Isnin, 27 Julai 2009

Terkapus-kapus dan maja-maja

Tags

Setengah berlari, saya melaju untuk ke Asia City. Sepatutnya saya sudah tiba di sana, tapi kerana terjumpa lagi dengan seorang kawan, saya memperlambat sedikit langkah kaki. Akhirnya ketika ditanya, bila saya akan tiba, saya beritahu bahawa saya setengah berlari menuju ke sana.

"Berhati-hati.Jangan sampai terkapus-kapus" Saya sebenarnya berasa lucu kerana sudah lama tidak mendengar perkataan kapus-kapus itu. Mungkin terkapus-kapus itu hanya boleh diertikan oleh orang sabah sendiri, yang maksudnya tercungap-cungap. Itulah antara kekayaan bahasa Melayu Sabah.

Beberapa malam yang lalu, Haji Abdullah mewakilkan Cikgu Hajat untuk menghadiri seminar mengenai adat. "Cikgulah yang pandai Maja-Maja" katanya. Maja-maja, jarang saya mendengarnya adalah perkataan bajausama yang membawa erti lebih kurang bersilat kata. Atau mungkin juga boleh diertikan dengan bermadah-madah.

Saya fikir di antara kita,ada juga yang terkapus-kapus tidak dapat menjawap persoalan sehingga tidak mampu untuk bermaja-maja lagi. Ada juga yang maja-maja sehingga terkapus-kapus. Saya tersenyum sendiri memikirkan perkataan maja-maja dan kapus-kapus itu. Saya tidaklah pintar maja-maja kerana ada kalanya saya juga terkapus-kapus memikirkan apa sebaiknya intro tulisan saya.