Rabu, 10 Februari 2010

Saya, waktu kecil, kampung Linau dan arwah Ag Semad

Tags

Barangkali sudah sangat lama saya tidak berkesempatan berkunjung ke Kampung Linau, kampung yang erat tautannya dengan masa kanak kanak dan remaja saya di Kota Belud. Kampung Linau merupakan kampung atuk saya, Haji Mohd Hashim @ Haji Markasham yang menjadi pernah menjadi khatib dan imam di kampung itu satu waktu dulu.

Saya tidak ingat bila kali pertama saya ke kampung itu, mungkin sewaktu atuk sakit dan saya masih terlalu kecil untuk dapat mengingatinya.

Ketika pakcik cikgu (Haji Madlan) melangsungkan perkahwinan, saya ingat peristiwa itu kerana pakcik selalu mengusik saya yang gemar memakai songkok. Sering diambilnya songkok saya dan disangkutnya di tiang. Bila meningkat remaja, saya sering ke kampung dan menginap satu malam dua malam di rumah makcik makcik saya dan mandi di sungai Linau bersama sepupu-sepupu. Kalau tidak Kai (sheqar) saya bermain dengan Sab (Sabran) Saya ingat, minat membaca saya antara lain tumbuh selepas saya membaca buku Hartini karya Aziz Afkar di rumah makcik Yang Lui.

Saya rajin bertandang ke rumah pakcik dan makcik saya di Kampung Linau. Terutama kalau tiba waktu bulan Ramadhan. saya biasa bersahur di rumah Ma Nda, dan itulah sebabnya saya agak rapat juga dengan sepupu-sepupu saya di Linau.

Tapi lama tidak ke sana.Paling akhir ialah apabila salah seorang adik sab kahwin dan saya membawa Prof.Datuk Dr.Zainal Kling dan kak Datin Tinah Sohadi untuk turut sama menyaksikan perkahwinan itu.

Entah macam mana kenangan saya terusik apabila saudara Japli Maton (yang sebenarnya pangkat pakcik) mengtag saya untuk hadir dalam Majls Kenduri dan tahlil untuk memperingati arwah Tuan Guru Hji Ag Semad Atoh, ma' pilihan. Saya terus teringat arwah yang merupakan seorang yang baik dan menyimpan banyak buku agama di rumahnya. Saya sering ke rumahnya juga apatahlagi isterinya masih merupakan makcik saya.

Sejarah perkembangan Islam di Kampung Linau Kota Belud pada tahun tahun 70-an, 80-an dan 90-an mungkin tidak dapat dipisahkan dengan peranan yang dimainkan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Ag Semad Atoh.

Setiap tahun beliau mencetak puluhan murid dalam kelas pengajian al-quran. Sebagai guru mengaji, Haji Awang Semad mengajar tarannum dan tajwid. Setiap tahun juga diadakan majlis khatam al-quran untuk muridnya-muridnya yang datang dari kampung Linau, Gunding, Taun Gusi dan kampung berdekatan.

Selain peranannya sebagi guru mengaji, beliau juga mengajar seni kompang, nasyid dan seni silat. Hampir semua belia dan beliawanis di Kampung Linau pernah belajar seni silat di Gelanggang persilatan di Kampung Linau itu.

Selain itu, arwah Haji Ag Semad juga aktif dalam kegiatan sukarela. Selama puluhan tahun lamanya, beliau bergiat dalam Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) di Kota Belud.

Beliau yang bekerja sebagai Malaria Assistant Technician merupakan seorang dedikasi terhadap tugasnya.

Satu majlis kenduri dan doa tahlil akan diadakan pada 27 Februari jam 1.00 petang di Kampung Linau. rosnani sibil 013854002, sabran sabdani 0198705185/972079 dan japli maton 0138566976

3 comments

Terima kassih anak buah kerana menyelitkan secebis kenangan di kg Linau dan khususnya perihal arwah pak Haji Ag.Semad...arwah merupakan kawan rapat ayahndamu,kekanda saya..pernah bebarapa kali mereka berbincang sampai ke subuh..tidak tiidur..tikar yang disediakan oleh Makcik Yg.Pelihan tidak terusik kerana asyik dan seriusnya perbincangan mereka...semoga dirimu dapat hadir d majlis ini kelak.

Jauh dinegeri orang..tapi tidak pernah lupa akan damainya kampung halaman..tempat membesar.Suka duka silih berganti.Suka bersama kehidupan keluarga duka bila orang tersayang pergi buat selamanya.Kini hati ini selalu terpanggil untuk balik ke kampung.Ingin bertemu ibu tersayang dan sanak saudara.Apatah lagi adik beradik dan anak saudara.Kampung Linau,terlalu indah dikenang.Arwah Bapa,arwah adik dan segala2nya...disini aku membesar..terima kasih Bapa dan Eyang..kerana membesarkan aku dengan kasih sayang..Aku rindukan Bapa,aku rindukan Eyang..dan aku rindu mandi sungai..masih ingat lagi main hantu-hantu dalam sungai and tarjan2..namun semuanya sudah berlalu..namun hati ku tetap bersama kenangan di kampung Linau..selagi nyawa dikandung badan,takkan ku lupa tempat aku membesar..terima kasih Bapa dan Eyang...

sungai linau tempat mandi manda itu, tidak lagi seperti dahulu.tiada lagi air yang mengalir sejernih dahulu.kini tebing terancam runtuh bahkan ada bahagian bahagian yang sudah runtuh.mengejutkan sekali, kampung Linau kini sering banjir,mungkin kerana alirannya di ganggu.