Khamis, 30 Julai 2009

Kenangan ketika bertemu guru

Tags

Manis untuk dikenang.Tanpa mereka saya mungkin gagal menjadi wartawan. Mula-mula saya nampak cikgu Suhaindo Rambayau. Beliau banyak berjasa kepada saya.Malah saya pernah tinggal kira-kira dua tahun di rumahnya di flat guru SMK Taun Gusi. Daripadanya saya belajar menulis kerana saya paling rajin membaca karya-karyanya. saya membuat puisi dan meminta cikgu Suhaindo membacanya. Kerana amat sukakan puisi Meditasi, karya Kemala, saya pernah cuba menulis puisi panjang seperti itu. Tapi bagi seorang pelajar Tingkatan Empat 1984, puisi yang saya hasilkan dipengaruhi di sana sini oleh buku penyair yang saya baca. Puisi Malaysia-Indonesia, Puisi Hadiah karya Sastera yang jadi teks tingkatan enam ketika itu, paling suka saya membacanya. Bila cikgu selalu mengungkapkan perkataan `mungkin saja' saya sangat sukakan ungkapan itu. Apatah lagi cikgu Suhaindo memang sudahpun jadi penulis sewaktu beliau di Maktab Perguruan Gaya lagi, dengan nama pena Mas Surya. Saya gembira melihat beliau sihat kerana ketika bertemu iparnya sewaktu kami sama-sama ke Melaka, khabarnya cikgu kurang sihat. Tetapi bila melihatnya dalam majlis di Tang Dynasty itu, saya sungguh gembira.
"Isterimu masih di Tawau?" tanyanya. Saya mengangguk dan merasa betapa besar perhatiannya dan keprihatinannya kepada kami, murid-muridnya. "Masih di Tawau, isteri masih kerja, anak sekolah disana juga. Di KK sukar betul cari sekolah, semua penuh," kata saya.
Perbualan singkat itu sangatlah bermakna bagi saya. Saya ternampak juga cikgu Abdul Rahman Haji Pulah, guru bahasa Malaysia. Juga Cikgu Ghazali dan isterinya cikgu Jinteh. Pada malam itu juga saya sempat berjumpa dengan Datu Matlan Datu Unjong dan Cikgu Salgaring Wahid yang kini bertugas di SK Tugoson. Auntie Cikgu Maileh Kula juga ada, dan menegur perut saya yang agak buncit.
saya sempat bersalaman dengan Cikgu Selamat Omar, Guru Besar yang paling saya minati dulu kalau dia menjadi pengacara majlis.
Big Brother saya juga ada. Kami sempat bercakap mengenai Pijo, yang kini melukis kartun untuk majalah Ujang.Kalau Pijo di KL, sudah tentu maju malah, kata Big Brother Ma' Sidaq, Pijo bahkan pernah ditawarkan gaji yang lumayan sekiranya sanggup bekerja di KL.
Selepas saja majlis itu, kami minum di Restoran Zaminah. Dengan HA, Endra, dkk serta Cikgu Jeniar, mantan Setiausaha UMNO Bahagian KB. Beliau kini bertugas sebagai GB SK Menunggui. Cikgu Jeniar pernah mengajar saya subjek bahasa Malaysia dan beliau ingat satu ketika dulu, saya suka mengarang keluar tajuk. Sekarang beliau menjadi wartawan, saya bangga, katanya. saya agak terharu dengan kenyataan itu. Banyak ingat yang muncul kembali di Minda saya. banyak kenangan waktu di sekolah, yang kami ceritakan. Cikgu Jeniar, Ketua Guru Disiplin yang ditakuti murud-muridnya.Juga jurulatih bolasepak di sekolah. Kerana satu ketika dahulu, saya kurang pandai melukis, maka setiap waktu mata pelajaran lukisan, saya selalu mendapat alasan untuk ikut berlatih bola, walaupun saya hanya tersenarai sebagai pasukan C di sekolah, atau dengan kata lain, hanya sebagai penonton.
Banyaklah kenangan bila terjumpa cikgu.saya bersyukur dan berterima kasih kerana jasa bakti mereka kepada saya.