Rabu, 24 Mac 2010

Soal plus minus dan makaminus

Tags

Kehidupan selalu merupakan perkiraan plus minus. Campur tolak atau untung rugi adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan terutamanya bagi mereka yang berkecimpung dalam perniagaan. Bukan itu saja, sesuatu langkah atau tindakan selalu dihubungkan dengan perkiraan plus minus ini.

Memang ada juga orang yang membina perhubungan atau pertemanan berdasarkan plus minus ini. Bahkan kita juga tidak terlepas daripada memeriksa kehidupan ini dengan melihat plus minus sebagai natijah daripada segala apa yang telah kita laksanakan sebelumnya.

Saya sengaja menyebut plus minus ini setelah teringat satu perkataan Iranun yang diucapkan oleh abang sepupu saya, Amai Adlan iaitu makaminus.

Dalam bahasa Iranun, makaminus merujuk kepada perbuatan yang merugikan hingga membawa kerugian harta benda. Nyakaminus pula membawa maksud membawa kerugian yang tidak disengajakan.

Jadi dalam bahasa Iranun juga, makaminus atau nyakaminus juga memiliki unsur tolak-. Makaminus, boleh juga diertikan sebagai boleh membawa kemuflisan. Atau menghabiskan harta hingga papa kedana.

Perkara yang menjadi perhatian saya ialah sejak bilakah bahasa Iranun menggunakan perkataan makaminus atau nyakaminus ini kerana seingat saya ia sudah lama digunakan oleh orang Iranun sejak lama dahulu, walaupun saya tidak menafikan bahawa ia semakin jarang digunakan generasi muda Iranun sekarang.Malah mungkin mereka tidak lagi memahami makna perkataan itu.

Apakah perkataan makaminus atau nyakaminus mempunyai kaitan dengan soal plus minus ini. Cuma perkataan minus tidak memiliki makna dalam bahasa Iranun kecuali jika ia menerima imbuhan maka atau nyaka. Maka (akan berlaku) nyaka (telah berlaku ).

Persoalan ini amat menarik untuk dikaji, bukan saja dari aspek kajian bahasa tetapi merangkumi bidang kehidupan yang lain kerana makaminus amat erat hubungannya dengan plus minus.