SATU JUMAAT DI COTABATO
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
IMAM sedang membaca khutbah ketika kami memasuki ruang masjid Blue Mosque di Cotabato City. Delegasi Malaysia dipersilakan untuk menunaikan solat di baris depan. Para makmum kelihatan agak gembira manakala yang lain agak kehairanan menerima tamu kehormat dari Malaysia.
Jumaat 19 November itu adalah satu hari yang luar biasa bagi kebanyakan anggota masyarakat Islam di Cotabato City. Untuk pertama kalinya mereka menerima kunjungan delegasi Malaysia diketuai Speaker Parlimen, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato' Seri Dr.Ibrahim Saad.
Sebaik keluar dari masjid, pegawai yang ditugaskan mengawal kami sedang menunggu untuk memastikan semua penumpang menaiki van yang disediakan.
Sambil menyalaminya, saya bertanya namanya. Beliau memperkenalkan namanya sebagai Casib, seorang anggota marin Filipina yang dipanggil khas untuk mengawal keselamatan kami.
Casib yang merupakan lulusan Universiti Filipina di Manila, adalah orang Iranun dari Buldon. Beliau agak terkejut mendapati bahawa kami berbahasa Iranun dan sebahagian besar anggota rombongan Malaysia dalam lawatan ke Cotabato itu boleh berbahasa Iranun.
Beliau agak kehairanan bagaimana kami mampu bercakap Iranun dan sudah berapa lama kami berada di Malaysia. Saya tersenyum mendengarnya dan meluruskan pandangannya bahawa sebenarnya masyarakat Iranun di Sabah sudah lama wujud bahkan kewujudannya diyakini lebih lama berbanding kewujudan masyarakat Iranun, Meranao dan Maguindanao di Filipina.
"Sebab itu kami menamakan saudara kami di Mindanao sebagai `bagu a Iranun' yang bererti Iranun Baru'. Saya memberitahunya Casib yang kelihatan gembira menemui rakan sebangsa mereka dari Sabah.
Hujan turun dengan lebat ketika kami memasuki Pusat Kebudayaan Sharif Kabungsuan. Bekalan elektrik terputus hampir tiga kali yang menyebabkan Kaka Alih menyatakan perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana ia `membuat kita malu' kepada rakan sebangsa dari Malaysia.
"Sepatutnya ada alternatif, jika bekalan elekrik mati, generator dihidupkan supaya acara tidak terganggu," katanya. Ketika itu, upacara penutupan Sambutan Ulang Tahun ke-21 Autonomous Region in Muslim Mindanao.
Hadirin memenuhi dewan untuk mensyukuri ARMM yang dibentuk pada 1990 kini sudah berusia 21 tahun. Dalam tempoh 21 tahun itu, banyak perubahan dilakukan meskipun masih ramai yang kurang berpuas hati dengan tahap kemajuan yang ada. Malah ada diantara mereka mempersoalkan kemana sudah peruntukan bantuan berbilion peso yang diberikan negara luar untuk kemajuan wilayah Islam di Mindanao.
Namun kehadiran Tan Sri Pandikar ke Cotabato ternyata menarik perhatian ramai. Beberapa hari sebelum itu, berita kedatangannya telahpun disiarkan di suratkhabar. Sebahagian stesen radio menjadikan kunjungannya itu topik hangat, dengan persoalan sama ada Pandikar mampu berbahasa Iranun kerana dikatakan beliau orang Iranun dari Sabah.
Kerana itu, mereka menunggu ucapan Tan Sri Pandikar. Selepas Pandikar menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris yang menyeru ke arah perdamaian yang berkekalan di Mindanao dan menyeru mereka komited ke arah kedamaian dan menghentikan perbalahan sesama sendiri, Pandikar mengalih ucapannya dalam bahasa Iranun. Sebaik-baik saja beliau berucap bahasa Iranun dengan diselaangi jenaka, hadirin di dewan Sharif Kabungsuan itu bertepuk tangan.
Irama Kulintang dan persembahan tarian kebudayaan Mindanao dan Kepulauan Sulu dengan cepat menghilangkan perasaan bahawa kami sedang berada di tengah-tengah wilayah yang bersengketa. Perdamaian antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro masih tersekat-sekat manakala masa depan masih tidak menentu.
Dimana-mana kita dapat melihat orang-orang bersenjata M16. Casib yang mengawal kami meminta supaya kami tidak terjejut melihatnya memakai `bir-bir' atau pistol yang terselit di pinggangnya. Beliau mengatakan beliau akan terus bersama kami sehinggalah kami melangkahkan kaki keluar dari Cotabato untuk memastikan semua anggota delegasi selamat.
Oleh sebab itu, selepas kami pulang dari menghadiri majlis `pagana' atau jamuan makan malam rasmi, dan menyaksikan Bayuk yang disampaikan oleh Putri Erlynda, kami bergegas pulang sebaik-baik pertunjukan bunga api selesai.
Ada kenalan yang menelefon menanyakan dimana kami berada dan meminta kami cepat-cepat pulang kerana diberitakan beberapa puluh kilometer dari tempat kami itu, terdapat pertempuran. Kami tidak menanyakan sejauh mana kebenarannya tetapi kami melihat wajah pengawal kami dan pengiring agak pucat kerana bimbangkan keselamatan anggota delegasi.
Banyak check point yang dilalui pada malam itu, dan pemeriksaan diadakan oleh pihak tentera Filipina yang baru sebulan ditempatkan di Cotabato menggantikan rakan mereka yang ditempatkan ke tempat lain.
Anehnya, kami tertidur nyenyak pada malam itu dan terbangun keesokan harinya, dan mandi dengan cepat untuk bersarapan pagi di Pusat Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Gonzalo Javier Street Corner, Ilang-Ilang Street di Rosary Heights 7, Cotabato City.
Mejar Jeneral Dato' Baharom Hamzah yang mengetuai IMT dengan 39 anggota iaitu 20 dari Malaysia, 15 dari Bruneri, tiga dari Libya dan 1 dari Jepun telah menceritakan beberapa cebisan kisah sepanjang bertugas di Mindanao.
Beliau berkata masyarakat antarabangsa menaruh kepercayaan dan keyakinan yang amat tinggi kepada pasukan IMT yang diketuai Malaysia.
Kerana itu, banyak kes pertikaian dilaporkan masayarakat tempatan kepada IMT, bahkan yang melibatkan perkara kecil seperti kes kecurian kerbau.
Jika tidak diatasi, perkara itu boleh menyebabkan rumah dibakar atau seluruh kampung diranapkan jika ia melibatkan dendam antara keluarga yang telah bermusuhan sejak puluhan tahun.
Beliau juga menyaksikan betapa harga nyawa begitu murah di Mindanao. Senjata M16 kadang-kadang digunakan untuk mendapatkan `handphone' berharga RM100. Katanya, pihaknya membantu untuk menjaga anak-anak yatim yang kehilangan ibubapa akibat pertikaian itu.
Jika berlaku pertempuran antara puak yang bersenjata, orang kampung lari bersama keluarga dan binatang peliharaan mereka.
Menurutnya, IMT juga menyumbang kira-kira 100 ekor kambing untuk dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha. Perkara itu menyebabkan IMT terpaksa berhadapan dengan banyak permintaan kerana ada penduduk kampung lain mempersoalkan mengapa mereka tidak diberikan bantuan.
Untuk apa kita berada di sini? , kata Duta Besar, Dato' Seri Dr.Ibrahim Saad. Beliau memberikan alasan yang meyakinkan mengapa perdamaian mesti dicapai di wilayah yang bergolak itu.
Wilayah Islam Mindanao memerlukan seorang pemimpin seperti Mahatma Ghandi. Ghandi merupakan seorang peguam yang sanggup berkorban dan memberikan contoh yang baik kepada rakyatnya. Berpunca dari isu kapas, Ghandi berpendapat bahawa kapas yang dihasilkan di India tidak perlu dihantar ke Manchester sebaliknya boleh diproses oleh orang India sendiri untuk pakaian mereka.
Beliau sendiri bertindak menanggalkan pakaiannya dan membakarnya di tengah padang, perbuatan yang diikuti oleh rakyatnya kerana melihat keikhlasan dan perjuangan pemimpin yang suci dan jitu.
Itu yang dikatakan Tan Sri Pandikar. Pemimpin Islam di Mindanao perlu memperlihatkan contoh kepimpinan yang boleh ditauladani oleh rakyat. Semua pihak, tidak kira pemimpin, ulama, ahli politik, akademik, pejuang, rakyat, NGo dan generasi muda perlu komited terhadap perdamaian.
Hanya melalui perdamaian saja, kemajuan dan pembangunan dapat dikecapi oleh 4.1 juta penduduk Islam di ARMM ARMM yang mempunyai wilayah seluas 12,288 km persegi, yang terdiri dari wilayah Maguindanao, Lanao Del Sur, Sulu, Tawi Tawi, Basilan (kecuali Isabela City) dan Bandaraya Islam Marawi. Sejajar dengan persetujuan yang dicapai antara Kerajaan Filipina dan MILF, pada 18 Julai 2008, setelah enam tahun dalam perundingan, ARMM diberi kuasa 712 kampung di pulau Mindanao. Bagaimanapun, perundingan akhir masih belum dimuktamadkan.
"Jika diberikan sepuluh ribu ringgit, saya akan berfikir sepuluh kali untuk ke Cotabato." kata seorang rakan kami. "Saya berasa seperti baru terlepas dari dua tanduk kerbau," kata seorang rakan yang lain.
"Walaupun miskin, tak ada rakyat yang kebuluran," kata Mej Jeneral Dato Baharom lagi. Mereka kais pagi makan pagi tetapi sumber alam masih kaya. Masalahnya ialah tak ada kedamaian, katanya. Walau bagaimanapun, sepanjang pengalamannya, tak ada kejadian rogol dan penganiyaan terhadap kanak-kanak sepanjang beliau bertugas di Cotabato.
Purata kemuskinan di wilayah itu ialah 45.4 peratus pada 2003, iaitu hampir dua kali ganda berbanding purata di peringkat kebangsaan iaitu 24.4 peratus. Bagaimanapun wilayah Lanao del Sur mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 26.9 peratus, Tawi Tawi dan Sulu mengurangkan kemiskinan antara 18 dan 17.6 peratus.Pada tahun 2003, semua empat wilayah ARMM merupakan antara 10 wilayah termiskin di Filipina tetapi pada 2003, Lanao del Sur, Sulu dan Tawi-Tawi terkeluar dari senarai wilayah termiskin itu, menjadikan hanya Maguindanao sebagai wilayah kedua termiskin di Filipina.
ARMM merupakan sebuah wilayah yang kaya sumber perikanan dan sumber alam. Ia memiliki simpanan mineral, tembaga dan emas paling banyak di negara itu. Sumber hutan juga masih belum diterokai. Tetapi semua kekayaan itu terhalang oleh persengketaan yang berpanjangan antara mereka.
"Rambayong mudas aku," saya teringat kata-kata dalam bahasa Iranun, terjemahan dari puisi Dr.Jose Rizal, Mil Ultimo Adios yang bermaksud, wahai negeri kami mengucapkan selamat tinggal.
Ahad, 28 November 2010
Satu Jumaat di Cotabato
✔
abd naddin
Diterbitkan 6:04 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)