Sabtu, 20 Februari 2010

Salleh ajak masyarakat merangka masa depan

Tags


Lontaran pemikiran Datuk Salleh Tun Said pada malam itu memang jauh ke depan.

Beliau mengajak masyarakat di Kota Belud supaya merancang masa depan yang lebih cemerlang dengan memberi keutamaan kepada bidang pendidikan.
"Kemajuan dalam bidang pendidikan adalah penentu masa depan kita dan oleh sebab itu, semua anggota masyarakat di daerah perlu digerakkan untuk mencintai pendidikan.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kota Belud yang ditubuhkan sejak beberapa tahun lalu merupakan sebuah yayasan yang memberi perhatian terhadap pembangunan pendidikan dan kesihatan di daerah yang dihuni oleh majoriti masyarakat Bajau, Iranun dan Dusun itu.

"Kita tidak boleh fokus terhadap penyelesaian jangka pendek sebaliknya memikirkan serta melihat masa depan melangkaui satu generasi atau tempoh 10 atau 15 tahun akan datang," katanya yang juga Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri.

Katanya, semua anggota masyarakat hendaklah memberi pendidikan yang terbaik untuk anak-anak dan generasi akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Hala Tuju Pendidikan Kota Belud anjuran Yayasan Kota Beluid, di salah Tingkat 8, Hotel Imperial, di ibu negeri
.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Penganjur Liasin Kaloh, Pengarah Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran Malaysia, , Jame Alip, Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah, Hajah Maimunah Haji Suhaibul, Presiden Persatuan Sama Sabah (PSS), Haji Abdullah Sibil, Ketua USIA Bahagian Kota Belud, Lamsil Hamidsor yang juga Naib Presiden USIA, Ketua Pemuda UMNO Kota Belud, Baharul Sawi, Pengerusi PERKASA Sabah, Musli Haji Oli dan golongan pendidik dan cendikiawan sekitar daerah Kota Belud.

"Kita hendaklah mampu meramal apa yang berlaku pada masa depan dengan menyediakan modal insan yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi bagi membolehkan mereka bersaing dalam era yang lebih mencabar," katanya.

Beliau berkata, jika kita gagal membaca masa depan sudah tentu kita tidak dapat merancang masa depan dengan lebih baik.

Selain itu, beliau menekankan betapa pentingnya generasi masa depan menguasai bidang bidang kemahiran tertentu kerana bidang kemahiran amat diperlukan dalam pasaran kerja pada masa akan datang.
Bagaimanapun, Salleh mengingatkan dalam kita mengejar kemajuan, jangan lupa nasib dan masa depan bangsa kita.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Liasin Kaloh berkata bengkel yang dihadiri golongan pendidik dan intelektual, pemimpin masyarakat dan NGO di Kota Belud itu bertujuan untuk mencari kaedah untuk memartabatkan bidang pendidikan di daerah itu.
Katanya, hasil rumusan bengkel itu akan dijadikan panduan untuk merangka masa depan yang lebih cemerlang dalam bidang pendidikan di daerah itu.

MERANGKA MASA DEPAN...Kelihatan Datuk Seri Salleh (dua dari kiri), Liasin (kiri sekali) dan Haji Abdullah Sibil (kanan) dan golongan pendidik dan cendikiawan di Kota Belud lain sedang menyertai Bengkel Halatuju Pendidikan di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.