Jam 7.00 pagi waktu
Thailand atau jam 8.00 pagi waktu Malaysia, kami berangkat menuju Yala. Di
tengah perjalanan yang panjang itu, kami melalui beberapa pos pemeriksaan
tentera. Kelihatan juga kubu daripada guni pasir dan tentera berseragam hijau
berkawal di setiap satu batu perjalanan. Sebenarnya melihat situasi sebegitu,
cukup membuat hati cemas. Sejak memasuki wilayah selatan yang bergolak itu,
dari Sungai Golok, Bachok, Narathiwat, Yala, suasana penuh pertentangan, saling
curiga, dendam, kebencian dan tekanan bercampur baur dalam udara yang kami
hirup sepanjang kembara itu.
Tetapi ketika kami singgah minum di Kota Baru, Yala,
perasaan menjadi agak lega sedikit. Saya agak teruja melihat masyarakat Melayu
yang masih kental kemelayuannya. Walaupun terdapat tulisan siam, terdapat juga
bahasa Melayu ditulis dalam aksara jawi.
Meskipun selatan Thai
masih dalam sengketa,saya dapat membaca huruf huruf kedamaian di pekan itu.
Tidak lama kemudian, kira-kira jam 9.00 pagi,kami meneruskan perjalanan ke
Bandar Yala. Majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Melayu
Islam.Bandar Yala dikatakan antara Bandar paling bersih di Thailand. Saya kagum
dan gembira melihat papan tanda kedai ditulis dalam abjad jawi bersama tulisan
siam.Betapa di kota ini, masyarakatnya masih mempertahankan tulisan jawi.
Nik Rakib membawa
kami berkunjung ke Yala Rajabhat University, sebuah institut pengajian tinggi
yang melatih mahasiswanya dalam bidang pendidikan. Di sana kami bertemu dengan
salah seorang pensyarahnya, Kumajdi Yamirudeng, lulusan ekonomi dan pernah
kuliah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).Ketika itu, beliau baru balik
dari Bangkok. Kumajdi sebenarnya masih keturunan tengku Beliau beria-ia mengajak kami minum tetap
kami terpaksa menolak pelawaannya kerana
masih banyak tempat yang perlu kami kunjungi sementara masa yang ada agak
terhad.
Dari sana kami menuju
Yarang untuk melihat tapak bersejarah Kerajaan Langkasuka, salah satu kerajaan
Melayu tertua sebelum kedatangan Islam.Ia terletak kira-kira 15 kilometer dari
Pattani di Lebuhraya No.410-Pattani-Yala. Kami sempat melawat Ban Wat, Ban Ja
Lae dan Ban Pra Wae, dan melihat tinggalan candi-candi di tempat itu.
Kak Maimunah dari
Singapura agak kesal kerana hampir semua papantanda dan penerangan tertulis
dalam bahasa Siam dan untuk lebih baik lagi, ia perlu ditulis dalam bahasa
antarabangsa.
Selepas itu kami
terus bergegas ke Prince of Songkla University (PSU) Kampus Pattani.
Sesampainya di sana kami sudahpun ditunggu oleh mahasiswa-mahasiswa PSU. Kami
dijadual untuk bercakap kepada mahasiswa sebagai salah satu pengisian program
seminar antarabangsa itu.Namun dalam sesi tanya jawab kemudiannya, saya ditanya
mengenai perasaan saya , apakah kami tidak takut untuk berkunjung ke Pattani di
sebalik hingar bingar letupan bom. Pelajar juga menanyakan mengenai Asean
Community 2015, apa kesannya terdapat selatan Thai dan sebagainya.
Pak Djamal Tukimin dari
Singapura dan Prof Dr.Zulhasril Nasri dari Universiti Indonesia bercakap pada
sesi pertama pembentangan manakala Dato’
Paduka Seri Utama (Dr) Awang Haji Abdul Hamid Haji Tamat (dari Negara Brunei
Darussalam) dan saya sendiri mengambil bahagian dalam sesi kedua.Kedua-dua sesi
dipengerusikan oleh Zawawi P.Amin, pensyarah dari PSU.
Hadirin pada majlis
itu kebanyakannya mahasiswi, satu fenomena dalam IPT sekarang dimana lebih
ramai pelajar perempuan daripada lelaki. Terdapat hanya beberapa mahasiswa, tak
sampai sepuluh orang saya kira. Salah seorang pelajar PSU berasal dari
Malaysia.Ayahnya orang Kemaman Terengganu manakala ibunya orang Patani.
Respon terhadap
ceramah yang kami adakan sangat menggalakkan. Kami berada di sana kira-kira dua
jam. Selepas makan di kantin PSU, kami bergerak lagi dan singgah di satu masjid
bernama Masjid Kru Se, salah satu masjid tertua di Wilayah Pattani (Sheikh
Gombok Minangkabau) tetapi kami tidak dapat turun kerana hujan lebat.
Dari Pattani ke
Donyap, kereta bergerak lebih laju. Tak ada lagi sekatan jalanraya oleh pihak
polis mahupun tentera. Telefon sudah menerima isyarat roaming. Ketika berada di
tiga wilayah,Narathiwat, Yala dan Pattani, telefon tidak boleh roaming. Untuk membuat panggilan
terpaksa menggunakan telefon rakan dari Thailand.Telefon lain tak boleh
digunakan.
Saya terlelap
beberapa kali dalam perjalanan panjang itu. Jalanraya ke Hat Yai Songkla agak
baik. Masih kelihatan penduduk yang majoritinya keturunan Melayu. Sepanjang
perjalanan itu kami dihiburkan dengan kaset vcd penyanyi dari Minang. Dan agak
mengejutkan juga ialah entah dari mana Nik membelinya, kami dihiburkan juga
dengan lagu-lagu Abu Bakar Ellah dengan vcd
Orang Kita sepanjang perjalanan ke berkeliling selatan Thai itu.
Prof Dr.Zulhasril
sempat bertanya mengenai rambut Ampal, dan saya menjelaskan serba sedikit
mengenai penyanyi keturunan Sungai dari Kinabatangan itu.
Setibanya di Hat Yai,
Nik Rakib sempat membawa kami berkeliling di Prince of Songkla University
Kampus Hat Yai. Kami sempat melihat kawasan Fakulti Kedoktoran, Fakulti
Kejuruteraan dan sebagainya.
Hari sudah malam. Jam
7.00 waktu Thailand, kami sampai di Presiden Hotel, Hat Yai.