Jumaat, 18 Mac 2011

Bolkiah bertekad majukan Pitas

Tags


BOLKIAH BERTEKAD MAJUKAN PITAS

Beberapa tahun lalu, daerah Pitas dikategorikan sebagai antara daerah termiskin di Malaysia. Kini, Pitas yang mempunyai penduduk kira-kira 39,000 mula membangun setanding dengan daerah-daerah lain di negeri ini. Pembangunan dan kemajuan yang dinikmati penduduknya tidak terlepas daripada peranan yang dimainkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas, Datuk Bolkiah Haji Ismail. Sejak menjadi ADUN pada tahun 2008, Bolkiah dilihat sebagai salah seorang wakil rakyat yang terus memberi komitmen dan banyak turun padang menemui rakyat di kawasannya.

Datuk Bolkiah Haji Ismail dilahirkan di Pitas pada 1 Januari 1965 di Pitas. Menduduki sekolah rendah di SK Pekan Kudat (Darjah Satu hingga Empat)SK Pekan Kota Marudu (Darjah Lima) dan SK Pinggan-Pinggan (Darjah Enam ). Beliau mendapat pendidikan menengah di SMK Mat Salleh Ranau dari Tingkatan Satu hingga Lima. Bolkiah mendapat Diploma Pentadbiran Perniagaan dari ITM, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Bolton University, UK dan Sarjana dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Bolkiah merupakan anak keempat dari tujuh adik beradik dan menguasai bahasa Dusun,Bajau, Brunei, Sungai selain bahasa Melayu dan Inggeris.

Ayahnya, Haji Ismail Haji Said merupakan salah seorang pegawai di Yayasan Sabah (YS) manakala ibunya, Nasiah @ Oso bte Parman, seorang seorang surirumah dan ibu yang penyayang kepada anak-anaknya. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Aninah Samiun dan dikurniakan empat anak. Anaknya yang pertama, Farah Zeila masih menuntut di Universiti Tun Razak, anaknya yang kedua Fikri (meninggal dunia akibat kemalangan) anak yang ketiga, Farhah masih belajar dalam Tingkatan Lima di Sri Insan manakala anak bongsunya, Farhana masih bersekolah di SK St Agnes dalam Darjah Enam.

Wartawan Utusan Borneo (UB) , Abd.Naddin Haji Shaiddin sempat menemubual Datuk Bolkiah Haji Ismail (DBHI) di pejabatnya pada petang Khamis lepas di celah-celah kesibukan tugasnya sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan ADUN Pitas. Ikuti temubual yang dijalankan secara santai mengenai pengalaman, visi dan harapan beliau sebagai wakil rakyat dan bagaimana beliau mengagihkan waktu antara tugasnya sebagai YB, Pembantu Menteri dan ketua keluarga.


UB: Terima kasih kerana sudi ditemubual Utusan Borneo Datuk. Boleh ceritakan sedikit pengalaman Datuk sebelum dipilih sebagai Ahli Yang Berhormat?
DBHI: Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya pernah bekerja sebagai buruh di Lombong Tembaga Mamut, Ranau. Antara tugas yang diberikan kepada saya ialah menyukat kandungan asid. Saya bertugas di sana kira-kira enam bulan sekitar tahun 1982-83.
Pada tahun 83-84, saya mendapat tawaran sebagai kerani di Bank Bumiputera merangkap ketua juruwang (Chief Cashier). Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di YS ITM dan berjaya mendapat Diploma Pentabiran Perniagaan.

Sebaik lulus, saya sempat bertugas sebagai guru sandaran di SMK Pekan Kudat selama enam bulan. Tidak lama selepas itu, saya mendapat tawaran di Maybank sebagai pegawai bank di bahagian kawalan kredit (Credit Control). Kemudian saya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengurus cawangan di Maybank Finance dari tahun 1992-1995. Pada 1995 hingga 1997, saya dinaikkan pangkat sebagai Pengurus bank Maybank Finance di Lahad Datu. Kemudian saya ditukarkan ke Tawau pada 1997 dan lepas itu dinaikkan pangkat di Maybank Sadong Jaya.

Dari tahun 2000 hingga 2006, saya bertugas di Maybank Sandakan. Pada tahun 2006, saya dilantik sebagai Naib Presiden merangkap Ketua Operasi Pengurusan Pinjaman Maybank Kawasan Sabah berpejabat di Sadong Jaya Kota Kinabalu.

UB: Pengalaman yang menarik Datuk. Bagaimana pula Datuk terlibat dalam politik?
DBHI: Pada tahun 2008, dengan takdir Allah S.W.T, saya dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya 2008 bagi kawasan DUN Pitas. Alhamdulillah, selepas memenangi kerusi Pitas atas tiket BN-UMNO, saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar. Kemudian dalam bulan November 2008, saya terpilih dan menang sebagai Ketua Bahagian UMNO Kudat. Pada tahun yang sama, saya juga dianugerahkan pingat PGDK oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah. Selain tugas sebagai wakil rakyat dan Pembantu Menteri, saya juga dilantik dan diberi kepercayaan sebagai Timbalan Exco Pelajaran Negeri membantu Datuk Masidi Manjun, iaitu menguruskan perkara-perkara berkaitan pelajaran dan berhubung langsung dengan Kementerian Pelajaran.

UB: Selepas menjadi ADUN Pitas, apakah perkara yang menjadi keutamaan Datuk?
DBHI: Terdapat tiga perkara utama yang bagi saya patut diberi keutamaan kerana tanpa ketiga-tiganya, pembangunan tidak dapat berjalan dengan baik dan nikmat kemajuan tidak dapat dirasai rakyat. Prasarana asas seperti kemudahan jalan raya yang baik, bekalan air dan bekalan elektrik perlu diperbaiki dan dipertingkatkan kerana ini merupakan pemangkin pembangunan di Pitas. Tidak guna kita bercakap mengenai perancangan pembangunan sekiranya kemudahan prasarana asas ini tidak dapat dipenuhi.

Tanpa sistem jalanraya yang baik, hasil-hasil pertanian seperti kelapa sawit, getah dan sebagainya tidak dapat dipasarkan. Tanpa bekalan air yang mencukupi dan bekalan tenaga elektrik, pembangunan tidak dapat dibawa ke Pitas dan sekitarnya. Oleh sebab itu, Kerajaan telah membina 12 jalan raya utama sejak dua tahun lepas, antaranya Jalan Bongkol-Telaga, Jalan Baliangau, Jalan Kalipoun Sinasak, Jalan Kusilad manakala yang sedang dibina ialah Jalan Bongkol-Safoda, Jalan Liu-Malubang dan beberapa jalan lagi.

Dengan siapnya jalanraya-jalanraya ini, hasrat kita untuk menjadikan Pitas sebagai sebuah daerah membangun akan lebih mudah tercapai. Selain itu, kita dapat menjadikan Pitas sebagai sebuah daerah Pelancongan. Malah Pitas telah dimasukkan sebagai sebuah daerah berpotensi untuk dibangunkan dalam bidang pelancongan dalam Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

UB: Oh ya. Apa hobi Datuk jika ada masa terluang?
DBHI: Jika ada kelapangan, saya gemar membaca buku-buku terutamanya berkaitan ekonomi. Selalunya, jika tidak membaca, saya suka bermain golf. Selain itu, saya juga suka memancing. Banyak faedahnya, bukan saja untuk menenangkan fikiran tetapi juga masa yang terluang boleh digunakan sambil berbincang-bincang dengan rakan-rakan.

UB: Saya difahamkan Datuk baru sampai dari Pitas. Selalunya bila masanya YB Datuk berada di kawasan?
DBHI: Biasanya pada hari Isnin, Selasa dan Rabu saya berada di Kementerian. Setiap hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad saya berada di kawasan saya di Pitas dan mendengar permasalahan rakyat.

UB: Biasanya apa masalah yang selalu diadukan oleh rakyat di kawasan Datuk?
DBHI: Antara komen yang selalu didengar ialah sistem penyampaian yang kurang efesien, projek PPRT yang tidak mengikut spek, masalah kemudahan asas,masalah kemiskinan tegar san sebagainya.
Setakat ini terdapat 304 Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) yang asih tersenarai dalam kategori miskin tegar. Kita selesaikan masalah ini secara berperingkat-peringkat.

UB: Datuk, masih ramai yang merungut mengenai masalah air di Pitas? Apa komen?
DBHI: Kita memohon agar kerajaan memberikan peruntukan segera untuk pemasangan paip di kampung-kampung di kawasan Pitas, Setakat ini pemasangan paip telah dilakukan dari Pekan pitas-Rosob ke Pinggan-Pinggan. Cuma pemasangan paip dari rumah ke rumah masih belum dibuat.Oleh sebab itu, kita memohon agar kerajaan khususnya Jabatan Air menyegerakan pemasangan paip ke kampung-kampung.

UB: Apa perkembangan projek Agropolitan di Pitas?
DBHI: Projek Agropolitan seluas 10,000 hektar itu kini mulai memberi dampak kepada ekonomi. Ia boleh membawa lebih 2,000 penduduk keluar daripada gejala kemiskinan. Kini Pitas merupakan pengeluar getah terbesar di Sabah dan ini memberikan kesan positif dari segi ekonomi kepada penduduknya.

UB: Apa komen Datuk mengenai masalah tanah?
DBHI: Kita sedar mengenai permasalahan tanah di Pitas. Selain itu, banyak permohonan tanah yang dibuat dan kemudian dijual pula kepada syarikat besar. Oleh sebab itu, Saya bersetuju dengan langkah kerajaan mengeluarkan Geran Komunal (Communal Title) kerana tanah tidak boleh dijual dan boleh diusahakan bersama agensi-agensi kerajaan seperti SLDB dan sebagainya.

UB: Boleh Datuk komen sedikit mengenai potensi pelancongan yang terdapat di daerah Pitas?
DBHI: Pitas merupakan sebuah kawasan yang memiliki pelbagai destinasi dan potensi yang menarik untuk dimajukan dalam bidang pelancongan. Antaranya, Bagang iaitu sejenis kaedah penangkapan ikan yang popular di Teluk Marudu. Bagang boleh menjadi produk pelancongan.Kita boleh membawa pelancong untuk melihat dari dekat mengenai proses penangkapan ikan menggunakan Bagang yang banyak didapati di Pitas.
Selain itu, kawasan Teluk Marudu adalah lokasi tempat memancing yang selamat, tidak terkena ribut, tenang dan sebagainya. Pitas juga boleh menjadi syurga bagi pemancing.
Antara destinasi pelancongan yang boleh dikunjungi ialah Batu Sipirak, Batu Berunsai dan Batu Piring di Malubang. Tempat-tempat ini akan lebih mudah dikunjungi sekiranya jalan Liu-Malubang siap dibina kelak. Batu Sipirak dan lain-lain ini mempunyai lagenda yang menarik.Cerita rakyat yang pasti menarik perhatian pengunjung.Selain itu, terdapat juga tiga telaga ajaib di Malubang, telaga air tawar yang terdapat di dalam laut. Pantai Malubang juga pasirnya cantik dan putih.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM14 juta untuk memajukan Dataran Bengkoka sebagai satu kawasan tumpuan pelancongan. Kita membina restoran ,espalanade 10 gerai tamu, perpustakaan rakyat, di situ juga kita dirikan stesen minyak, banglo futsal, R&R yang dibangunkan Sedco dan sebagainya.


UB: Tapi Pitas masih kekurangan hotel dan tempat penginapan Datuk?
DBHI: Kerana itu, kita menggalakkan lebih banyak lagi pengusaha hotel, chalet untuk melabur dalam sektor pelancongan di Pitas. Ketika ini, jika ada acara atau program besar yang diadakan di Pitas seperti Pesta Bengkoka yang diadakan pada bulan Mei, biasanya pengunjung terpaksa mencari penginapan di Pekan Kota Marudu. Kita juga menggalakkan masyarakat kampung menceburi industri inap desa untuk meningkatkan ekonomi serta menampung keperluan pelancongan.Industri inap desa ini boleh dimajukan di kampung Rosob, Pinggan-Pinggan, dan Malubang. Sekarang ini terdapat inap desa di Sungai Iloi dan beberapa tempat lain dan kita telah menghantar lebih ramai orang untuk mengikuti kursus bagi mengembangkan industri inap desa.

UB: Sebagai wakil rakyat Pitas, apa harapan Datuk?
DBHI: Saya berazam dan berharap agar Pitas dapat dimajukan dari segi pembangunan sosial dan ekonomi.Kita mengharapkan pembangunan yang lebih menyeluruh tanpa ada yang terkecuali. Selain itu, kita mahu meningkatkan pendapatan perkapita rakyat. Memperbanyakkan aktiviti-aktiviti ekonomi. Selain itu, kita mahu membesarkan pekan Pitas supaya setanding dengan pekan-pekan lain di Sabah. Mempunyai segala kemudahan seperti supermarket dan sebagainya. Dengan adanya kemudahan seperti hotel, pejabat pos, supermarket, bank dan sebagainya.Pitas mampu membangun dan menjadi tempat persinggahan yang menarik apatahlagi ia merupakan laluan utama Jalan Pitas Paitan. Kita juga mahu Majlis Daerah Pitas memperbanyak gerai, supaya memberi daya saing, kita mahu mengembalikan kuasa beli di kalangan rakyat , memperbanyak prasarana Komersil dan sebagainya .

Sebagai sebuah daerah yang bakal menjadi pengeluar getah terbesar di negeri ini, kita mahu memajukan industri berasaskan penanaman getah selaras dengan hasrat kerajaan satu daerah satu industri. Satu masa nanti kita boleh mengeluarkan sarung tangan, tayar dan sebagainya.

UB: Boleh komen sedikit mengenai harapan YB Datuk di Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar?

DBHI: Di Kementerian, saya berharap industri pelancongan dapat dimajukan lagi. Tahun lepas 15 peratus daripada pendapatan ekonomi negeri berasal dari industri pelancongan iaitu sebanyak RM2.8 bilion. Kita juga mahu agar pelancong dapat berkunjung ke luar Kota Kinabalu seperti daerah Kudat, Pitas, Tambunan dan sebagainya. Kita juga gembira kerana Sabah begitu terkenal dalam eko-pelancongan malah Sabah dipilih sebagai destinasi pelancongan terbaik oleh duta-duta luar negara pada tahun 2008. Kita mempunyai alam semula jadi, hidupan marin yang terbaik, gunung kinabalu dan yang lebih penting lagi ialah kita mempunyai keramahan dan kemesraan masyarakat Sabah yang menarik minat pelancong.

3 comments

assalamuallaikum...bagi komen saya mengenai tekad datuk untuk memajukan daerah pitas...pertama itu,mengenai isu pengeluaran geran komunal...memang ini adalah planing sabah development corridor(SDC),tapi barisan kepimpinan harus meminta pandangan dengan semua komuniti di pitas,bukanya proses membuat keputusan itu hanya di meja bulat...jika geran komunal ini ada,adakah itu menjamin masa depan anak-anak...bagi sya tidak...malahan pula boleh menghapuskan budaya,identiti orang asal di pitas...jika semua akses yang terdapat di pitas,tanah,hutan sungai dimanipulasikan untuk penanaman tanaman kontan atau sebagainya,hari ini memang senanglenang,generasi akan datang merana bukan kepalang...
yang kedua,...meningkatkan ekonomi rakyat di pitas...bagi saya,cara untuk meningkatkan bukan dari segi bantuan wang,tetapi dengan kesdaran,biar komuniti yang menetukan pembangunan sendiri,bagi bengkel sesioekonomi dan beri sumbangan sedikit untuk mengurus pertanian yang mereka mahu.

Tuan,

Hari ini nampaknya ada kebakaran besar di Kpg Telaga. Puluhan dereta rumah di bahagian tepi sungai di kpg tersebut telah terbakar.

Dengan kemudahan penghataran media secara free, sepatutnya pihak tuan sebagai pemberita telah memperolehi berita dan seterusnya melapurkan.

Satu soalan lagi, mana orang politik?

Terima kasih

Tuan,

Hari ini nampaknya ada kebakaran besar di Kpg Telaga. Puluhan dereta rumah di bahagian tepi sungai di kpg tersebut telah terbakar.

Dengan kemudahan penghataran media secara free, sepatutnya pihak tuan sebagai pemberita telah memperolehi berita dan seterusnya melapurkan.

Satu soalan lagi, mana orang politik?

Terima kasih