Rabu, 22 Jun 2011

Bila rakan-rakan tertawa kerana sesuatu yang lucu

Tags

Tentu ada orang bertanya bagaimana kami mengatasi tekanan ketika menyiapkan sesuatu tulisan atau berita. Tatkala waktu yang kami sebut `deadline' semakin hampir, biasanya pada waktu itu, wajah semakin berkerut untuk berlumba dengan waktu.

Di Utusan Borneo, kami dimestikan menghantar berita kepada editor sebelum jam 5.00 petang.Hanya jikalau ada berita penting, kami dibenarkan menghantar jam 7.00 atau sebelum jam 8.00 malam. Pastilah pada waktu genting itu, mahu atau tidak mahu, berita atau rencana yang kami tulis semestinya sudah siap.

Kadang-kadang editor datang menanyakan sama ada artikel sudah siap atau belum.Kadang-kadang ada intercom dari tingkat 6 kerana kami di tingkat 5.

Mujurlah editor kami adalah orang-orang yang sentiasa sporting dan memahami. Memberi sepenuh kebebasan untuk kami berkarya dan menulis. Tapi pada waktu-waktu tertentu, seperti ketika fikiran tegang atau buntu, atau berada dalam tekanan untuk menyiapkan artikel, ternyata apabila ada perkara lucu dan kawan-kawan pecah perut kerana ketawa, suasana yang `tension' itu hilang dan ia menjadi semacam `ubat penyembuh'.

Entah apa tajuk yang menyebabkan satu pejabat riuh ketika itu. Itu menjadi tak penting lagi, kerana selepas mereka ketawa terbahak-bahak, tiba-tiba saya menulis setelah menemukan intro.

Ketawa merupakan sejenis ubat untuk membolehkan kita berumur panjang. Mungkin anda tak percaya, tapi cubalah satu hari, anda tak usah senyum sebaliknya cubalah bermuka masam atau moyok sepanjang hari. Anda juga boleh mencuba marah sejak bangun pagi hingga tengah malam. Mungkin anda boleh rasakan betapa jauh beza antara ketawa dan marah, senyum dan bermuka masam.