Isnin, 8 Februari 2010

Kami dihempas ombak,kata Haji Lait

Tags

Kami dihempas ombak dan badai dalam perjalanan itu, kata OT Haji Lait Abat,77 kepada saya. Kami bertemu secara kebetulan ketika beliau mencari tandas. Saya menunjukkan arah ke tandas, saya fikir beliau mahu melepas hajat rupanya beliau ingin membeli sinki tandas.
Kami mengajaknya singgah minum. Saya dengan cepat mengeluarkan buku nota dan mengambil foto selepas bertanya khabarnya. Kali ini saya tak ingin melepaskan peluang untuk menemuramahnya mengenai kisah-kisah perjuangan yang lalu.
"Kami menaiki kapal Elopura untuk menghadiri satu perhimpunan di Kudat pada 27.12.1960," katanya. Ombak kuat ketika itu, dan OT Lait yang mewakili masyarakat pulau-pulau ikut serta dalam kongres pertama penubuhan USNO.
Antara rakan yang diingatnya ikut dalam kapal itu ialah Datuk Taib, Datuk Walli,Datuk Hussin,OT Bidin Tanjung Aru, Haji Ahmad Fakir. Kebanyakannya sudah meninggal, katanya.
"Saya mewakili kira-kira seribu orang penduduk pulau termasuk pulau Denawan, Sepanggar dan pulau-pulau lain untuk menyatakan pendirian kami menubuhkan parti.
"Kami menubuhkan parti kerana kita mahu merdeka, " katanya sambil berkata tiada jalan lain melainkan melalui perjuangan dalam parti.
"Saya masih ingat antara orang yang turut dari Putatan, NC Asai,MOhd Din, Imam Jamrah, Mat Salleh, Ibrahim Dermat Haji Ahmad Takim, Kerani Hamid dari Menggatal, ini semua pejuang-pejuang USNO," katanya.
Kami dihempas ombak dalam perjalan itu, katanya lagi. Katanya Datuk Pengiran Galpam `melua' sin' mengeluarkan wang untuk membantu Tun. Datuk Peter Lo, Datuk Khoo Siak Siew. "Saya lihat dengan mata saya sendiri taukeh Ong Yun (Yung Brothers) bapa Datuk Yong Teck Lee membawa duit satu beg untuk menubuhkan USNO.
"Orang kampung kita kasi emas sama Tun suruh gadai," katanya lagi dalam dialek Sabah. "Saya pungut duit dari penduduk pulau dapat 460 ringgit. Haji Hamid keluarkan 120 ringgit, OT Lait berikan 80 ringgit untuk USNO. Jumlah duit itu besa, harga kopi 5 sin, harga roti paun satu buku lima sen juga.
Beliau berkata, penubuhan USNO memang mendapat tentangan dari awal tetapi setelah melihat semangat rakyat, beribu-ribu berkumpul di Kudat, barulah ramai orang menyokong USNO.
OT Lait masih ingat antara orang-orang yang kuat menyokong USNO di Pantai Timur ialah Pengiran Jakarullah, Datu Saribu, Haji Kalipunya, Haji Apdal dan ramai lagi. Beliau juga masih ingat satu ketika beliau turut berkempen untuk Datuk Ahmad Ayid untuk bertanding AMT USNO.
"Kami naik kapal elopura, pulang kami naik kapal perikanan," katanya yang merupakan satu sekolah dengan OKK Indan Kari. Masih terbayang di kepalanya ketika kapal mereka dilambung ombak.
"Sekarang kita sudah merdeka," katanya.Banyak nikmat kemerdekaan, kerajaan berikan berbagai bantuan untuk kesejahteraan hidup rakyat.
Kami dihempas ombak dan badai, katanya. Kalau kita tidak menjaga perpaduan antara kita, politik kita akan sentiasa dihempas ombak dan badai.