Jumaat, 7 Oktober 2011

Catatan di Muzium Nik Amin Narathiwat

Tags

NIK AMIN PERTAHAN KHAZANAH BUDAYA DI NARATHIWAT

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

Tok Nibi sedang menunggu ketibaan kami di rumahnya di Mukim Gading, Daerah Jeringa, Narathiwat. Usianya baru 40 tahun. Beliau masih merupakan keturunan keturunan Raja Legeh, salah satu dari tujuh raja Chao Muang yang memerintah di tujuh negeri Hua Muang setelah Wilayah Patani dipecahkan kerajaan Siam pada awal abad ke-19.

Nama sebenarnya Nik Amin Nik Ahmad. Beliau dilantik sebagai penghulu (Tok Nibi) sejak dua tahun lalu. Tetapi yang paling menarik ialah usahanya mengumpulkan khazanah Melayu, bukan saja dari Narathiwat bahkan dari kerajaan Melayu lama seperti Kerajaan Funan, Campa, Srivijaya dan sebagainya. Beliau juga memiliki artifak artifak bersejarah dari Arab, Cina, Sukhotai dan daerah daerah lain yang telah dikumpulkannya sejak dua tahun lalu.

Beliau menyalami kami satu persatu. Kemudian setelah ramah tamah itu, kami dibawa untuk masuk ke dalam rumahnya, yang dipenuhi koleksi yang dikumpulnya dari alam Melayu.

"Kami mahu menyelamatkan dan memulihara khazanah budaya yang masih ada. Supaya jika orang ingin mengkaji mengenai masyarakat Melayu dan budayanya, mereka juga boleh datang kemari. Masyarakat Melayu juga ada disini, bukan setakat di Malaysia saja," katanya.

Ternyata beliau mempunyai citarasa seni yang tinggi. Semuanya diwarisi daripada ayahnya Nik Ahmad, seorang seniman pelukis yang terkenal pada zamannya.

Hampir semua peralatan tradisi yang digunakan masyarakat Melayu di Narathiwat, Yala, Pattani, Songkla, dan daerah-daerah lain juga terdapat di rumah atau Muzium Peribadi Nik Amin. Muzium peribadinya itu nampak penuh dan sempit. Beliau memberitahu bahawa rumah itu sedang dibesarkannya dan kini sedang dalam pembinaan.

"Jika siap nanti, khazanah budaya itu akan diletak dan disusun dengan lebih teratur lagi," katanya. Saya melihat alat-alat seperti congkak,lesung, ayunan, kendi, sangkar burung, tempayan, pasu bunga, bakul,bahan-bahan tembikar, keris, pedang, pinggan, gayung,tenggala, rehal, kukuran,acuan dan hampir semua peralatan tradisi khazanah Melayu lama terdapat di di muzium peribadi Nik Amin itu.

Nik Amin juga memperlihatkan koleksi lukisan ayahnya. Selain itu, ayahnya Nik Ahmad, mengumpulkan lebih 200 corak bunga, ukiran melayu yang dikumpulkan dalam setiap kunjungannya ke daerah daerah Melayu.

"Cuma sayang sekali kerana tidak ada keterangan tertulis dalam bahasa Melayu. Kalau dapat ditulis dalam bahasa Melayu, mungkin lebih elok lagi," kata Kak Maimunah dari Singapura.

Usaha yang dibuat oleh Nik Amin itu patut dipuji dan dihargai. Perhatian kerajaan terhadap usaha memelihara kebudayaan Melayu di selatan Thai masih perlu ditingkatkan, apatahlagi jumlah penduduk Melayu mencapai lebih dua juta orang dan merupakan penduduk majoriti di wilayah Selatan Thai.

Kita masih dapat menyaksikan suasana budaya Melayu yang kental di Selatan Thai. Hampir semua gadis mengenakan tudung, manakala ibu ibu masih menggunakan bahasa Melayu loghat Pattani. Anak-anak generasi baru kini tidak lancar lagi berbahasa Melayu kerana sistem pelajaran di sekolah menggunakan bahasa Siam. Hanya mereka yang belajar di madrasah boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik manakala kebanyakannya masih boleh berkomunikasi dalam loghat Melayu tempatan.

Kebanyakan papan tanda bertulis dalam bahasa Thai walaupun di sesetengah tempat, terutamanya di Wilayah Yala, masih terdapat banyak papan tanda bertulis dalam bahasa Melayu huruf jawi.

Kunjungan ke muzium peribadi Nik Amin itu adalah salah satu program yang diatur sempena Seminar Antarabangsa Mengenai Pengajian Melayu Kali Pertama 2011 anjuran Pusat Studi Nusantara, Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial, Universiti Prince of Songkla, Majlis Daerah Bachok Narathiwat dan sebuah stesen Tv, Thai PBS.

Selain muzium peribadi itu, wakil-wakil dari Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Negara Brunei Darussalam telah dibawa melawat bekas istana Raja Sai, Muzium Raja Teluban di Yingo,Masjid Wadi Hussin, masjid kayu berusia 250 tahun di Teluk Manak, Masjid Krisik, Tapak Kerajaan Langkasuka di Yarang, Yala Rajabhat Universiti, Prince of Songkla Universiti, Hat Yai dan banyak lagi tempat bersejarah di selatan Thai.

"Jika sempat kita akan mengunjungi semua tempat bersejarah di selatan Thai termasuk Kubur Sultan Mustapha shah, Raja patani pertama memeluk Islam, Kubur Tok pasai, " kata Nik Rakib Nik Hassan, dari Pusat Studi Nusantara, orang kuat di sebalik kejayaan penganjuran seminar antarabangsa kali pertama itu.

Beliau juga menekankan betapa pentingnya kami melihat khazanah budaya Melayu di Muzium Peribadi Nik Amin, Penghulu Mukim Gading di daerah Jeringga. Katanya, Nik Amin sanggup berbelanja sendiri semata-mata untuk mengumpulkan koleksi budaya Melayu agar masyarakat Melayu di selatan Thai boleh berbangga dengan koleksi budaya Melayunya sendiri.

Di Muzium Nik Amin itu, kita dapat merasakan aroma dan suasana Melayu.Kami dipersilakan masuk, dibawa melihat semua koleksi yang ada, kemudian dijemput menikmati jamuan minuman yang disediakan sambil dihiburkan dengan petikan kecapi.

Betapa kuatnya semangat Tok Nibi, panggilan untuk tok penghulu, dalam mempertahankan budaya Melayu.Beliau sanggup menjadi benteng terakhir menyelamatkan khazanah budaya Melayu daripada kemusnahan dan dapat ditatap oleh generasi baru.

1 comments so far

Din,
Dalam loghat Patani/Kelantan
ketua kampung di sebut tok nebe bukan nibi