Khamis, 19 Ogos 2010

Berenang bersama ikan di Seaworld Indonesia

Tags








MULANYA kami enggan untuk memasuki Seaworld Indonesia itu. Apa istimewanya ikan-ikan dan hidupan laut di Seaworld berbanding dengan ikan yang ada di Kota Kinabalu? Tetapi apa salahnya `masuk ke dalam laut' kerana kami sudahpun berada di gerbang pintu.
Namun alangkah takjubnya melihat ikan-ikan berenang, ikan pelbagai jenis dan spesies. Banyak jenis ikan yang tidak pernah saya lihat sebelumnya ada dalam `alam laut' Indonesia itu.
Agak lama juga saya menatap ikan piranha. Tidak pernah sebelumnya saya melihat ikan piranha secara dekat. Piranha dikatakan sejenis ikan yang sensitif dan sentiasa tertarik dengan bau darah. Ia terkenal sebagai ikan buas yang ditakuti. Dengan giginya yang kuat dan tajam, sekelompok ikan piranha dapat melahap seekor kambing dalam beberapa minit.
Selepas melihat ikan piranha itu, perhatian saya beralih kepada ikan-ikan yang hidup di celah batu karang. Kemudian tanpa saya sedari, saya seolah berada dalam laut yang luas, memesrai segala hidupan laut, mengakrabi penyu dan ikan-ikan lain pelbagai warna, pelbagai tingkah.
Memang ada rasa sedikit gentar melihat kawanan ikan jerung. Ada yang sedang berenang ke sana kemari mencari mangsanya. Ada yang barangkali kerana keletihan, kelihatan seperti sedang berehat.
Saya seolah olah ikut berenang menjelajahi isi lautan ciptaan itu.
Tiba-tiba saya melihat ikan belut. Saya mendekatinya untuk melihat kehidupannya dari dekat. Saya melihat ia memasuki celah celah karang sebelum menyembulkan kepalanya.
Entah apa pula nama ikan penuh warna dibadannya. Bintik-bintik yang membuatnya kelihatan cantik.
Saya terpegun dan memandang agak lama melihat bagaimana ikan itu bergerak, bernafas dan berkomunikasi.
Tidak lama kemudian saya dikejutkan ikan pari yang besar, yang berenang tepat di kepala saya. Andaikan dinding pameran ini pecah, sudah tentu saya akan dilibas ekor ikan pari ini.
Saya melihat banyak juga ikan kerapu. Berbagai jenis dan warna. Namun saya tak dapat membezakan spesisnya.
Eh, dimana sang penyu ini akan bertelur. Tak ada pantai yang kelihatan untuk mendarat. Dari dekat, hanya dipisahkan dinding kaca, saya melihat penyu, sang penjelajah lautan malah menjadi mitos di pelbagai negara.
Ikan besar dan kecil, dari berbagai jenis terus berenang-renang mencari kehidupan dalam lautan. Rekabentuk di dalamnya membuatkan ikan ikan dan hidupan laut yang lain merasa hidup dalam habitat mereka masing-masing.
Kami sempat juga melihat pelbagai spesimen ikan purba,ikan yang hidup di zaman dinosaur di laut di sekitar nusantara.
Kunjungan ke Seaworld Indonesia yang terletak di Taman Impian Jaya Ancol, Jakarta amatlah bermakna. Ia memberikan pengalaman yang sukar dilupakan, yang membuatkan kita seolah-olah berenang bersama ikan-ikan di tengah lautan dengan melihat khazanah yang sukar dilukiskan.