Rabu, 20 Oktober 2010

Derau Bahasa Kekal di Ingatan warga Senaja

Tags

DERAU BAHASA KEKAL DI INGATAN WARGA SENAJA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

GERIMIS belum berhenti ketika kami tiba di Kampung Senaja, yang terletak kira-kira sepuluh minit perjalanan dari Pekan Pitas. Orang ramai tanpa mempedulikan cuaca, sudah berhimpun sejak pagi untuk meramaikan Derau Bahasa dan Sastera Peringkat Daerah Pitas, yang diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010.
Peristiwa sastera itu akan terpahat di ingatan warga kampung Senaja dan kampung-kampung sekitarnya kerana buat pertama kali dalam sejarah, kampung itu terpilih sebagai tuan rumah Derau Bahasa, yang dianjurkan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dan Pejabat Daerah Pitas pada 9 Oktober lepas.
Lebih 700 warga kampung memeriahkan lagi program itu. Sejak bagi, orang kampung bergotong royong menyembelih lembu, kemudian melapahnya bersama-sama. Selepas acara sukan tradisi, dilangsungkan juga acara makan beradat suku kaum Sungai yang merupakan penduduk majoriti di Pitas.
Selain suku kaum Sungai, Daerah Pitas juga didiami masyarakat suku kaum Bajau, Suluk, Rungus, Kimaragang, Tambanua dan Sonsogon, serta sepuluh buah keluarga Cina yang bekerja sebagai peniaga dan petani.Kampung Senaja merupakan salah satu kampung daripada 133 kampung yang terdapat di Pitas, yang terletak kira-kira 195 kilometer dari Kota Kinabalu dan 132 kilometer dari Pekan Kudat.
Program Derau Bahasa itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Bolkiah Haji Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pitas (ADUN) Piitas.
Kehadirannya dalam majlis itu, bukan saja menambah meriah sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 malah turut membuktikan kesungguhan beliau yang secara berterusan memberi komitmen terhadap kegiatan-kegiatan sastera dan bahasa. Bolkiah hampir tidak pernah menghampakan harapan penggiat bahasa dan sastera untuk membantu memartabatkan bahasa dan sastera tanahair.
Pada malam kemuncak Derau Bahasa dan Sastera itu, Pegawai Daerah Pitas, Sapdin Ibrahim menyatakan bahawa Pitas bertuah kerana terpilih sebagai tuan rumah acara bahasa dan sastera. Katanya, kegiatan seperti itu mampu mendekatkan masyarakat kampung untuk bersama-sama menggerakkan sastera dan bahasa Kebangsaan.Beliau juga memuji usaha DBP yang meletakkan Pitas dalam Buku Rekod Malaysia apabila melaksanakan acara Sendait Ria selama 50 jam di daerah Pitas.
Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas berkata, Pitas sentiasa berada di hati beliau dan oleh sebab itu, Pitas yang merupakan antara daerah paling hujung di utara Sabah tetapi diberikan perhatian agar kegiatan bahasa dan sasteranya terus mekar dan berkembang. Zubaidi berkata, pelbagai kegiatan bahasa dan sastera akan terus diadakan di seluruh Sabah untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat turut serta dalam memartabatkan bahasa dan sastera.
Sementara itu, Bolkiah dalam ucapannya berkata, Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu yang berfokus pada gagasan dan matlamat 1Malaysia.
"Saya menggesa semua rakyat pelbagai kaum supaya memperbaharui iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah, dan mengenali jati diri sebagai rakyat Malaysia," katanya.
Menurutnya, Tema Bulan Bahasa Kebangsaan iaitu 1Bahasa, 1Bangsa,1Negara bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang dicita-citakan dan berasaskan prinsip-prinsip yang telah dipersetujui dalam Perlembagaan.
"Sewajarnyalah, sebagai bangsa Malaysia, kita mempertahankan dan menghormati bahasa kebangsaan kita sebagai lambang jati diri dan bahasa perpaduan negara kita.
Beliau juga meminta pihak berkuasa tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti papan iklan, papan tanda, nama jalan dan lain-lain mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan serta persekitaran memaparkan latar dan panorama yang bercitrakan Malaysia.
Tegasnya, perkara ini selaras dengan Undang-Undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan seperti dalam Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan JKT:MNKT/D/BIL.1/2005 bertarikh 11 Januari 2005.
"Saya mengharapkan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini disemarakkan dengan menanam iltizam dan azam meletakkan bahasa kebangsaan kita di dalam jiwa seperti tema DBP "Bahasa Jiwa bangsa", kita lanjutkan dengan "Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita," dalam semarak tema Bulan Bahasa Kebangsaan "1Bahasa, 1Bangsa,1Negara" yang menunjangi 1Malaysia, katanya.
Beliau juga turut melancarkan sebuah antologi karya berjudul "Hujan Rindu" yang dihasilkan penulis-penulis berbakat dari daerah Pitas. Turit hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pemuda UMNO Kudat, Sh.Sahar Sh.Ading, Ketua Puteri Kudat, Normala Rasick, Naib Presiden Persatuan Bangsa Sungai Sabah (SABAS), Abdul Hamid Ahmad, Ketua Daerah Pitas, OKK Joki Haji Nanoh, Pengerusi pelaksana, Ali Long KK Badawi dan para kenamaan lain.
Turut menyerikan lagi majlis itu ialah persembahan kebudayaan, pembacaan puisi oleh Timbalan Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah, Ramlee AR, Penulis terkenal dari Pitas, Juri Durabi dan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, Dulamid KK Rudin.
Selain itu, majlis itu juga turut menyaksikan kemunculan kumpulan Gong, dan penampilan Naib Juara AF3, Felix Agus dan artis tempatan, Masliah Parman.
Sesungguhnya Program Derau Bahasa dan Sastera yang diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 yang diadakan Kampung Senaja Pitas itu akan tetap menjadi kenangan indah di kalangan warganya.