Saya sedang menunggu tukang masak menyiapkan maggi rebus ketika saya melihat Cikgu Raskan Asing sendirian berjalan di Jalan Gaya. Mantan ADUN dilantik ketika zaman Berjaya ini meninggalkan banyak jasanya untuk anak negeri ini.
Saya mengajaknya minum. Tetapi beliau lebih suka minum teh di sebelah dan berkira-kira mahu mengajak saya ke restoran sebelah jalan. Tapi saya sedang menunggu maggi rebus kerana entah kenapa tiba-tiba terasa ingin makan maggi. Kalau isteri saya tahu, mungkin beliau akan berceramah panjang mengenai tabiat pemakanan saya yang kurang menyihatkan.
"Apa berita terkini?" tanyanya kepada saya sambil duduk. Saya mempelawanya minum tetapi beliau hanya membuka kotak rokoknya.
Tak ada apa apa berita yang luar biasa, saya memberitahunya. Kerana jarang bertemu tokoh ini, saya cepat bertanya keadaan di zaman dulu.
Beliau pernah menjadi Pengerusi Ko Nelayan dan dilantik sebagai ADUN lantikan di DUN Sabah, bergelar YB atau Yang Berhormat ketika zaman pemerintahan Datuk Harris. Datuk Harris memang diakui banyak membawa pembangunan di Sabah dan ketika masa jayanya, banyak agensi kerajaan telah ditubuhkan seperti Ko Nelayan, Korporasi Pembangunan Desa, Kosan, Safoda, Sama dan banyak lagi. "Ada lebih sepuluh agensi kerajaan ditubuhkan ketika zaman Datuk Harris," katanya.
Sebelum menceburi bidang politik,Cikgu Raskan pernah terlibat secara aktif dalam kegiatan bahasa dan sastera. Beliau merupakan salah satu tenaga penting dalam penubuhan Angkatan Gaya Baru (AGABA) yang dipimpin oleh Tun Fuad sebagai Yang DiPertua dan K.Bali sebagai Setiausaha.
Selepas lulus di Kent College, Cikgu Raskan ditempatkan di SK Ratau, Ranau sekitar tahun 58. Antara muridnya ialah Tan Sri Kasitah Gaddam dan Datuk Masidi Manjun. Sampai sekarang, jika bertemu, Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan danAlam Sekitar masih memanggilnya Cikgu.
Selepas itu, beliau telah berpindah ke SK Buit Hill Putatan selma empat tahun sebelum bertugas di SK Tanjung Aru. Di sinilah beliau aktif dalam kegiatan memperjuangkan bahasa dan sastera. Di kalangan, orang-orang yang menubuhkan AGABA, semuanya sudah meninggal dunia, tinggal beliau seorang diri.
Sekembalinya dari mengikuti kursus Colombo Plan selama enam bulan di New Zealand pada tahun 1961-62 , beliau pulang ke Sabah ketika Sabah mencapai kemerdekaan pada 1963. Beliau kemudian ditugaskan di Kota Kinabalu sebelum dipindahkan ke Kudat. Sebaik-baik SMRK Taun Gusi dibuka, Cikgu Raskan Asing menjadi pengetuanya yang pertama. Kemudiannya beliau dipindahkan sebagai Penyelia Hisab Sains di Jabatan Pelajaran sebelum mengambil keputusan menceburkn diri dalam bidang politik.
Saya sempat bertanya mengenai cabaran-cabaran guru pada zaman 60-an dahulu, bagaimana sikap ibubapa mereka terhadap pelajaran.
"Dahulu tidak seperti sekarang.Dahulu ibubapa tidak bimbang kerana mereka cukup makan, tidak payah bersusah susah. Tapi sekarang kesedaran mengenai betapa pentingnya pelajaran, sudah tertanam di jiwa ibu bapa," katanya.
"Minum pakcik," kata saya. Sementara mata saya melihat pelayan Restoran Asrin (dulunya Restoran Banu) yang belum juga membawa maggi rebus yang saya pesan sejak tadi.
Saya sempat mengorek pengalaman-pengalamannya dulu. Banyak topik yang kami bicarakan sehingga saya tidak sedar bahawa bukan maggi rebus yang dibawa oleh peekerja restoran itu sebaliknya maggi goreng.
Selepas makan, Pakcik Raskan pula yang membelanja makan kerana katanya "kita bukan selalu jumpa".