri iaitu bahasa Melayu. Betapa kentalnya mereka memegang teguh pegangan agama, betapa mereka masih melestarikan tulisan jawi di papan tanda kedai, iklan dan sebagainya seperti yang dapat dilihat di Yala, dan hakikat bahawa peristiwa letupan bom banyak berlaku di kelab malam dan kehidupan harian masyarakat yang berjalan seperti biasa.

Saya memberitahu betapa Patani telah memberikan sumbangan yang besar terhadap dunia Melayu. Betapa pentingnya semua pihak mempromosi kedamaian. Bahawa hidup ini bertambah keindahannya apabila semua orang memeluk kedamaian dalam impiannya.Alangkah indahnya kehidupan tanpa permusuhan, dendam dan kebencian. Alangkah mulianya kehidupan jika semua orang mendapat layanan yang sama secara saksama, tiada sebarang tekanan, tiada sebarang diskriminasi, tiada perasaan saling curiga dan sebagainya.

Apakah perasaan saudara ketika menjejakkan kaki ke negeri kami?
Sebenarnya agak sukar saya menggambarkannya.
















1 comments so far

597 ntialdrMungkin kerana saudara tidak mengetahui bahawa jika membicara soal Patani sepatutnya kena libatkan persamaan dengan Kelantan dari aspek budaya, sosial dan bahasa. Hubungan darah masih wujud. Saya pernah bertanya Prof Nik Rakib Nik Hasan ada dia mempunyai saudara di Kelantan. Jawaban salah seorang sepepupu adalah YB di Kelantan. itu fenomina biasa antara Kelantan dan Patani. Kelantan pernah menjadi sebahagian wilayah Patani dan di hari sebahagian besar Melayu Kelantan adalah nketurunan Melayu Patani yang kalah dan di kejar Siam. Tokoh Patani ada juga menjadi tokoh kelantan. Contohnya Tengku Mahmud Mahyuddin yang pernah menjadi ketua gerilya 136 yang di latih untuk menentang Jepun di Tanah Melayu adalah putra Raja Patani. Dia cuba mempengaruhi Inggeris mengembalikan Patani ke pangkuan Tanah Melayu. Dia juga pernah mendiri tentera sendiri untuk menentang Siam iaitu Gempar