Bimbang kemungkinan kehilangan kelkatinya, ibu berpesan supaya membawa kelkatinya pulang. Saya pulang lebih awal menaiki bas Trans Tedar dari Tawau sementara ibu dan bapa dan shukri, pulang menaiki pesawat air asia. Mereka berada di Kampung Titingan Hujung, lebih dikenali sebagai Ice Box untuk menghadiri majlis perkahwinan adik ipar saya yang dilangsungkan di Dewan Masyarakat Tawau Ahad lepas.
Entah bagaimana ibu boleh terlepas dari pemeriksaan di lapangan terbang.Yang jelas setelah penggera berbunyi, ibu menyembunyikan kelkatinya dalam poket kerana semua barangan besi dianggap berbahaya terhadap keselamatan penumpang.
Itulah sebabnya beliau mengirimkan kelkatinya pulang, bimbang pengawal keselamatan menahan pengacip pinangnya itu.
Tidak banyak tempat yang dapat dikunjungi sepanjang mereka berada di Tawau. Kami agak sibuk menjelang majlis itu, lagipula bapa dan ibu hanya ingin menjenguk cucu-cucu mereka, yang agak gembira menerima kedatangan atuk dan nenek mereka. Sepatutnya kami balik kampung di Kota Belud tetapi kerana jumlah cuti yang tidak memadai maka tidaklah dapat bercuti dengan selesa.
Di Tawau, dengan ditemani biras saya, Md Shukri (terima kasih di atas keprihatinannya) kami sempat ke Batu Payung berkunjung ke rumah sepupu bapa, pakcik maing (Cikgu Ismail Alim). Arwah moyang saya, Satuh berhijrah ke Tawau selepas peristiwa Perang Pandasan. Kemudian selepas perang Jepun, beliau kembali semula ke kampung untuk mengambil anaknya, Alim bin Satuh dan adiknya Duakis (atau Dulakis) untuk berhijrah bersama-samanya ke Tawau.
Kebetulan ketika kami sampai ke Batu Payung, pakcik Anting (Ahmad Alim) juga berada di rumah. Kebetulan juga kak Hasnah Mahmud, abang Yunus, Kak Muna, serta anak-anak mereka, Otto dan isteri, juga kebetulan di Batu Payung. Syukurlah kerana dalam kesempatan singkat itu, kami dapat bertemu.
Cuma saya agak kecewa sedikit juga kerana tidak dapat menghubungi Kak Yati (Cikgu Nuryatih Amadshah) yang kini tinggal di Tawau untuk bersama-sama kami. Kak Yatih ini adalah anak kepada pakcik Ahmadshah Takim dari Kampung Jaya Bakti Beluran. Arwah Takim dan Arwah Alim dan arwah nenek saya Sablah adalah adik beradik. Mungkin dalam kesempatan lain, saya dapat mempertemukan mereka dan mengajak mereka berziarah ke kuburan moyang kami, arwah Satuh yang ada di Perkuburan Islam Batu Payung.
Selepas majlis perkahwinan malam itu, yang tentu saja meriah dan diserikan dengan tarian zapin, kami sampai di rumah sudah tengah malam.
Esoknya kami ke Tanjung Batu, kerana diajak pakcik Jaya Dallah, yang puluhan tahun bermastautin di daerah itu. Pakcik Jaya yang baik hati dan baik budinya itu, serta peramah pula mengajak kami ke rumahnya walaupun seminit dua.Pakcik Jaya dan isterinya, merupakan pasangan suami isteri yang sangat baik. Bagaimanapun kami tidak dapat memenuhi permintaannya untuk bermalam dirumahnya kerana ipar saya, kk Abdul Syeh Haji Salim, ketua kampung di Batu Empat itu telah terlebih dahulu mengajak ibu dan bapa supaya singgah ke rumah.
Sebenarnya dari rumahnya di Batu Empat itulah dahulu, rombongan pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan iaitu isteri saya di ice box kira-kira sepuluh tahun yang lalu.
Sejak itu, kami sering menyempatkan diri untuk singgah ke rumahnya kerana budi mereka itu tidaklah dapat kami balas.
Saya terpaksa pulang KK lebih awal kerana kebetulan ramai kawan yang bercuti krismas. Tak ramai orang di ofis.Banyak isu yang tak sempat ditulis dan perlu ditulis untuk mudah-mudahan dapat membantu menangani masalah yang dihadapi rakyat yang lara.
Ibu bimbangkan kelkatinya. Pengacip pinang. Anak saya mungkin tidak akan lagi makan siri pinang dan lama kelamaan tradisi makan sirih pinag ini akan hilang dan hanya tertinggal di dalam pantun-pantun lama.
Ibu bimbang kehilangan kelkati, kita bimbangkan hilang tradisi.
Selasa, 22 Disember 2009
Ibu bimbang hilang kelkati
✔
abd naddin
Diterbitkan 11:15 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments so far
kelkati dalam bahasa bajau sejenis alat mengacip pinang..untuk tujuan makan sirih.
pinang dikacip 4, 6 atau 8 atau jika pemakan sirih tiada gigi, akan dihiris-hiris pinang dengan kelkati.
salam MO