Rabu, 1 Julai 2009

Jurry Foo Mengarang Wulan

Tags

Banyak tradisi masyarakat kita yang kini semakin dilupakan orang.Kadang-kadang ia lenyap tanpa disedari. Hanya apabila orang-orang tua itu meninggal, barulah kita tahu bahawa ia membawa bersamanya khazanah yang tidak ternilai harganya.
Salah satu tradisi yang luput ialah amalan bertani suku kaum Dusun di Ranau yang mengerjakan tanah pertanian mereka berdasarkan bentuk bulan di angkasa.
Mujurlah Jurry Foo @ Jurry F Michael menulis mengenai amalan tradisi masyarakat sukukaum Dusun ini.
Bagi saya, Jurry yang juga pensyarah program geografi di SSS Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini telah memberi sumbangan yang besar apabila menulis mengenai `Mengarang Wulan' iaitu pengurusan biosfera secara tradisi sukukaum Dusun yang semakin dilupakan.
Artikel yang tersiar di Utusan Borneo-akhbar yang mempunyai sebanyak 84,000 edaran di seluruh Sabah dan Sarawak itu pada 29 Jun lalu bukan saja wajar diberi pujian malah perlu diberikan perhatian oleh para pengkaji.
Mengarang Wulan, kata Jurry, yang juga pendeklamator puisi-antara yang terbaik di negeri ini satu ketika dulu- bukan sebuah kisah lagenda, bukan pula sebuah tajuk syair klasik, mahupun sebuah kisah lama menjadi ilmu tradisi dan menuntun masyarakat tani suku kaum Dusun dalam menguruskan kehidupan dan kelestarian alam sekitar.

Secara mudahnya, kata Jurry lagi, Mengarang Wulan boleh diterjemahkan sebagai membaca bulan. Amalan meramal bulan, telah menjadi budaya dalam kegiatan tani masyarakat dusun.Menurut beliau, amalan itu telah diwarisi secara turun temurun secara lisan dan pengalaman.
"Inilah salah satu warisan intelek yang patut dipelihara, dinilai dan diadaptasi dalam pengurusan biosfera, terutama dalam bidang pertanian dengan mapan," kata Jurry , seorang personaliti yang mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang pelbagai. Beliau merupakan salah seorang atlit Malaysia dalam Sukan Karate yang pernah mewakili negara ke sukan peringkat antarabangsa, antaranya Sukan Sea Jakarta.

Tetapi Jurry menemui ilmu mengarang wulan itu dalam perjalanan yang tidak dirancang di Kampung Toruntungon Ranau, apabila beliau menemui catatan di pintu dapur seorang petani yang kini sudah meninggal.
Saya sebenarnya sangat tertarik dengan tulisan Jurry ini. Beliau menulis bahawa Bulan Kelintabasan, Geger (disebut juga sebagai Gogor oleh sesetengah dialek Dusun) dan Tonob misalnya, adalah waktu yang baik menanam kacang.
Bulan Giuk pula adalah bulan yang dilarang untuk sebarang aktiviti pertanian.
"Ini kerana berdasarkan pengalaman, penanaman yang dilakukan pada bulan Giuk akan menyebabkan tanaman diserang ulat atau penyakit. Ia lebih difahami sebagai `bergiuk (berulat) sesuai dengan bentuk bulan yang kelihatan seperti ulat.
"Biasanya penanaman dilakukan pada bulan yang baik, dimana bentuknya adalah penuh, namun tidak pada bulan yang mempunyai bentuk yang kelihatan seperti timbul dan terlalu terang. Ini dipercayai tidak sesuai untuk melakukan sebarang kegiatan pertanian kerana boleh menyakitkan sakit mata.," tulis Jurry.

Kalau Bulan Besur, ia hari yang tidak baik untuk menebas kerana menyebabkan tanaman mati sebelah, kalau bulan Katang, hari yang baik untuk menanam segala jenis bambu, kalau bulan tuniyan, hari yang baik untuk menanam segala jenis tanaman kerana benih yang ditanam akan menjadi, kalau bulan Tentelu, hari yang baik untuk melakukan apa saja kegiatan, kalau rampagas, hari yang sesuai untuk menanam buah-buahan kerana ia menghasilkan buah yang lebat , kalau Kempusan, hari yang paling sesuai untuk menanam semua jenis tanaman akar.
Pengetahuan tradisi ini adalah hak milik masyarakat Dusun yang menunjukkan tingginya nilai pengetahuan dan unggulnya hubungan manusia dan alam sekitar dalam kelangsungan hidup.
Tetapi sekarang, berapa ramaikah generasi muda dari sukukaum Dusun yang mengetahui atau mempunyai pengetahuan mengenai ilmu membaca bulan ini. Apakah pertanian moden, saya ingin mengulang pertanyaan Jurry, sudah cukup baik menggantikan `Mengarang Wulan' yang sudah lama melestarikan biosfera dan menjamin kelangsungan hidup manusia.
Kepada Jurry, saya berharap semoga beliau terus menulis untuk memperkaya dan memperkasa budaya kita.

5 comments

Salam. Terima kasih kerana menyebarkan sari tulisan Jurry dalam blog ini. Sayang, saya tidak dapat membaca artikel penuh Jurry. Wassalam.

Saya boleh mengirimkan keratannya kepada cikgu. Alamat nanti emelkan ke abdnaddin@yahoo.com.
Atau cikgu juga boleh menghubungi jurry foo melalui facebook. Harap cikgu sihat. Lama tak jumpa.

TERIMA KASIH ATAS SOKONGAN ABANG ABD NADDIN...SALAH SAORANG 'GURU' DAN PENDORONG SAYA SEMASA GIAT DDENGAN DBP....TERIMA KASIH KERANA TERSIARNYA 'MENGARANG WULAN' HAL MILIK MASYARAKAT...

SALAM

tahniah tuk puan Jurry. sememangnya puan seorang pensyarah yang amat hebat dan prihatin.. moga kejayaan sentiasa mengiringi puan dan kita semua.. (n_n)

Terima kasih Cik Lina. Saya biasa-biasa saja. Tapi saya gembira ada yang menghargai seperti Cik. Semoga kita belajar bersama2. Banyak lagi yang saya perlu belajar.