Rabu, 10 Jun 2009

Penduduk Inanam dan Menggatal terdedah banjir kilat

Tags

PENDUDUK INANAM DAN MENGGATAL TERDEDAH BANJIR KILAT

KOTA KINABALU: Kalau dahulu, selebat manapun hujan turun, ia tak pernah membimbangkan penduduk di kawasan Inanam dan Menggatal tetapi sekarang walaupun hujan turun sekejap, ia boleh mengakibatkan banjir kilat yang menjejaskan kehidupan penduduk kampung.
Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Jumat Haji Idris berkata sebelum ini banjir tidak pernah berlaku di kawasan itu kerana kawasan tadahan air dan kawasan paya bakau masih luas.
"Lagipula Sungai Gudon dan Sungai Rampayan masih mampu mengalirkan air hujan yang datang dari kawasan darat untuk keluar ke laut,"" katanya kepada Utusan Borneo.
"Tetapi sejak pembinaan projek-projek pembangunan dan taman-taman perumahan di kawasan itu, beberapa buah kampung seperti Kampung Tebobon, Darau, Gudon, Rampayan Menggatal dan kampung lain sering terjejas akibat banjir kilat yang sering berlaku," katanya.
Beliau memberitahu, kira-kira 10,000 penduduk terdedah kepada ancaman banjir kilat dan mereka bimbang keadaan akan bertambah teruk sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah yang perlu bagi mengatasi masalah itu.
Katanya, banjir berlaku kerana pertembungan air pasang besar dengan air hujan sementara muara sungai Likas, Inanam dan Kuala Menggatal mengalami lambakan pasir di dasarnya yang sudah tentu melambatkan pergerakan air keluar dan ini menyebabkan banjir kilat sering berlaku dari Tebobon ke Inanam, dari Gudon hingga Rampayan.
Jumat meminta supaya kerajaan membuat perancangan pembangunan yang teliti termasuk memastikan sistem perparitan dibina,penebangan bakau tidak dilakukan sesuka hati dan sebagainya.
Beliau juga berkata, tender untuk tambatan banjir di Sungai Telipok, Sungai Menggatal sudah dianugerahkan kepada kontraktor tetapi sehingga kini belum dimulakan lagi walaupun sudah enam bulan berlalu.
Katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga hendaklah memantau projek perumahan yangsedang dibina supaya ia tidak menutup parit yang banyak berlaku di sepanjang Jalan Sepanggar dan juga di tempat lain.

3 comments

Tidak menghairankan, jika Inanam akan di serang banjir, kerana kawasan itu berada di bawah paras laut, walaupun berada jauh dari laut

Setuju dengan saudara Musram... sebagai tambahan mengikut kajian saya ia adalah kesan penarahan bukit yang berleluasa sehingga parit utama tertimbus, proses urbanisasi yang menyebabkan sungai mengecil dan dipenuhi sampah sehingga gagal menampung kapasiti air yang banyak dan sistem tebatan banjir yang lemah.

Parit2 utama di bersihkan dan luaskan dan di dalami supaya air cepat mengalir ke sungai2 utama