Rabu, 21 Oktober 2009

K BALI DALAM KENANGAN

Tags

K. Bali Dalam Kenangan
Oleh ABD. NADDIN SHAIDDIN

ANDAI waktu itu, empat puluh empat tahun yang lampau, dia tidak pandai melukis atau tidak pandai menari, mungkin dia tidak merantau. Ketika itu dia baru berusia 22 tahun tetapi keinginannya yang begitu kuat untuk melihat-lihat negeri orang, memaksanya menyertai rombongan "Booty Suria Negara" sebuah kumpulan bangsawan yang sering menjelajah negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Brunei hinggalah Sabah.
Sesampainya di Sabah, yang lebih dikenali North Borneo ketika itu, dia terus mengambil bahagian secara aktif dalam bidang kebudayaan dan kesusasteraan. Dialah yang mula-mula mencetuskan penubuhan "Angkatan Gaya Baru" atau AGABA pada tahun 1957 dan sejak itu, kesusasteraan Sabah membina jalannya yang tersendiri. Sasterawan, dan budayawan yang banyak jasa itu ialah Abdul Rahim Abdullah, yang lebih dikenali sebagai K. Bali. Pada 18 Jun hari Jumaat, Pak K. Bali kembali ke rahmatullah di Kampung Tendung, Pasir Mas, Kelantan dalam usia 66 tahun.
Allahyarham K. Bali merupakan sasterawan yang suka merendah diri; memiliki sifat kebapaan dan rajin membimbing penulis baru. Berkat bimbingannya, lahirlah puluhan, kalau tidak pun ratusan, penulis yang setiap minggu mengisi ruangan sastera di akhbar tempatan Sabah. Meskipun sudah bergelar tokoh, Pak K. Bali sering menghadiri bengkel dan kursus penulisan. Sikap sentiasa ingin belajar inilah yang menjadikan K. Bali menyimpan segudang pengetahuan dan pengalaman yang berharga. Beliau tidak kedekut ilmu yang dimilikinya dan sering berkongsi dengan orang lain. Sebagai Sasterawan, K. Bali sukar dipisahkan daripada dunia kesusasteraan Sabah.
K. Bali dilahirkan pada 15 Jun1 933, di Kampung Tendong, Kubang Sepat dalam Jajahan Pasir Mas, Kelantan. Beliau pernah bersekolah di Sekolah Melayu Tendong sebelum ayahnya membawanya berpindah ke Selatan Thailand. Di sana, beliau belajar di Sekolah Rendah Beluru di Sungai Padi, Selatan Thailand. Beliau banyak membaca buku dalam bahasa Melayu, Indonesia, dan Thai bagi memperkayakan pengalamannya. Tambahan pula, ketika itu beliau diamanahkan mengurus Perpustakaan Persatuan Buruh di Sungai Padi.
Semasa Perang Dunia Kedua, K. Bali sempat bersekolah di sekolah Jepun. Beliau mengambil kesempatan itu menekuni bahasa Jepun, Thai, dan Mandarin. Apabila British kembali ke Tanah Melayu, ayahnya membawanya balik ke Kelantan. Di sana beliau meneruskan persekolahannya di Nong York Chinese School yang berbahasa penghantar bahasa Mandarin. Beliau lulus darjah tiga pada tahun 1946. Minatnya untuk mempelajari bahasa Mandarin diteruskannya melalui sekolah pos dan mendengar piring hitam.
Pada tahun 1948, K. Bali berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata British dalam pasukan "Auxiliary Frontier Force" dan ditugaskan di sempadan Thailand dan di Kelantan (Rantau Panjang - Golok) tetapi beliau berhenti beberapa bulan kemudian kerana tidak betah dengan tugas tersebut. Ayahnya membawanya kembali ke Sungai Padi dan beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Menengah Pracha Nukheroh sehingga lulus peperiksaan Matayom III (Tingkatan Tiga).
Semangatnya yang membara untuk menimba ilmu tidak pernah padam. Walaupun tidak dapat meneruskan pelajaran secara formal, beliau mengambil peperiksaan SRP dan SPM secara persendirian. Beliau seterusnya mengikuti pengajian luar kampus di Universitas Nasional Indonesia, Jakarta dan lulus Sarjana Muda Sastera dalam jurusan Bahasa dan Sastera Indonesia. Selain itu, beliau mengikuti kursus bertulis hingga ke tahap diploma dalam bidang Perubatan Tradisional Thai dan diploma dalam "Office Administration" dan diploma dalam pentadbiran awam Malaysia.
Beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa Melayu, bahasa Thai, agen pengiklanan, pemungut wang jualan akhbar, pelukis poster wayang gambar malah penjual tiket wayang. Ketika berada di Sabah, K. Bali bertugas sebagai Pengarang Melayu di akhbar Sabah Times selain menjadi peniaga buku dan majalah.
Dalam bidang penulisan, K. Bali menulis dalam semua genre sastera seperti puisi, cerpen, drama, novel, dan esei serta karya non-kreatif seperti sejarah, kebudayaan dan juga biografi tokoh terkenal di dunia. Beliau juga melukis kartun dan komik untuk berbagai-bagai majalah dan buku.
K. Bali mula menceburkan diri dalam sastera apabila puisinya bertajuk "Keindahan Sungai Padi" tersiar dalam majalah Hiburan pada 10 Mac 1951. Cerpen pertamanya bertajuk "Saling Cinta Sama Menguji" tersiar dalam majalah Juita Filem pada tahun 1952. Sejak itu karyanya tersiar dalam pelbagai majalah dengan menggunakan pelbagai nama samaran seperti K. Bali Thailand, Gelora Jiwa, Arjuna Setia, Gema Sukma, Liba K. Pahlawan Pustaka, Bibaliwati, Kawat, dan Kawat Berduri.
Puisi-puisinya pernah diantologikan dalam Restu Dari Langit, Yang Terkasih, dan Debar Berombak selain pernah termuat dalam antologi bersama Ujana Laut Ujana Hati, Dari Pulau ke Pulau, Suara 74, dan banyak lagi.
Beliau juga menghasilkan novel seperti Perjanjian Sejoli, Sosial di Kota Bangkok, Hanya Tinggal Kenangan, Bulan Muda Hati Muda, dan Sarini atau Bogel.
Sebagai pelukis, K. Bali pernah mempamerkan karyanya di Jesselton (kini Kota Kinabalu) pada tahun 1957 dan 1959, Balai Seni Lukis Sabah pada 1986, selain Pameran Solo 65 buah lukisan "Puisi Dalam Kenangan" pada Julai 1988.
Pada tahun 1957, bersama rakan-rakannya yang lain seperti Zakaria Gunn, Tun Faud Stephens, Shafie Anterak, Raskan Asing, dan beberapa orang lagi beliau membentuk persatuan Angkatan Gaya Baru (AGABA). Donald A. Stephens (allahyarham Tun Fuad) menjadi presiden manakala K. Bali setiausaha. K. Bali menjadikan rumah peribadinya Teratai Desa di Kampung Tanjung Aru sebagai markas AGABA. Selain sandiwara, penulisan, dan penerbitan majalah, AGABA bergiat dalam kegiatan kebudayaan, kelas pendidikan, dan kelas masak-memasak.
Apabila Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) ditubuhkan pada awal 1960-an, K. Bali turut menyertai persatuan itu bagi meneruskan perjuangannya dalam bidang bahasa, sastera, dan budaya.
Beliau turut menjadi ahli jawatankuasa Badan Bahasa Sabah (BAHASA) apabila ditubuhkan pada tahun 1970 hasil gabungan APMS dan Persatuan Penulis-Penulis Sabah (PERPESA). Melalui BAHASA, K. Bali menyumbangkan tenaga dan idea demi keutuhan dunia kepenulisan di negeri Sabah. K. Bali juga Ahli Jawatankuasa penuh Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) sejak 1975.
Sebelum ke Sabah, K. Bali juga mempelopori penubuhan Angkatan Sasterawan Muda Pantai Timur (ASMUPATI) di Kelantan pada tahun 1954. Asmupati kemudian diubah namanya menjadi Persatuan Penulis Kelantan (PPK).
Selama 48 tahun bergiat dalam bidang, K. Bali menghasilkan lebih 30 buah buku yang merangkumi kesusasteraan, sejarah, komik, cerpen, novel, puisi, dan sebagainya. Setelah berkecimpung dalam dunia kesusasteraan dan kebudayaan, K. Bali dianugerahkan bintang kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 1984, Keris Pejuang Kebudayaan Sabah (1984), dan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 1986.
Salah satu peristiwa yang sukar dilupakan ialah tindakannya menghantar rambut panjangnya sepanjang 30 sentimeter kepada Tun Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas digunting sebagai membayar nazar kerana Malaysia terbentuk pada 16 September 1963. Beliau menyimpan rambutnya sehingga panjang sebaik-baik YTM Tunku mengumumkan hasratnya menubuhkan Gagasan Malaysia pada 1960. Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah juga pernah memberikan penghargaan kepada beliau pada Malam Penghargaan Penulis pada tahun 1989. K. Bali pernah menjadi Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Sebenarnya DBP Sabah sedang mengatur persiapan untuk Majlis bersama Karyawan Tamu dan Pameran Puri Minda pada bulan Julai. Tetapi hajat itu tidak kesampaian.
Ikatan Penulis Sabah (IPS) juga tidak ketinggalan memberikan penghargaan pada Malam Nostalgia Sasterawan Sabah, di Kota Kinabalu pada 1997.
Selepas bermastautin di Sabah selama lebih 43 tahun, akhirnya K. Bali pulang ke kampungnya di Kampung Tendung, Pasir Mas Kelantan, pada tahun 1998. Beliau sempat ke Sabah pada awal Mac lepas dan bercadang untuk kembali semula ke Sabah pada bulan Julai untuk memenuhi undangan DBP.
Beliau tidak lagi kembali selepas itu. Rupa-rupanya beliau telah pulang ke negeri yang lebih abadi
*Pernah tersiar dalam Majalah Dewan Sastera 1999