Ahad, 15 November 2009

Catatan Perjalanan ke Kota Marudu

Tags

Saya sudah menunggu di perhentian bas Kampung Cenderamata Dua Likas sejak 7.00pagi. Tidak lama kemudian Azlee datang bersama Kak Sitti Rahmah. Kami akan ke Kota Marudu untuk menghadiri Sidang Pengumpulan dan Pengesahan Bahasa Sukuan anjuran DBP Sabah di Marudu Inn.

Rupanya kak Ony sudah berjalan duluan sesampainya kami di Tuaran. Kak Sitti menelefonnya kerana pada mulanya Kak Ony dijadual menunggu di Restoran D Sayang dekat bulatan. Akhirnya kami meneruskan perjalanan walaupun ada rancangan untuk makan kuih pau sedap di kedai itu.

Sejam kemudian, kami sudah sampai di Kota Belud dan melalui laluan baru jalan Kota Belud Kudat dan melihat pemandangan sawah padi yang baru ditanam dan yang menguning di kiri kanan jalan.
Amir menunggu di hujung jalan baru itu kerana saya ingin berjumpa dengannya. Dia akan ke KK hari ini untuk menguruskan pembayaran Astro yang kena potong sebelum tiga bulan.
"Saya tunggu di hujung jalan baru, dekat kedai 10 sen" katanya.
"Kedai 10 sen?"
"Ya, gerai yang menjual kuih sebiji RM0.10 sen",katanya. Barangkali inilah satu-satunya gerai yang menjual kuih termurah di Malaysia ketika ini. Sepuluh sen sebiji,ketika kuih di KK sudah berharga paling murah 30 sen sebiji. Bahkan kalau ada yang menjual 50 sen atau seringgit sebiji pada zaman yang serba gila ini.

Kami teruja untuk singgah membeli kuih. Kerana harganya murah maka kami membeli pelbagai jenis kuih. Iya, benar sebiji kuih berharga sepuluh sen dan walaupun agak comel tetapi sedap.
Sempat juga kami makan tapai nasi sambil berdiri, sedap rasanya.Barangkali pemilik gerai itu agak hairan melihat telatah kami.

Ketika melewati Anjung Kesapang, Azlee memberitahu restoran itu menjual rojak paling sedap di Kota Belud. Kami ingin mencubanya tetapi sudah terlajak dan kami perlu sampai di Marudu Inn tepat jam 10.00 pagi.

Sepanjang jalan, banyaklah topik yang kami percakapkan. Ehwal meriam di Pandasan, makam Embo Ali hinggalah komentar seorang rakan dari Semenanjung yang menyatakan langsat yang paling terbaik di Malaysia ialah langsat yang dijual di gerai tepi jalan di Pandasan itu.

Ah,masakan semuanya terbaik. Tapi ini pendapat orang mengenai langsat Pandasan itu. Lucu juga mendengar cerita Abd.Nassir, pegawai projek bahasa sukuan DBP Sabah mengenai rakan kami Haji Ahmad Abdul dari Sandakan,pakar bahasa Sungai yang minta diambil di ofisnya. Ingatkan ofisnya dimana, tapi ketika ditanya dimana ofis cikgu di KK, jawabnya di Restoran Islamic Kampung Air.

Kami tersenyum mendengarnya, tapi mengakui hakikat bahawa restoran itu sudah sejak sekian lama menjadi lokasi pertemuan di seluruh Sabah.

Selepas makan tengahari tadi, pelayan restoran tempat kami makan itu tergamam ketika Haji Ahmad Abdul tiba-tiba minta `screw driver'.
Untuk apa `screw driver'?
Rupanya screw driver itu istilah bagi pencungkil gigi, yang bagi setengah orang dipanggil `kayu balak' itu.