Isnin, 9 Ogos 2010

Catatan sekembalinya dari Jogja

Tags

Dalam perjalanan pulang dari Pontianak, ibu kota Kalimantan Barat itu, hati saya memang kurang tenteram. Sebaik berhenti makan di sebuah restoran minang, di kabupaten sanggau, saya menerima sms dari Amir, adik saya yang mengkhabarkan ayah sudah tiada.
Saya cuba menahan diri untuk kelihatan kuat. Kami masih berada jauh dari Entikong, iaitu sempadan Sarawak dan Kalimantan. .Saya hanya sempat menjawab beberapa sms sebelum kehabisan kredit.

Waktu itu sudah kira-kira jam 3 petang dan saya melihat sms itu dikirimkan jam 4.51 pagi 18 Julai itu.
"Bapa sudah kembali ke rahmatullah sebentar tadi" 18 Julai 2010, 04:51:59 am
Begitu bunyi mesejnya.
Ayahanda kembali ke rahmatullah dalam keadaan yang tenang. Walaupun saya tidak berada di sisinya, saya tahu ayah saya sudah bersedia kerana beliau selalu memperingatkan kami bahawa kita yang hidup ini tunangnya mati. Jikalau sampai waktunya, maka kita akan menuju alam yang lebih abadi.
Ayah yang merupakan idola kami menghadap Tuhannya pada usianya yang ke-75.

ii. Saya tidak sempat menghadiri majlis pengkebumiannya. Pada ketika itu saya masih berada di Wilayah Kalimantan, di satu tempat yang bernama Sanggau.

iii.Hanya selepas tiba di Kuching saya dapat menghubungi keluarga di kampung.Kemudian telefon bertubi tubi masuk menanyakan dimana saya berada. Hanya pada hari esoknya kami-saya dan isteri dapat pulang menggunakan pesawat Air Asia.

iv. Memang terngiang-ngiang juga kata bapa di telinga saya ketika kami bercakap buat kali yang terakhir melalui telefon.Saya tidaklah menyangka bahawa itulah kali terakhir kami bercakap dan beliau menanyakan apakah saya tahu dan telah diberitahu bahawa beliau sakit kerana dia khuatir saya akan marahkan adik-adik kalau tidak diberitahu. Beliau juga menelefon saya menanyakan apakah saya dapat balik kampung kerana ada mesyuarat beramai-ramai untuk merobohkan bahagian dapur rumah kami pada hari Ahad itu kerana akan ada keramaian, katanya, dimana ramai orang akan berkumpul.
Rupanya keramaian yang dimaksudkannya itu ialah hari dimana beliau dipanggil menghadap Tuhannya.

v. Saya sempat pulang ke Tawau sebelum menyambung tugas lagi ke luar negara. Kali ini saya terpilih untuk mengikuti rombongan wartawan Sabah ke Jakarta, Bandung dan Jogjakarta yang difasilitas Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. Kami melawat Indonesia untuk melihat perkembangan industri kecil dan sederhana (IKS), kraftangan dan hubungan ekonomi dua hala serta tempat-tempat pariwisata di negara itu.

vi. Bagaimanapun sepanjang seminggu berada di negara itu, saya dihinggapi demam dan kurang sihat. Suhu badan tidak menentu manakala saya dihinggapi batuk juga. Mujurlah saya masih tetap kuat dan kelihatan `steady' sepanjang program itu, walaupun batuk rasanya agak mengganggu. Walaupun dihidangkan pelbagai jenis makanan, saya dapat juga mencicipinya sedikit-sedikit walaupun saya kurang berselera.Kadang muntah kerana kurang sihat.

viii. Banyak catatan yang tertangguh. Saya seperti kehilangan kata untuk menulis blog. Sekembalinya dari Jogja, saya cuba untuk membereskan sedikit demi sedikit catatan-catatan yang banyak tertangguh itu. Saya minta maaf sebesar-besarnya kepada semua pengikut blog dan pengunjung blog saya. Hari ini saya kembali menulis!

1 comments so far

SALAM TAKZIAH ABG NAD ..semoga tabah menghadapi hari2 mendatang.