Sabtu, 13 November 2010

Cahaya petang di Tanjung Pinang dan pentingnya sejarah buat kita

Tags




CAHAYA PETANG DI TANJUNG PINANG DAN PENTINGNYA SEJARAH BUAT KITA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

CAHAYA matahari jingga hinggap di kapal kapal nelayan yang sedang berlabuh dan menurunkan muatan. Dari jauh kelihatan bot-bot ekspres tertambat di jeti manakala perahu-perahu pompong berulang alik mengangkut penumpang. Mungkinkah mereka mahu pulang ke Pulau Penyengat atau Senggarang. Namun yang pasti, panorama petang di Tanjung Pinang begitu mengasyikkan.

Sejarah pernah mengalir di sini, ketika lebih 200 tahun yang lalu, anak-anak Raja Tempasuk ikut berperang membantu Sultan Mahmud III untuk mengusir Belanda dari Tanjung Pinang. Kisah itu ternyata bukan dongengan kerana Raja Ali Haji, seorang pujangga dan ulama terkemuka di alam nusantara, mencatatkan dengan jelas peristiwa itu dalam Tuhfat Al-Nafis.

Tuhfat Al-Nafis atau Anugerah Yang Berharga karangan Raja Ali Haji dianggap sebagai karya persejarahan yang penting pada abad ke-19. Kitab sejarah itu sering menjadi sumber rujukan utama ahli-ahli sejarah dan para ilmuan untuk membincangkan aspek sejarah, sosial, sahsiah dan budaya Melayu dalam abad ke-17 hingga abad ke-19.

Melalui karya agung itu, kita dapat menjejaki hubungan yang akrab antara Raja Tempasuk dengan Sultan Mahmud. Kita dapat melihat betapa akrabnya hubungan antara Tempasuk di Sabah dengan Kerajaan Johor-Riau-Lingga ketika itu sehingga sebaik-baik saja menerima perutusan sultan, Raja Tempasuk menghantar darah dagingnya sendiri untuk membantu sultan menghalau penjajah.

Kesediaan Raja Tempasuk dan pengorbanannya yang besar demi berdirinya sebagai negara itu amatlah besar ertinya dalam sejarah ketamadunan Melayu. Dalam sebuah buku, Politik Kerajaan Johor 1718-1862 karya Mardiana Nordin dan diterbitkan Yayasan Warisan Johor, peristiwa Sultan Mahmud III meminta bantuan Raja Tempasuk telah dibangkitkan beberapa kali.

Sayang sekali, sampai kini belum banyak lagi kajian atau penyelidikan yang dibuat untuk mengkaji hubungan antara Raja Tempasuk dan Sultan Mahmud itu.Padahal, jika ditelusuri, hubungan antara kedua-dua pihak itu amatlah mustahak untuk mengeratkan lagi hubungan antara Sabah dan Johor selain membuka jalan untuk memperkukuhkan hubungan antara Sabah dan Kepulauan Riau yang kini sebahagian daripada Wilayah Indonesia.

Sejarah perhubungan antara Tempasuk (kini Kota Belud, Sabah) mungkin hal remeh temeh bagi sebilangan orang. Tetapi sejarah itu perlu diperhitungkan untuk membangkitkan semula rasa persaudaraan, persahabatan dan kebersamaan dalam mempertahankan wilayah nusantara yang berhadapan dengan kerakusan dan ketamakan kuasa penjajah.

Mujurlah Tuhfat Al-Nafis masih kekal sampai sekarang walaupun pengarangnya telah meninggal dunia kira-kira 138 tahun yang lalu. Kehadiran kami di Tanjung Pinang itu sebenarnya banyak didorong oleh karangan Raja Ali Haji itu.

Kunjungan kami ke Kepulauan Riau itu merupakan salah satu `upaya melawan lupa'. Menurut Prof.Dr.Yusmar Yusuf, salah satu upaya untuk melawan lupa ialah berkunjung ke pusat ingatan bagi memperingati semula sejarah lampau. Untuk menjadi besar, tidak ada salahnya bagi kita melihat kekerdilan diri sendiri, kata Dr.Yusmar.

Tapi sejarah lampau bukan semata berbicara tentang kekerdilan. Sejarah juga berbicara tentang kecemerlangan dan kegemilangan Melayu abad yang lalu. Kerana itu kita haruslah bijaksana menelaah kearifan sejarah.

Sejarah sangatlah penting untuk dipelajari. Saya teringat kata-kata Dr.Yusmar betapa pentingnya sejarah dalam membentuk peradaban masa depan.Jangan khuatir terhadap `anak-anak mall dan supermarket' kerana satu ketika kelak, mereka akan menyedari betapa pentingnya sejarah.

Kami melihat sejarah terombang-ambing dihanyutkan arus dalam perjalanan ke Tanjung Pinang. Padahal, satu ketika dahulu, kepulauan itu dianggap pusat peradaban dan ketamadunan Melayu yang paling utama.

Ketika menghayati panorama petang di Teluk Ketapang itu, saya terfikir langkah kerajaan mewajibkan mata pelajaran sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM menjelang 2013 sebagai langkah yang tepat.

Dengan memahami sejarah, ia dapat meningkatkan semangat cintakan negara dan perjuangan bangsa. Selain itu ia dapat memupuk semangat perpaduan dan patriotisme di kalangan generasi baru.

Tanpa pengetahuan dan pemahaman sejarah, generasi baru tidak mungkin dapat memahami semangat bernegara dan berbangsa.Mereka tidak mungkin dapat memahami bagaimana negara kita terbentuk. Sejarah adalah fakta dan tidak ada sesiapa boleh mengubahnya dan kita tidak sepatutnya menghidangkannya secara terpisah-pisah.

Mungkin kita pernah menganggap subjek sejarah tidak terlalu penting, tetapi yang jelas, antara penyumbang kepada kekeliruan dan kecelaruan juga huru hara adalah kerana ramai diantara kita tidak mementingkan sejarah, malah tidak mengetahui dan tidak memahaminya.

2 comments

Salam sdra,

1. Saya fikir kajian ini mat menarik untuk terus diterokai. Mudah-mudahan sdra berjaya menemui sesuatu yang cukup berharga kepada sejarah Malaysia, Sabah Dan KB khususnya. Sesungguhnya, saya tidak meragui keupayaan sdra Dan saya sangat menghormati sikap sdra yang sentiasa merendah diri walaupun pada pemerhatian saya, sdra seorang yang cukup "berisi".

2. Teruskan usaha murni sdra.

Salam hormat dari
BELUM PENDEKAR

Terima kasih sdra Belum Pendekar.
Saya fikir masih banyak hal yang perlu digali dalam khazanah sejarah kita.
Memang masih banyak lagi kelemahan dan kekurangan dalam penulisan tetapi yang penting kita memulakannya.
Yang paling penting ialah kita mempertahankan kejujuran dalam penulisan, dan berpihak hanya kepada fakta dan kebenaran.
Tapi kebenaran pun tidak mutlak, kerana apa yang mutlak bagi kita tidak mutlak bagi orang lain.
Semoga bermanfaat.Salam hormat dan sekali lagi, terima kasih.