KETIKA berada di bangku sekolah rendah, beliau pernah diejek oleh rakan-rakannya. "Azizah makan ubat pil! Azizah makan ubat pil!"" Ejekan itu memang menyakitkan. Pil yang dimaksudkan itu ialah `fail' maksudnya gagal, kerana saya pernah gagal dalam peperiksaan di sekolah rendah," katanya. "Ia menjadi satu cabaran buat saya, bahawa saya boleh membuat sesuatu yang lebih baik" katanya.
Kini ternyata bahawa apa yang menjadi tekadnya puluhan tahun yang silam itu, iaitu `I can be better' menjadi satu kenyataan. Selepas meninggalkan bangku sekolah SRK Mempagar, Datuk Hajah Azizah Mohd.Dun meneruskan pelajaran di St Paul Secondary School dan lulus dalam Form 3 pada tahun 1971 sebelum melanjutkan pendidikan di Maktab Sabah dari tingkatan empat hingga tingkatan enam rendah.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di England di peringkat A Level dan selepas itu mengikuti pengajian undang-undang sehingga mendapat Bachelor in Laws sebelum ditauliah sebagai peguam di Lincoln Inn's England. Sekembalinya ke Sabah, Azizah menjadi wanita pertama dilantik sebagai majistret pada tahun 1981 hingga tahun 1984. Pada tahun 1985, beliau menceburkan diri dalam bidang politik dan menang kerusi DUN Klias pada tahun itu.Bagaimanapun, setahun kemudian beliau kalah dalam pilihanraya tetapi terus bergiat dalam politik. Pada tahun 2004, beliau bertanding Kerusi Parlimen Beaufort dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia. Dalam pilihanraya 2008, Azizah bertanding dan menang kerusi DUN Klias dan kemudian dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna sehingga kini. Beliau berumahtangga dengan seorang ahli korporat,Haji Paiman Abdul Karim dan dikurniakan dua anak.
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat mengadakan temubual dengan beliau di pejabatnya untuk mengetahui serba sedikit mengenai pengalamannya, pandangannya terhadap institusi keluarga, kenangan sewaktu berada di bangku sekolah dan sebagainya.
UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemuramah. Boleh ceritakan sedikit pengalaman YB Datuk sewaktu berada di sekolah rendah?
DATUK HAJAH AZIZAH MOHD DUN: Terima kasih. Memang banyak pengalaman yang kita lalui di sekolah rendah. Saya teringat sewaktu di sekolah, saya pernah menjadi murid contoh, pernah menjadi pengawas sekolah. Antara cikgu kami waktu itu termasuklah Cikgu Matussin (Datuk Haji Matussin Awang Damit), Cikgu Haji Awang Banani, Cikgu Hajah Rosiah dan banyak lagi. Saya meminati pelajaran sejarah. Waktu itu tidak seperti sekarang, kesedaran di kalangan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak mereka masih rendah, barangkali kerana kemiskinan dan sebagainya.
Saya teringat betapa pada satu hari, rakan rakan sekolah mengejek saya kerana saya gagal dalam ujian. Mereka mengejek `Azizah makan ubat pil! Azizah makan ubat pil!. Pil itu maksudnya bukan ubat sebaliknya `fail' ertinya gagal.Walaupun mereka sebenarnya hanya bergurau tetapi ejekan mereka itu menjadi satu cabaran bagi saya. Saya berkata dalam diri saya bahawa saya boleh menjadi lebih baik. I can be better. Ia menjadi pendorong bagi saya untuk belajar lebih kuat dan lebih tinggi lagi.
UB: Datuk anak keberapa dalam keluarga?
DHAMD: Saya anak pertama daripada 13 adik beradik. Ayah saya Datuk Haji Mohd.Dun Banir pernah menjadi wakil rakyat di Lumadan dan menjadi pemimpin masyarakat di daerah Beaufort.
UB: Apa pengalaman Datuk ketika mula-mula menjadi wakil rakyat?
DHAMD: Cabaran yang dilalui ketika itu cukup sukar.Apatahlagi ketika itu saya menjadi wakil rakyat pembangkang atas tiket USNO. Cabarannya ialah bagaimana memenuhi kehendak rakyat yang memerlukan pembelaan, memerlukan pembangunan dan sebagainya.Membantu menangani permasalahan yang mereka hadapi.
UB: Apa cabaran yang Datuk hadapi ketika berdepan dengan rakyat?
DHAMD: Tapi sekarang, perkara yang paling mencabar ialah merubah minda mereka supaya berfikir lebih maju. ia memang memerlukan kesabaran. Perubahan minda ini penting kerana hanya dengan perubahan minda pemikiran rakhyat bertambah maju menuju Negara maju menjelang 2020. Jika kerajaan dapat mewujudkan infrastruktur, prasarana dan sebagainya, maka pemikiran rakyat juga perlu maju. Semua lapisan rakyat berlu menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan, ekonomi dan sebagainya agar mereka tidak ketinggalan. Kita lihat ada bangsa yang walaupun kecil bilangannya mampu menguasai politik dan ekonomi dunia kerana mereka menguasai ilmu pengetahuan. Oleh itu pemikiran harus diubah.
UB: Bagaimana Datuk melihat potensi masyarakat kita?
DHAMD: Masyarakat kita boleh bersaing dengan orang lain asalkan kita boleh keluar dari kepompong pemikiran yang mengongkong kita untuk maju. Kita sebenarnya mampu menjadi yang terbaik. Misalnya seorang anak muda, Razali Abdul Rahim dari Beaufort telah memenangi Bakat Tv baru-baru ini. Beliau dapat mengangkat muzik tradisi kita ke peringkat yang lebih tinggi. Sebelum itu, beliau pernah memenangi Anugerah di World Performing Arts di Los Angeles. Ini sangat membanggakan kita.
Selain itu kita mesti mengukuhkan lagi kita mesti mengukuhkan aspek-aspek rohani. Dalam membangun masyarakat kita khususnya generasi muda kita mestilah melakukan pendekatan holistik. Nilai-nilai rohani perlu diterapkan dalam jiwa muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
UB: Bagaimana Datuk mengagihkan masa antara tugas sebagai Menteri, wakil rakyat dan ibu dalam keluarga?
DHAMD: Alhamdulillah, saya mempunyai keluarga yanh memahami.Pada mulanya memang sukar tetapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri dan dapat membahagikan masa antara tugas dan tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak.
UB: Selalunya apa hobi datuk di masa lapang?
DHAMD: Soalan itu agak sukar dijawab kerana terlalu kurang masa lapang. Tugas sebagai pemimpin, pentadbir sebagai menteri menyita banyak masa dan kebanyakan masa digunakan untuk berkhidmat untuk rakyat.
UB: Datuk suka membaca buku?
DHAMD: Saya membaca buku selalunya dalam kapal terbang. Kebanyakannya buku buku berunsur sejarah dan motivasi.
UB: Apa pesanan ayah Datuk yang tidak boleh dilupakan?
DHAMD: Pesan beliau yang saya tidak dapat lupakan ialah beliau selalu berpesan bahawa tiada siapa yang dapat merubah nasib kita melainkan diri kita sendiri. Ia sangat berkesan buat saya. Waktu itu saya tidak sedar bahawa itu itu adalah berasal dari ayat al-Quran bahawa nasib sesuatu bangsa tidak akan berubah melainkan mereka sendiri yang mengubahnya.
UB: Bagaimana Datuk minat dalam politik?
DHAMD: Minat dari kecil. Ayah saya seolah-olah menyediakan saya sebagai pemimpin.Beliau menggalakkan saya belajar undang-undang kerana kebanyakan pemimpin pada ketika itu terdiri daripada peguam seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul razak, Tun Dr Ismail. Semua mereka belajar undang undang dan kemudian menjadi pemimpin negara memperjuangkan kemerdekaan tanahair. Barangkali beliau mendapat ilham dari sana sehingga menggalakkan saya belajar dalam bidang undang undang.
UB: Apa falsafah atau kata-kata yang menjadi pendorong hidup Datuk?
DHAMD: Let's make different. Mari buat perubahan.
UB: Siapa idola Datuk?
DHAMD: Idola saya Nabi Muhammad SAW kerana beliau dapat menyatupadukan umat pelbagai bangsa, membawa kesejahteraan, toleransi dan sebagainya.
UB: Akhir sekali apa pesan Datuk kepada khalayak pembaca?
DHAMD: Pertama sekali kita mesti kukuhkan institusi keluarga.Keluarga yang baik boleh mewjudkan masyarakat yang baik.Masyarakat yang baik boleh mewujudkan negara yang baik. Jika keluarga rosak, masyarakat jadi rosak dan negara juga rosak. Pelbagai penyakit dalam masyarakat bermula dari institusi keluarga. Kita juga mesti bersedia untuu transformasi agar kita dapat melahirkan masyarakat yang lebih progresif dan berdaya saing. Kita mesti sentiasa prihatin terhadap aspirasi rakyat dan jangan persiakan mereka.