Jumaat, 2 Oktober 2009

Lee Lam Thye bercakap mengenai isu jenayah

Tags

Peningkatan kejadian jenayah di negara kita perlu dilihat dengan serius bukan sahaja oleh badan penguatkuasa dan kehakiman, tetapi juga oleh penentu dasar kerajaan, ibu dan masyarakat pada keseluruhannya.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata kadar jenayah mungkin akan bertambah walaupun berbagai usaha dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan untuk memerangi jenayah.
"Tiada hari yang berlalu tanpa kejadian jenayah yang berlaku. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan dan berbagai kesulitan lain yang dihadapi, kadar jenayah mungkin meningkat," katanya.
Setiap rakyat Malaysia yang rasional dan prihatin tidak dapat berdiam diri dengan kejadian jenayah yang sering berlaku, katanya dalam satu kenyataan kepada media, di Kota Kinabalu petang kelmarin.
Katanya, setiap kali jenayah ganas berlaku terdapat kemarahan orang ramai diikuti dengan perbuatan menyalahkan pihak-pihak tertentu dan dikuti dengan penafdian daripada pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.
"Soalnya adakah kita telah melakukan yang secukupnya sebagai sebuah kerajaan, sebagai sebuah institusi kekeluargaan untuk menangani punca dan isu yang menyebabkan jenayah tersebut dilakukan.
"Memerangi keganasan adalah satu hal tetapi mencari punca asas adalah perkara lain. Mencegah jenayah adalah penting dan kaedah untuk melakukan kajian terhadap jenayah yang dilakukan oleh remaja dan pelajar adalah lebih penting," katanya.
MCPF berpendapat penagihan dadah adalah punca utama pelbagai kejadian jenayah seperti ragut, pecah rumah dan lain-lain.
"Kecuali masalah penagihan dadah dapat diatasi, banyak jenayah yang bersangkutan dengan penagihan dadah akan terus berlaku," katanya.
"Kecuali kita dapat membantu menyediakan pelaung bekerja sendiri seperti berniaga secara kecil-kecilan dan berjaja untuk menangani kesan dari kegawatan ekonomi, sebahagian orang mungkin akan melakukan jenayah kerana desakan hidup," katanya.
Beliau berkata, perbuatan jenayah ganas bukanlah satu budaya masyarakat kita dan kita perlu mengenalpasti punca-punca dan cara untuk mengatasinya.
Lee berkata sekiranya peningkatan jenayah adalah satu harga yang perlu kita bayar untuk kemajuan dan pembangunan, maka kita perlu mengikis aspek negatif pembangunan ini.
"Kebimbangan utama kita ialah wujudnya berbagai penyakit sosial yang menimpa anak-anak belasan tahun dan remaja kita," katanya.
Katanya, ibubapa tidak boleh berlepas tabgan terhadap perkembangan yang tidak sihat ini dan perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membimbing anak-anak mereka supaya membesar sebagai orang yang baik dan sihat.
Anak-anak yang mudah dilentur adalah pada peringkat mereka sedang belajar untuk membedakan baik dan buruk dan sekiranya mereka tidak begitu bijak untuk membedakan di antara yang betul dan salah, mereka akan mudah terjebak dengan perkara yang tidak baik dan membawa kesan buruk, tambahnya.
Bimbingan ibu bapa adalah amat penting pada peringkat pembelajaran ini,katanya sambil menambah, ibu bapa perlu menyemaikan kepada anak-anak bahawa ketelusan hati bermula dari rumah yang bahagia.
Formula yang sangat penting ialah satu keluarga yang bahagia dan sihat adalah merupakan asas yang paling utama dui dalam pembentukan kanak-kanak yang gembira, berfikiran kritikal dan mempunyai harga diri.
"Adalah tidak mencukupi bagi ibu bapa hanya menyediakan makanan, tempat tinggal dan pakaian kepada anak-anak mereka.
Mereka perlu membentuk moral dan elemen-elemen kebijaksanaan di dalam diri anak-anak supaya mereka dapat membuat pertimbangan dan pilihan yang betul.
Disamping itu, guru-guru perlu menggalakkan murid-murid untuk menolak tekanan dari kawan-kawan kepada perbuatan yang tidak baik.
Nilai sejagat terhadap integriti, prihatin dan perkongsian telah membuktikan kejayaannya sejak berabad-abad yang lalu dan tidak ada sebab kita menyingkirkannya pada abad teknologi maklumat ini.
"Malah kita lebih memerlukannya sekarang. Kita tidak perlu panik di dalam menangani penyakit sosial. Tetapi kita tidak boleh menangguhkaannya pada hari esok sedangkan kita boleh melakukannya pada hari ini," katanya.
Beliau berkata, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menyeru semua rakyat Malaysia untuk membangunkan satu budaya yang anti jenayah dan menjadikan keselamatan sebagai cara hidup.
"Kecuali kita bersedia untuk memilih budaya anti jenayah dan keselamatan sebagai cara hidup, memerangi jenayah tidak akan berkesan dan bertahan lama," katanya.
Menurutnya, memandangkan terlalu kerap laporan mengenai kejadian jenayah, sudah sampai masanya bukan sahaja kepada pihak-pihak yang berkenaan tetapi kepada semua masyarakat untuk menyedari perlunya kerjasama, tindakan yang pantas dan berkesan untuk menangani bukan sahaja penjenayah tetapi juga punca-punca dan isu yang mengakibatkan jenayah.