Nik Nazmi sudah menunggu ketika kami tiba untuk pertemuan itu. Kalau bukan kerana saya selalu mengikuti tulisan-tulisannya, mungkin saya hanya akan mengenalinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.
Pertemuan itu, walaupun santai tetapi menjadi sangat penting bagi saya, bukan saja kerana dapat berkenalan dengan Exco Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat tetapi juga dapat berbicara dan bertukar fikiran dengan seorang tokoh dari angkatan muda, yang sudah saya ikuti buah fikirannya melalui tulisannya yang tersiar dalam beberapa media.
"Saya selalu mengambil jalan tengah," katanya kepada saya. Pemikirannya tentang demokrasi, kebebasan berpendapat, pandangannya mengenai subsidi, mengenai konsep 1 Malaysia, mengenai generasi muda, mengenai isu-isu semasa, masa depan Malaysia, mengenai sekolah, juga dibincangkan mengenai ketuanan Melayu, Model Ekonomi Baru, dan sebagainya itu, saya fikir amat bernas.
Sebenarnya saya diajak Sdr Sanizam untuk bertemu dan diperkenalkan dengan YB Nik Nazmi Nik Ahmad. Walaupun agak sibuk dan tergesa-gesa pada pagi itu, namun pertemuan dengan Nik Nazmi itu menjadi satu keutamaan kerana memang sudah lama saya berhasrat untuk dapat bertemu dengannya.
Nama Nik Nazmi ini saya kenali sejak AMK dipimpin Sdr Ezam Mohd.Noor (kini Senator). Beberapa tulisannya menyerlahkan sikap keterbukaannya bukan saja sebagai pemimpin muda tetapi sebagai pemikir dan intelektual.
Nik Nazmi merupakan lulusan undang-undang dari King College, University of London. Ayahnya pernah menjadi Ketua Setiausaha (KSU) salah sebuah kementerian dan merupakan lulusan Universiti Malaya (ketika itu di Singapura) pada tahun 1958. Berasal dari Kelantan, kebanyakannya keluarga ayahnya merupakan ulama dan guru agama lulusan Timur Tengah. Tetapi oleh kerana atuknya tidak mampu menyekolahkan anaknya di tanah Hijaz, maka beliau menghantar anaknya, Nik Ahmad iaitu ayah kepada Nik Nazmi untuk bersekolah di Singapura.
Nik Nazmi membesar dan bersekolah di Selangor. Beliau melanjutkan pelajaran di London dalam bidang undang-undang. Di sana, beliau terdedah dengan dunia pemikiran yang lebih terbuka. Walaupun begitu, Nik Nazmi tetap orang Melayu yang santun. Selain itu, beliau menghormati dan menghargai pendapat lawan bicaranya.
Beliau memberitahu saya bahawa beliau selalu mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan facebook dan twitternya, termasuk dengan rakan dari BN dan UMNO dan berbincang dalam suasana yang lebih terbuka. Saya juga sempat bertanya mengenai tokoh-tokoh muda dalam AMK antaranya Sim, Nurul Izzah, Jonah, Yusmadi, Amirudin Shari, Samsul Iskandar dan bagaimana AMK dapat menarik perhatian lebih ramai golongan muda.Pandangannya terhadap Khairy Jamaludin dan sebagainya.
Banyak juga perkara dan isu yang kami bincangkan. Sebagai wartawan, saya tidak melepaskan untuk melontarkan beberapa persoalan dan pertanyaan. Dalam beberapa hal, kami sependapat, dalam beberapa hal lain, mungkin ada yang berbeza. Percakapan kami menjadi semakin menarik,bahkan bukan setakat isu semasa, malah berlanjut juga ke dunia buku. Bagaimana seharusnya kita menggalakkan budaya ilmu, budaya berfikir di kalangan generasi baru.
Saya teringat bagaimana pada satu kunjungan ke Toko Buku Gramedia di Matraman, diadakan diskusi buku dan pelancaran buku di dalam kedai buku. Saya diberitahu bahawa beliau akan berada di Suria untuk menandatangani buku hasil karyanya. Sayang sekali kerana saya tidak dapat menghadirinya.
Tidak lama kemudian, rakan-rakan yang lain datang. Antaranya Erviana Ansari dan rakan wartawan dari The Borneo Post, Mariah Doksil. Pertemuan itu menjadi sangat bermakna dan menyenangkan.
Saya fikir, jika tokoh-tokoh muda kita di Malaysia, seperti Nik Nazmi yang dapat berbicara secara jelas, terbuka, berterus terang, berani berbeza pendapat, menghormati prinsip kebebasan demokrasi, adil dan dapat menghargai perbezaan, Malaysia mampu bergerak lebih laju dan maju lagi ke hadapan.