Jumaat, 3 September 2010

Saya diminta menggigit pisau

Tags

Kenapa saya diminta menggigit besi?
Waktu itu saya tidak mengerti dan menganggapnya sebagai sebahagian adat istiadat keluarga isteri saya.
Lalu saya menggigit besi itu sebelum melangkah masuk untuk majlis akad nikah kami.
Peristiwa itu terjadi tepat 11 tahun yang lalu di Kampung Titingan Hujung Tawau.
Saya teringat arwah mak tua, dan nek Jelis yang beria-ia meminta saya untuk menggigit besi sebaik-baik tiba di rumah pengantin perempuan.
Tanpa banyak soal yang menggigit besi pisau yang diberikan.
Hanya kira-kira 11 tahun kemudian, barulah saya tahu maknanya. Itupun ketika bersua dengan Haji Abdurrauf Abdullah di kota Pontianak, Indonesia. Beliau merupakan anak kepada Abdullah bin Mohd.Ali bin H Mahmuddin. Mohd.Ali berkahwin dengan Aminah binti Mohd Arif iaitu moyang kepada isteri saya. Pendek kata, Haji Abdurrauf masih merupakn pakcik atau paman kepada isteri saya.

Haji Abdurrauf Abdullah yang juga mantan Kepala Dinas Pendidikan dan Kebudayaan di salah satu daerah di Kalimantan Barat menjelaskan kepada saya erti menggigit besi itu.

"Menggigit besi siken mempunyai arti dan makna suatu filsafah orang tua-tua.Keras besi lebih keras lagi semaangat dalam kehidupan berumah tangga agar sejahtera.Tajam pisau kerana diasah, demikian tamsil segala tingkah, tiadalah senang sebelum susah.Untuk mencapai kesenangan dan kebahagiaan harus berjuang dalam artian berusahalah dari bawah.
Kebahagiaan dan kesenangan tidaklah datang dengan sendirinya," katanya.

Sekarang barulah saya mengerti mengapa ketika itu saya diminta menggigit besi.
Alhamdulillah, esok 4 September 2010, merupakan hari ulang tahun perkahwinan saya dengan isteri saya Fauziyah Nurdin. Syukur padaNya.