Sehabis membaca Lentera Mustika, novel karya Nisah Haron, saya teringat ibu dan ayah saya di kampung.
Jikalau cinta Prof.Madya Dr.Ainur Mustika dan Emir Johan, atau Syed Amirul Hakim sebelum itu dijalin dengan sebegitu indah bermula dengan kecintaan mereka terhadap warisan tradisi yakni pantun, cinta ayah dan ibu saya juga banyak disulami dengan pantun. Malah kerana cinta dan kasih ayah saya kepada saya, beliau mengarang syair yang berjudul Mula Perkenalan, (syair tulisan tangan dalam aksara jawi dan masih dalam simpanan saya) yang mengisahkan mengenai bagaimana mereka mula bertemu, bagaimana mereka berbalas pantun saling menduga isi hati masing-masing, dan seterusnya bagaimana mereka menghadapi cabaran dan ujian sehinggalah mereka mendirikan rumah tangga.
Itulah sebabnya saya tidak dapat melepaskan novel Lentera Mustika terbitan PTS Litera Utama Sdn.Bhd setebal 406 muka surat itu kerana saya begitu tertarik dengan cara penulisnya mengajak kita supaya mencintai khazanah budaya kita dan digarap dalam aliran cerita yang mengalir lembut, diperkuat oleh pemilihan diksi yang menarik dan penguasannya terhadap pelbagai bidang ilmu. Sang penulis melalui watak-watak yang di
ciptanya seperti Ainur Mustika, Amirul Hakim, Emir Johan, seperti Badariah, Kak Dahl, E Jay, Jasmarina, Zul Farhan,Rozario dan sebagainya itu menghidangkan kepada kita persoalan-persoalan berkaitan seni budaya, hakcipta, undang-undang keluarga, dan sebagainya.
Wajarlah jika sasterawan negara Datuk A.Samad Said mengatakan bahawa Lentera Mustika merakamkan `cinta golongan ilmuan yang wajar dimaklumi murbawan.'. Kata Pak Samad lagi, melalui Lentera Mustika, kita diperkaya oleh pengalaman dan diperbijak oleh Pengetahuan.
Elemen pantun yang segar, yang menjadi tarikan utama dalam novel ini mampu menghidupkan kecintaan kita kepada ilmu dan budaya alam melayu. Ingatan saya hinggap ke halaman-halaman syair karangan ayah saya, Haji Mohd. Shaiddin Mohd.Hashim yang subur dalam tradisi berpantun di kalangan masyarakat Bajau dan Iranun. Bahkan dalam masyarakat Bajau dan Iranun di Kota Belud, budaya `isun-isun' atau `pamiula', yang satu ketika dahulu punya ramai peminatnya kini mulai lesap dan mungkin lenyap jika tiada suatu usaha yang dibuat untuk memulihara dan menyelamatkannya.
Dalam novel Lentera Mustika, Prof.Madya Dr. Ainur Mustika, sebagai seorang sarjana yang cintakan warisan tradisinya bertungkus lumus untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai pantun. Saya kira Nisah berjaya memujuk pembaca untuk mengikuti kisah dalam novel ini yang dijalin dengan benang cinta, dengan keahliannya merangkai cerita. Dalam kata-kata Faisal Tehrani, tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam wilayahnya.Cinta, kemelut, seni dan undang-undang yang dijalin dengan penuh teliti itu menyerlahkan kehebatan Nisah.
Walaupun ada sedikit gangguan-kalau boleh disebut gangguan bagi saya ialah kesukaan penulis menggunakan perkataan memukadimah, yang diulang beberapa kali, mungkin disengaja oleh penulis.
Terdapat juga sedikit kesilapan pada halaman 331 mengenai jalan pintas ke Tenom. Selain melalui Tambunan, Keningau lalu ke Tenom, salah satu jalan lain untuk Tenom ialah melalui jalan Papar, Beaufort, Sipitang lalu Tenom. Mungkin kerana Rozario kurang arif mengenai jalan di Sabah, beliau mengatakan bahawa jalan pintas ke Tenom ialah ikut jalan Beaufort, Papar. Sepatutnya kalau mengikut urutan tempat, maka yang ditulis lebih dahulu ialah Papar, Beaufort, Sipitang lalu Tenom.
Tetapi saya berani mengatakan bahawa Lentera Mustika adalah antara novel terbaik yang terbit pada tahun ini. Novel yang patut dibaca kerana kecemerlangan idea dan pengetahuan penulisnya yang bagi saya luar biasa. Tidak hairanlah jika Nisah memenangi Hadiah Sastera sebelum ini.
Siapakah Nisah?. Saya tidak pernah bertemu dengannya. Tetapi saya telahpun mengikuti perkembangannya sebagai penulis sejak mula beliau menulis. Saya membaca karya-karyanya dalam pelbagai majalah, lebih didorong oleh pertanyaan kami kepada arwah Dr.Haji Othman Puteh, yang saya panggil cikgu itu, mengenai siapakah agaknya penulis muda yang punya potensi untuk menjadi penulis besar di negara ini.
Seingat saya, beliau menamakan beberapa orang dan salah seorang daripadanya Nisah Haji Haron.
Nisah Lahir pada 20 April 1973, di Seremban. Beliau mendapat pendidikan di SMKA Sheik Haji Mohd.Said Seremban sebelum meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang pada 1997. Selepas bertugas sebagai seorang peguam selama lapan tahun, beliau menyambung pengajian undang-undang ke peringkat sarjana pada 2006.
Nisah mula menulis pada tahun 1988 dan cerpennya tersiar dalam Dewan Siswa pada tahun 1990, berjudul di Sebalik wajamu Aries. Beliau menang Hadiah Sastera Perdana pada tahun 1996/1997 melalui karya Persidangan wanita Klasik dan Anugerah sastera Negeri Sembilan 2005 hingga 2007 dalam pelbagai kategori. Cerpennya Annyss Sophile menjadi teks Komsas bagi Tingkatan 4 pada tahun 2000-2009.
Saya bersetuju bahawa cintalah yang membuat cantik. Sama seperti pantun Nisah dalam Lentera Mustika,
Titik tidak membuat tinta,
Tapi tinta membuat titik,
cantik tidak membuat cinta
tapi cinta membuat cantik.
kalau tinta membuat titik,
lukiskan saya garis yang lurus,
walaupun cinta membuat cantik,
manakan sama hati yang tulus.
Penulis Nisah Haji Haron boleh dihubungi melalui http://annyss.blogspot.com
Penulis Nisah Haji Haron boleh dihubungi melalui http://annyss.blogspot.com