KENANGAN JAUH DI PULAU
oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
Hampir seluruh penduduk pulau Mantanani berada di jeti ketika kami tiba (pada kunjungan pertama Februari 2009). Saya tidak begitu pasti apa sebabnya tetapi setiap orang berjabat tangan dengan saya. Selepas itu berpawailah kami ke bangunan sekolah yang terletak tidak jauh dari situ. Berjalan di bawah pohonan kelapa dan rumah orang kampung yang miskin tapi ikhlas hatinya.
Saya terharu dengan sambutan mereka terhadap kedatangan kami. Dalam rombongan itu ada guru besar, ada serombongan pegawai dan kakitangan Yayasan Sabah yang datang untuk mengadakan kursus motivasi pendidikan. Penduduk kampung keluar beramai-ramai setelah diberitahu bahawa dalam rombongan itu, turut serta seorang wartawan yang datang untuk menemubual penduduk kampung mengenai hal ehwal pulau itu.
Seorang pemuda kampung, pendek tapi gagah orangnya mendekati saya.Kalau tak silap namanya Rumi."Saudara pemberita, nanti kita jumpa selepas ini, ada yang ingin saya katakan," katanya.
Itulah perkenalan saya yang pertama dengan Mantanani, sebuah pulau yang hampir yatim piatu di perairan Kota Belud itu. Masyarakatnya masih daif dan miskin walaupun ramai juga yang memiliki rumah yang cantik. Hampir semua penduduknya bekerja sebagai nelayan. Hidup diamuk gelombang semata-mata untuk mencari rezeki dari perut lautan untuk memberi makan anak isteri mereka di rumah.
Pulau Mantanani boleh dikatakan sebuah pulau yang cantik.Boleh dihubungi satu jam setengah dari Kuala Rampayan.Meskipun begitu, pulau yang berpenduduk kira-kira 1,000 pengundi masih belum dijenguk pembangunan.Terdapat beberapa buah kampung dan beberapa cawangan parti politik di sana.
Satu ketika dahulu pulau Mantanani terkenal kerana beberapa sebab.Pertama kerana ia mempunyai sarang burung layang-layang. Pulau itu juga menyimpan derita ketika para lelakinya dibunuh Jepun. Kemudian beberapa tahun lalu, muncul ikan dugong yang menjadikan pulau itu dikenali sebagai lokasi pelancongan yang menarik. Satu sebab lagi, yang menjadikan pulau itu terkenal ialah pelajar di sekolah itu pernah mencatat kosong peratus dalam UPSR.
Padahal sebelum itu, sudah ada anak Mantanani yang berjaya menjejak kaki ke Universiti, ada menjadi guru dan pegawai kerajaan. Entah kenapa prestasi pelajar menjadi sangat menurun, mungkin kerana kesan PPSMI atau komitmen tenaga pengajar yang longgar. Tetapi itu cerita lama.Kini sekolah itu mulai bangkit untuk mencatat kecemerlangan dalam pelajaran.
Saya kemudian dikerumuni oleh masyarakat kampung itu seolah-olah saya seorang yang didatangkan untuk menyelesaikan mereka.Saya hanyalah seorang wartawan, yang datang merakam kesedihan dan keperitan hidup mereka."Tugas saya hanya menulis berita." saya memberitahu mereka begitu.
"Tolong encik, tolong, encik tulis cerita kami,". "Kami miskin, anak ramai, atap rumah bocor," katanya. Lihat dinding rumah kami, papan bocor atau zink yang panas, sekadar untuk tempat berteduh.
Tidak pernah, sepanjang kerjaya saya, orang-orang yang begitu sukarela menceritakan kepahitan hidup mereka. Sebelum ini, ada orang yang rasa terpaksa bercerita, ada yang lain terpaksa dipujuk, dan bermacam-macam cara untuk mendapatkan berita.Tetapi di pulau ini, mereka tidak segan-segan mengeluarkan segala isi hati mereka.
Saya ingat seorang bernama Habli Tohmajun. Beliau menghadapai masalah mendapatkan my kad, padahal beliau penduduk pulau yang asal. Ketika mahu menukarkan kad pengenalan, beliau dikenakan denda atas sebab tertentu dan beliau tidak mampu membayarnya.Syukurlah, masalahnya telah diatasi dan kini, khabarnya dia sudah mempunyai my kad baru.
Apa yang paling mengejutkan saya ialah semangat golongan belia, yang mengadakan pertemuan dengan saya selepas itu.Enam atau tujuh orang mengerumuni saya dan memberitahu betapa yang paling penting ialah supaya kerajaan memberi perhatian ke arah peningkatan mutu pendidikan di sekolah itu.
"Kami mahu guru yang komitmen mengajar anak-anak kami, kami tak mahu lagi melihat anak kami mengikuti jejak kami sebagai nelayan.Kalau mereka mahu menjadi nelayan, biarlah mereka jadi nelayan dengan mempunyai ilmu teknologi yang tinggi," kata Rumi.
Kebimbangan mereka beralasan kerana sekolah itu pernah mencatat kosong peratus dalam UPSR beberapa tahun kebelakangan.Hanya pada tahun lalu, angka telur itu dapat dipecahkan. Mereka sanggup berkorban, malah sanggup meninggalkan buat sementara kerjaya sebagai nelayan semata-mata mahu mempertahankan seorang guru besar supaya tidak dipindahkan bertugas di tempat lain.
Ketika ternampak penduduk yang masih menggunakan telaga untuk air minum, saya teringat kampung-kampung di pedalaman yang pernah saya lawati. Keadaannya hampir sama. Di Malubang Pitas, dan beberapa tempat lain lagi.Malah di kampung saya sendiri, walaupun sudah 46 tahun pembentukan Malaysia, penduduknya masih menggunakan air graviti.
Saya cuba menemuramah mereka.Menanyakan duka yang mereka alami. Berapa anak mereka, berapa pendapatan mereka, berapa tanggungan mereka dan banyak lagi. Tetapi yang lebih mengharukan ialah betapa besar harapan mereka kepada saya, seolah-olah seorang pemimpin yang telah lama ditunggu.Tapi saya bukan wakil rakyat. Saya hanya seorang kuli tinta.
"Kami sudah lama minta bantuan tetapi sehingga sekarang, kami belum dapat bantuan lagi," kata seorang lagi penduduk. "Kami tinggal di bawah kolong, menumpang rumah orang tua". Kami sudah buat permohonan, tetapi janji tinggal janji.
"Kalau pilihanraya, mereka janjikan apa saja lepas itu mereka lupa semua". "Tulislah kisah hidup kami tuan," kata seorang yang lain lagi.."Ah sana lagi tuan, tolong ambil gambar supaya mereka tahu penderitaan kami".Saya terus menggambar dan menggambar, memotret wajah-wajah mereka. Mungkin lebih dua puluh rumah yang kami kunjungi, saya tidak ingat lagi kerana tidak sempat bertanya mereka semua.
Saya mengambil gambar sehingga hari gelap, sehingga saya sedar, tidak mungkin dapat mengambil foto mereka semua dalam kegelapan itu. Tapi saya terus menggambar walaupun saya percaya tidak mungkin dapat menggambarkan kepiluan dan kepedihan hidup mereka.
Catatan ini tersiar dalam ruangan Nota seorang wartawan Utusan Borneo 13 Julai 2009
Isnin, 13 Julai 2009
Kenangan jauh di pulau
✔
abd naddin
Diterbitkan 4:45 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments so far
salam.. tulisan sdr melalui blog, hasil nukilan ini lah yang terbaik yang pernah saya baca.