Selasa, 7 Disember 2010

catatan di makam daeng menambun

Tags

Menapaki tangga demi tangga ke makam Raja Mempawah yang pertama, Opu Daeng Menambun, dan melihat sungai yang mengalir di bawah bukit, pokok-pokok yang mungkin ratusan tahun usianya, saya berasa seperti turut mengalir bersama sejarah.

Makam Opu Daeng Menambun, yang terletak kira-kira 5 km dari Desa Pasir, Kecamatan Mempawah Hilir didirikan di atas sebuah bukit. Beliau kembali ke rahmatullah kira-kira 257 tahun yang lalu iaitu pada 1175 H, atau 1753M.

Kerajaan Mempawah didirikan pada abad ke 18. Opu Daeng Menambun merupakan salah seorang daripada 5 anak raja Bugis paling berpengaruh di Nusantara pada tiga abad yang lalu. Beliau mendirikan Kerajaan Mempawah yang terletak di jalur perdagangan Pontianak,Singkawang dan Sambas.

Saya tidak sempat menghitung berapa jumlah anak tangganya, yang tercatat ialah 265 anak tangga tetapi jumlah anak tangga itu konon berbeza jika dihitung dari seorang ke seorang yang lain.

Di makam Daeng Menambun, saya menghadiahkan al-fatihah. Ramai juga yang membaca surah yasin.Saya juga lihat pengunjung yang sanggup datang dari berbagai daerah di Indonesia malah saya melihat pengunjung dari berbilang bangsa datang berziarah.

Kami terfikir apa kekuatan yang dimiliki Opu Daeng Menambun, sehingga meskipun sudah ratusan tahun berlalu, beliau masih tetap `hidup' walaupun telah meninggal dunia pada 257 tahun lepas.

Jalan ke makam beraspal tetapi dinaiki air sejauh kira-kira 1 km. Mujur Pak Adi Rahmani, yang menjadi pemandu kami seorang yang agak berani juga kerana sanggup meredah jalan yang belum pernah kami lalui itu.

Ziarah ke Makam Daeng, bagi menjejaki sejarah lampau merupakan satu pengalaman yang amat berharga. Bung Hussain sudah lama menyimpan hasrat untuk berkunjung kemari, dan kami bersyukur -saya dan Hasyuda Abadi- kerana diajak sama untuk melawat Pontianak.

Pada pagi tahun baru hijrah ini, kami ke Mempawah, iaitu kira-kira dua jam perjalanan dari Pontianak. Dalam perjalanan itu, saya menerima sms dari kampung yang menyatakan Pakcik Haji Mohd.Arshad Ekong kembali ke rahmatulllah.

Sebenarnya saya banyak belajar daripada allahyarham.Belajar dari sikapnya yang tenang, dan berjiwa luhur.Saya berasa sedih juga mengenangkan saya tidak berada di kampung ketika ini. Suatu yang telah ditentukan bahawa pada kunjungan kedua ini, saya mendapat khabar pakcik meninggal manakala pada kunjungan pertama dahulu, ayah yang berpulang.

Jadi ziarah kami ke Makam Daeng Menambun itu ternyata memberikan pengalaman kerana kami dapat belajar dari semangat juang dan keikhlasan yang dimiliki Opu. Keikhlasan perjuangan yang dimilikinya itu menarik ramai orang untuk berziarah ke makamnya.

Memang ada yang meminta berkah, membayar nazar dan meminta restu, berdoa di makam Opu tetapi kami datang semata-mata untuk menghadiahkan alfatihah dan menyatakan rasa hormat kami kepada Opu Daeng Menambun yang gigih berjuang menentang penjajahan.

Tetapi saya kira, bangsa kita sebenarnya masih terjajah.Kalau dulu leluhur kita sanggup berjuang menentang penjajah tetapi hingga kini,kita masih tidak berupaya keluar dari minda yang terjajah.