Khamis, 15 Oktober 2009

Sekitar Baca Puisi Tangisan Padang

Tags

BACA PUISI TANGISAN PADANG BERI KEINSAFAN KEPADA MASYARAKAT

Oleh FHQ

Barangkali tidak ada yang dapat mengubati duka nestapa yang dialami mangsa gempa bumi di Padang Sumatera Barat 30 September lalu. Gempa bumi berukuran 7.6 skala richter yang mengorbankan ribuan nyawa itu bukan saja menggegarkan Sumatera malah turut menggegarkan hati nurani penulis dan penyair di Kota Kinabalu, Sabah.

Puluhan penyair di Kota Kinabalu berhimpun untuk majlis Baca Puisi Teluk Likas- Tangisan Padang-, anjuran Ikatan Penulis Sabah (IPS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Mereka mengungkapkan keprihatinan mereka terhadap tragedi itu sambil berpuisi.

Pembacaan puisi dimulakan dengan penampilan deklamator Ali Amat Anas yang membacakan puisi Ready Susanto, penyair dari Bandung yang mengirimkan puisi untuk dibacakan dalam majlis itu berjudul Suatu Padang.

"dan tibalah jua aku
di suatu padang, reruntuh
gedung dan ribuan orang
berpulang
menjumpaimu, suatu
pertemuan belum
terlunaskan.

Gedung-gedung runtuh dan ribuan manusia terkorban merupakan suatu pertemuan, yang menurut penyair, belum terlunaskan. Beliau melanjutkan dengan berkata;
"ah, kakak sayang,
maafkan, maafkan
petang ini dijemputnya aku
untuk satu janji yang
tak dapat lagi dibatalkan.

Ali Amat Anas mampu menghayati puisi Ready itu dengan begitu baik sekali, mungkin kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang deklamator puisi. Penyair kemudian menyatakan bahawa;

dan sampailah juga aku
di suatu pandang, tanah
lapang dan puing tempat
kembali dari perjalanan
yang sebentar.

Bagi penyair, mereka yang terkorban tetap akan menunggu; di satu padang/tempat kelak kita/akan dibangkitkan".

Program Baca Puisi Teluk Likas-Tangisan Padang- yang dihoskan Mohd.Fuad Bebit, pensyarah dari Sekolah Pengajian Seni Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya memberikan keinsafan mengenai malapetaka yang menimpa Padang itu.

Bagi Janathan Kandok, Pengerusi Institut Penilaian Sastera Sabah (INPES) yang juga Ahli Kehormat IPS, fenomena alam yang mengorbankan manusia dan memusnahkan bumi ini bukan sahaja menjadi cabaran pemimpin-pemimpin dunia malahan turut menjadi cabaran para sasterawan.

"Kita perlu mengurus perubahan iklim dunia sebab kemusnahan bumi pada zaman ini disebabkan pemanasan dunia," katanya.

Menurutnya, sebagai sasterawan kita dapat memainkan peranan ini kerana seperti yang dikatakan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad, puisi adalah untuk menyemarakkan kesadaran.

"Puisi adalah untuk memanusiakan kembali manusia itu, meninggikan budi pekerti, membentuk perwatakan dan juga membangkitkan semangat untuk bertindak," katanya.

"Cuaca sekarang ini cepat berubah. Sebentar panas, sebentar hujan.Siang panas terik, malamnya tiba-tiba turun hujan.

"Ini petanda bumi marah sama kita.Planet yang kita diami ini bergerak mengikut sistem yang semulajadi. Kalau sistem ini terganggu, bumi akan menampakkan gejala aneh yang akibatnya bakal menimpa makhluk yang tinggal du bumi ini," katanya sambil menambah, perubahan iklim ini adalah salah saru gejala yang dipanggil pemanasan global.

"Sesuai dengan namanya, pemanasan global berarti meningkatnya suhu atmosfera, laut dan daratan bumi. Biasanya suhu permukaan bumi adalah sekitar 15 darjah celcius (59 darjah Fahrenheit).

Menurut rekod, selama 100 tahun kebelakangan ini, angka itu sudah naik sebanyak 0.6 darjah celsius (1 darjah fahrenhiet).

"Jika suhu bumi ini semakin naik maka ais di kutub akan cair serentak memanaskan lautan. Akibatnya, kuantiti lautan dan permukaan laut naik pada tahap sekitar 9-100 cm.

"Kerana keadaan ini mengganggu sistem bumi semulajadi maka berlakulah pelbagai bencanaalam seperti gempa bumi, tsunami, taufan dan banjir besar di pelbagai negara di bumi ini.

Menurutnya kedatangan penulis dan hadirin dalam majlis itu walaupun secara spontan tetapi digerakkan oleh kejadian gempa bumi di Padang Indonesia, Tsunami di Samoa Barat, taufan di Filipina dan Banjir Besar di Selatan India yang mengorbankan ribuan nyawa dan kemusnahan harta benda.

"Kita meluahkan perasaan tentang kejadian malang ini melalui pengucapan puisi," katanya Janathan sambil mengucapkan tahniah kepada IPS dan DBP yang memberikan respon terhadap peristiwa yang melanda negara jiran itu.

Pembacaan puisi dilanjutkan dengan penampilan Salmah Matius yang menbaca sajak Wajah di Cermin, Muhammad Haji Salleh atau lebih dikenali sebagai Mat Congo dengan Tsunami bukan hanya Nama.

Pengarah DBP Sabah, Zubaidi Abas berkata majlis itu membuktikan keprihatinan golongan sasterawan terhadap kedukaan, kesengsaraan mangsa bencana gempa bumi di Padang dan musibah lain yang menimpa Filipina, Samoa dan Selatan India.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada IPS kerana menjayakan majlis Baca Puisi Tangisan Padang yang mengisi slot Program Baca Puisi Teluk Likas yang diadakan setiap bulan.

Deklamator yang sudah lama tidak beraksi di pentas puisi, Basyiroh Abd.Mukti tampil dengan puisi Tangisan Padang karya Hasyuda Abadi dengan penuh penghayatan.

Seketika suasana hening sebelum Basyiroh, seorang peguam membacakan kata-kata demi kata puisi itu.bumi yang merekah itu telah membawamuke perdu keinsafan tentang yang maha besarmendengar tangis jelaskan rahsia dahsyattakut hiba para bonda, adik-adik tercintaanak-anak, para bapak, kanda-kanda tersayang
Puisi itu mengajak hadiri menghayati tragedi itu;
saudara-saudaraku yang lain/yang telah hilang dan merasa kehilangan/musibah ini menyentuh kalbumendekam rasa sayu, sedih dan pilu.
Oleh sebab itu, penyair mahukan masyarakat supaya;hulur seluhur simpati dan doa yang panjang/bumi bergetar itu hikmah keinsafan/dan tangisan yang membelah padang/menyatu patuh tiadakan goyah takwa/tiang yakin telah didirikan berzaman/semakin ampuh menerima ketentuan/di sana tangisan kudengar/dari padang kesengsaraan ujian Tuhan/terjemahan yang memancar piala keimanan.
Nooraisah Maidin, seorang penyair membawa hadirin untuk meresapi suasana gempa bumi di Padang dimana puing-puing bertabur, menyebabkan suasana tidak seperti biasa. Kini tiada lagi keriuhan dan gumam ngaji sebaliknya, anak-anak kecil tercungap mengharap ihsan/agar ada telinga/mendengar rintihan buat menggapai nyawa di hujung talian.

Selepas Pegawai Perancang Bahasa DBP SabahAbnd .Nassir Said membaca sajak Kembali Sujud, Aloy penyanyi lagi puisi yang tidak asing lagi di sabah menyanyikan lagu Berita Kepada Kawan yang dipopularkan Ebiet G.Ade. Meskipun tanpa iringan muzik, Aloy melantunkan lagu itu memberi keinsafan kepada pendengarnya.

Baca Puisi Teluk Likas- Tangisan Padang itu ternyata mengubat kerinduan peminat sastera di Sabah khususnya di ibu kota kerana kehadiran penyair-penyair terkenal yang turut mendeklamasikan puisi mereka. Antaranya pendeklamator puisi terkenal dari Sabah,Ismaily Bungsu, Nandrayanatirow, Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya, Sukor Haji Usin yang juga Ketua Satu IPS, Mohd.Jasni Yakub, Muhammad Haji Salleh, Haji Alipah Jambuan, Eyna Juning, Salmah Matius, Yusuf Nur .

Yusuf Nur dalam puisi yang dideklamasikannya berkata, ketika rakyat di negara ini bercakap kemewahan , tidur yang nyenyak dan lena; mereka disana/ tidurnya tak lena/di gigit nyamuk dalam khemah/atau mungkin berbantal lengan/berdinding angin dan beratap langit. Mereka disana/luka tergores bencana/yang datang tanpa berita.hadir tanpa diminta.

Lebih jauh lagi Mohd.Fuad Bebit dalam puisi Pandang-Pandang di Padang melukiskan peristiwa gempa bumi di Padang itu dengan penuh dramatik.Penonton seolah-olah melihat;/padang bergegar tiang bergoyan/tiangnya hilang/, pohonnya tumbang, terumbang ambing mencari imbang/tersasar/ terdampar tak sedar/ dalam runtuhan celah-celah akar besar/tercalar/terlantar di balik kamar tertiarap/ terhempap di tengah padang/padang hilang tak sempat dipandang.

Mohd Jasni Yakub pula melihat Padang bukan sekadar menangis tetapi menjerit. Dalam puisinya Jeritan Kota Padang, Jasni berkata jeritan kota padang itu /telah mengetuk tipa pintu./dindiong, lantai dan bumbung kediaman/menyiat luka/menggurus jiwa dan meranap harap/saudara-saudara kami di Kota Padang.

Ikatan Penulis Sabah (IPS) juga mengambil inisiatif untuk melancarkan Tabung Kutipan Dana untuk Mangsa Bencana Gempa Bumi di Padang. Kutipan itu kelak akan diserahkan kepada Tabung Bencana Alam NSTP-Media Prima.

Arifin Arif dalam puisi Sepadang Tangis yang dikirimkannya untuk majlis itu berkata;redha tak kan hakis/tabah yang menetes dari hujung qadar/menetas kasih di pucuk tawakal.

Kata Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Membakut yang ketika itu sedang berada dalam lawatan kerja di Jakarta berkata;

sepadang tangis
esak syahdu bertebarsepetang uji al akbar
sepadang hikmah iktibar.