PERASAAN MERDEKA ATASI KEPANASAN MATAHARI
Ole ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
"KETIKA itu bukan main seronok lagi. Awal pagi lagi kami sudah berkumpul di sekolah. Kami menyusuri jalan sepanjang landasan keretapi hingga ke padang merdeka.
Padang sudah penuh. Beribu-ribu orang, tua dan muda, lelaki dan perempuan, dari jauh dan dekat berhimpun untuk menghadiri pengisytiharan Malaysia itu.
Panas terik ketika itu, tetapi tidak ada seorang pun berganjak dari tempatnya berdiri . "Saya masih ingat, walaupun matahari memancar panas, tetapi tidak ada seorang pun bergerak meninggalkan padang. Semua orang penuh semangat berkobar-kobar tetap bertahan walaupun disengat kepanasan..
Perasaan merdeka mengatasi ketidakselesaan kerana sinaran terik matahari," kata Datuk Masidi Manjun.
Masidi, ketika itu masih berusia 12 tahun. "Saya antara yang paling kecil ketika itu," katanya. "Kalau fikir nostalgia ini, saya tidak tergambar perasaan dan semangat mahukan negara baru itu," katanya kepada Utusan Borneo dalam satu pertemuan eksklusif di pejabatnya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu turut berada di padang ketika perisytiharan Malaysia pada pagi 16 September itu.
"Saya berdiri tidak jauh dari Tun Razak. Saya dapat lihat beliau berpeluh-peluh kepanasan," kata Masidi yang berada beberapa meter dari podium. Tun Abdul Razak Hussien yang mewakili Kerajaan Pusat ketika itu, kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua.
Tun Fuad melaungkan merdeka, dan secara spontan semua orang ikut melaungkan merdeka.
"Kami buat sepanduk sendiri," kata Masidi sambil mengingat detik-detik 16 September itu. Sepanduk bertulis `Merdeka, Kita Mahu Malaysia' kami tulis sendiri.
Tun Fuad melaungkan merdeka, dan secara spontan semua orang ikut melaungkan merdeka.
"Saya berada di sana dan memahami bagaimana suasana ketika pembentukan Malaysia itu. Saya dapat merasakan mengenai impian rakyat Sabah untuk yang mahukan kemerdekaan dari penjajah.
Sebenarnya tarikh 31 Ogos 1963 merupakan hari terakhir Britain memerintah negeri Sabah. Ketika itu, Sabah sudah bersedia untuk bergabung dalam pembentukan Malaysia tetapi ia mendapat tentangan daripada Indonesia dan Filipina. Ekoran itu, satu pungutan pendapat diadakan sekali lagi, bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju untuk membentuk Malaysia .
Secara teknikalnya, 15 hari selepas itu barulah kita bergabung untuk membentuk negara baru Malaysia iaitu pada 16 September 1963.
"Tetapi niat ketika itu, kita memang bergabung untuk membentuk Malaysia, " katanya.
Masidi turut menceritakan pengalamannya menyusup masuk ketika perhimpunan di kalangan pegawai-pegawai British yang diadakan pada 30 Ogos. Waktu itu, pegawai-pegawai British berhimpun buat kali yang terakhir dengan pancaragam polis.
Oleh sebab, masih kanak-kanak, beliau dengan mudah dapat menyusup. Kebetulan pula, Maktab Sabah hanya terletak bersebelahan sekretariat. Di sana, beliau menyaksikan pegawai-pegawai kolonial dalam satu perhimpunan sebelum meninggalkan Sabah.
Rakyat Sabah bersetuju untuk bergabung bersama Malaya, Sarawak dan Singapura untuk membentuk sebuah negara baru bernama Malaysia. Sebenarnya cadangan pembentukan Malaysia juga melibatkan Brunei tetapi Brunei kemudian membatalkan hasratnya menyertai Malaysia manakala Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 dan menjadi negara sendiri.
Sejarah begitu cepat mengalir. Kini sudah 47 tahun berlalu. Namun masih terdapat keluhan di kalangan rakyat Sabah yang kurang berpuas hati di atas layanan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan mahukan supaya diadakan pembetulan.
Beliau mengakui adakalanya memang terdapat perbezaan antara Kerajaan Pusat dan Negeri tetapi beliau menyatakan bahawa dimana-mana juga di belahan dunia ini, memang tedapat masalah hubungan antara kerajaan pusat dan negeri waima di Amerika dan Australia sekalipun.
"Bagi saya, Kerajaan Negeri mestilah berani dan jujur. Itu tidak bermakna kita berlawanan dengan Kerajaan Pusat tetapi kita mestilah menyampaikan mesej kita dengan jelas," kata Masidi.
Sabah mahukan janji sebagai rakan kongsi dalam Malaysia dipertahankan dan ditunaikan oleh kerajaan, kata Masidi lagi.
Bagaimanapun beliau berkata, pemimpin Sabah juga harus dipersalahkan kerana sesetengah mereka dihinggapi sindrom bisu yang menjadi kendala kepada aspirasi dan kehendak rakyat.
"Kita mestilah bertanggungjawab atas sikap membisu kita dan jangan salahkan Kuala Lumpur kerana tidak memperjuangkannya. Kita mesti bersuara secara bersama-sama walaupun mungkin berbeza agenda kerana kita bersuara untuk kepentingan rakyat Sabah," katanya.
Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana akhirnya Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun dijadikan cuti umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah mengumumkan perkata pada Oktober tahun lalu. Tarikh 16 September ini adalah kali pertama Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti umum.
Masidi mengandaikan Kerajaan mengambil masa yang begitu lama untuk mengiktiraf Hari Malaysia kerana terdapat kebimbangan rakyat mungkin keliru mengenai tarikh kemerdekaan sama ada 31 Ogos atau 16 September.
Ia sepatutnya tidak berlaku jika generasi muda mengetahui fakta sebenar sejarah negara.
Menurutnya, membaca buku teks bukan satu-satunya cara untuk mengetahui fakta, khususnya bila terdapat pertikaian mengenai fakta yang digunakan dalam buku teks.
"Buku sejarah gagal mendidik sejarah Malaysia, sebab mereka belajar dari buku teks dan tidak mengalaminya sendiri. Keberkesanan yang diharapkan tidak dapat dirasai . Ada juga fakta dalam buku teks dipertikaikan yang membuat kanak-kanak keliru. Bila kita merdeka 1957 ataun 1963?. Ini memberi konotasi negatif kepada anak muda.," katanya.
"Saya fikir kita tidak mendidik generasi muda mengenai sejarah kemerdekaan," katanya. "Dulu Kita tidak mendedahkan rakyat kepada sejarah sebenar kerana kita terlalu sensitif dengan tuntutan politik," jelasnya.
Kita tidak terlalu berterus terang dalam perjalanan sejarah di Sabah," katanya.
Apa yang perlu dibuat? Semuanya mudah saja. Kita harus jujur. Generasi muda Malaysia adalah golongan rasional. Mereka adalah golongan yang cintakan negara walaupun hidup di tempat lain atau belajar di tempat lain.
"Kita harus berikan fakta yang sebenar dengan bahasa yang mereka fahami," katanya.
Masidi juga menyedari bahawa kadang-kadang beliau dianggap anti persekutuan.
"Tidak ada sedikitpun perasaan saya untuk menjadi anti federal kerana saya pro Malaysia. Saya mahu Malaysia berjaya dan memastikan agihan kekayaan yang sama bukan saja di Semenanjung malah Sabah dan Sarawak juga maju dari segi ekonomi," katanya.
Beliau yakin pemimpin di peringkat pusat adalah pemimpin yang rasional.
"Saya yakin mereka akan lebih memahami jika kita menjelaskan kepada mereka dengan baik tanpa berasa khuatir apa yang mereka akan cakap atau bagaimana reaksi mereka kerana pada akhirnya kita mesti menanyakan kepada diri kita mengenai perasaan rakyat Sabah keseluruhannya.
Menurutnya, pada 1963, semua rakyat Sabah mengimpikan agar apa saja nikmat pembangunan yang dinikmati di Semenanjung dapat juga dirasai oleh rakyat di negeri ini.Kata Masidi, jika jalan raya di Semenanjung dibina hingga ke tangga rumah, tetapi di Sabah, masih terdapat kawasan luar bandar yang tidak mempunyai jalan raya.
"Itulah yang kita harapkan ketika penubuhan Malaysia, dan kita mahu impian Malaysia berjaya seperti yang diharapkan pada 16 September 1963.
"Apabila saya mendapati apa yang kita harapkan tidak dapat, saya bercakap lantang kerana saya pro Malaysia.Saya mahu memastikan Malaysia berjaya seperti yang diimpikan dan dicita-citakan. Saya tidak mahu meninggalkan dunia ini tanpa menyuarakan apa yang patut saya suarakan," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Sambutan Perayaan Sambutan Hari Malaysia itu berkata tema sambutan kali ini ialah "1 Malaysia menjana transformasi" yang difikirkan sangat bersesuaina.
Katanya, Sabah menjadi tuan rumah Hari Malaysia yang pertama kerana cuma ada tiga tempat untuk mengadakan sambutan ini dan kita yang paling lantang menyuarakannya.
Masidi berkata, tempoh 47 tahun usia Malaysia u bukan jangka masa yang panjang untuk mewujudkan negara bangsa. Jika kita menoleh kepada negara lain, mereka sukar untuk membentuk negara bangsa dalam masa yang singkat.
"Di Malaysia kita dapat satukan banyak kaum dan suku dalam sebuah negara yang besar. Masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di negara ini ini adalah sumber kekuatan. Di Sabah, kita dapat mengekalkan keharmonian dan juga mengeratkan hubungan di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama. Kitalah yang sebenarnya mengamalkan konsep sebenar 1 Malaysia.
Tersiar dalam Edisi Khas Utusan Borneo 16 September 2010
Khamis, 16 September 2010
Perasaan Merdeka atasi kepanasan matahari
✔
abd naddin
Diterbitkan 2:53 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)