Khamis, 10 Februari 2011

`Rasa dulu baru tahu', terkenang Cikgu Maslin

Tags

Rasa dulu baru tahu!
Ini cogankata di tahun 80. Ditulis dengan menarik di cermin belakang kereta Toyota Corona Cikgu Maslin Jari, itulah pertama kali kami diperkenalkan dengan hiasan aksesori kereta di Kampung Tamau.
Kehadiran kereta toyota corona Cikgu Maslin itu membawa satu pengertian baru kepada anak-anak seperti kami-ketika itu berumur 12 tahun-bahawa jika belajar lebih tinggi, kereta toyota seperti itu (ketika itu, rasanya kereta itulah yang paling cantik bagi kami) boleh dimiliki.
Rasa dulu baru tahu!, kata Cikgu Maslin.
Cikgu Maslin pernah mengajar kami sejak beliau berpindah ke SK Tamau. Saya masih ingat beliau mengajar kami mata pelajaran bahasa Malaysia manakala isterinya, Cikgu Masmor Payas mengajar kami bahasa Inggeris.
Guru-guru kami sewaktu di sekolah rendah dahulu merupakan guru-guru yang berdedikasi. Meskipun kadang-kadang waktu rehat, saya suka melihat bermain sepak takraw di halaman sekolah tetapi pelajaran murid-muridnya tidak pernah dilupakan.

Cikgu Maslin, dan isterinya, arwah Cikgu Masmor Payas merupakan antara guru yang dengan gigih mengajar murid-muridnya.
Rasa dulu baru tahu, itu yang dituliskan Cikgu Maslin di cermin belakang keretanya.

Saya merasakan betapa besar jasa-jasa guru-guru kepada kami. Saya ingat cikgu kami seperti Cikgu Ujud Haji Ali (Tuan Haji Hanafiah), arwah Cikgu Ady Mulong, Ustaz Aziz Rejab, arwah Cikgu Lalim (Abd.Halim Haji Ahmad), Cikgu Akrin Agap, Ustaz Hassan, Cikgu Laksan Deri, Cikgu Agun Bandari, Cikgu Baintan, dan guru besar Cikgu Saiman Hassan dan sebagainya.

Sebelum itu, aarwah Cikgu Perang, arwah Cikgu Moksan Datu Alang pernah mengajar di SK Tamau.
Saya juga ingat betapa besar jasa Cikgu Norbaina kepada saya. Ketika berada dalam darjah satu, beliau sanggup memandikan saya di sungai Tamau kerana baju saya yang kotor dan banyak pinga' (comot).

Sebenarnya saya suka membaca kata-kata Cikgu Maslin `Rasa Dulu Baru Tahu' yang diletak belakang keretanya itu. Sehingga apabila pulang kampung, saya tercari-cari tulisan itu.

Beberapa lama kemudian, barangkali setelah beliau pencen, Cikgu Maslin mengubah cogankata keretanya kepada `Harap dikenang, dilupa jangan'.

Cikgu, saya tidak akan melupakan jasa cikgu.Saya tidak akan melupakan jasa guru-guru di SK Tamau yang telah mendidik kami sehingga menjadi `orang'.Orang, bukan orang-orangan.