"Minta kayu balak bos!" kata Mr Robert selepas kami menikmati sup tulang gerai jawa di Kun Hin.
Pelayan restoran itu datang membawa kayu pencungkil gigi. Saya terfikir mengapa agaknya kayu pencungkil gigi itu dipanggil kayu balak? Saya tersenyum sendiri membayangkan bagaimana agaknya kalau benar-benar batang kayu balak yang diangkat oleh pelayan itu. Berapa orang, berapa lama masa yang diambil untuk mengangkatnya?
Mungkinkah kayu pencungkil gigi itu diperbuat daripada kayu balak? Atau oleh kerana kayu balak di hutan Sabah sudah habis, maka yang tinggal hanya kayu balak sebesar pencungkil gigi.
Kayu balak adalah satu kosakata yang banyak mempengaruhi cara hidup orang Sabah. Dengan wang hasil kayu balak, orang Sabah membina negerinya, memberikan pendidikan kepada rakyatnya, memberi kemudahan kesihatan, meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi mereka. Kayu balak yang menjana ekonomi Sabah satu ketika dulu memberi banyak manfaat kepada rakyat Sabah, tidak kurang juga orang yang memanfaatkan kayu balak itu untuk kekayaan diri dan kemewahan diri mereka sendiri.
Dulu pernah ada orang terbang ke Singapura semata-mata untuk bergunting rambut. Entah kerana terlalu banyak kayu balaknya kah ataukah kerana ketika itu tidak ada tukang gunting di negeri ini? Perbuatan-perbuatan mubazir itu akhirnya membawa padah kepada kita sehingga menjadikan kita lalai dan leka, terbuai dengan kemewahan sehinggakan Sabah yang dulu merupakan negeri terkaya di Malaysia kini menjadi negeri termiskin di Malaysia.
Kalau dulu kata Datuk Samad Maharudin, bekas Exco Selangor yang pernah lapan bulan bekerja dengan arwah Tun, orang Sabahlah yang menghantar duit ke Semenanjung untuk belanja pilihanraya. Tetapi kini sebaliknya, orang Sabahlah yang banyak meminta.
Di kampung-kampung, kayu balak juga menyebabkan orang muda jadi tua.Usianya bertambah atau ditambah dua atau tiga tahun dari usia asalnya semata-mata bagi melayakkan mereka menerima wang Amanah Tun Mustapha yang kemudian ditukar namanya kepada Amanah Rakyat Sabah. Setiap rakyat yang mencapai usia 21 tahun layak menerima wang amanah rakyat itu.
Saya pernah juga `ampit' sekali. Di sebalik pro dan kontranya, sekurang-kurangnya rakyat Sabah pernah menikmati wang hasil kayu balak itu. Tetapi kini kayu balak tidak banyak lagi di hutan kita.
Jadi mengapa kayu pencungkil gigi itu diberi nama kayu balak? saya pernah bertanya kawan-kawan di Facebook. Alvin Ting menyatakan ini kerana kayu pencungkil gigi dibuat dari kayu balak.Saiee Driss, penyair dari Sarawak mengatakan bahawa kerana kini sedikit saja, yang diagihkan maka yang sedikit itu dilihat sebesar balak. Mungkin juga yang tersisa di hutan kita hanya kayu sebesar pencungkil gigi kerana telah ditebang dan dimusnahkan.
"Tapi jangan salah anggap.Di Sabah dulu hanya ada satu jenama kayu pencungkil gigi yang jual dan lambang di kotaknya lambang kayu balak.Itu sebabnya kayu pencungkil gigi lebih senang dipanggil kayu balak," kata Patrick Mosinoh.
Jumaat, 5 Jun 2009
Misteri kayu balak di Sabah
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:47 PTG
Tags
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
10 comments
Salam Ziarah. Sebagai seorang penulis, Saudara Naddin S masih boleh pergi jauh menakluki "kayu Balak" dan misterinya yang sebenar. Rasanya sindir-sindir baik juga kerana Sdr Naddin mahu berceritra dengan cara sendiri. "Senipun harus indah supaya kita mencintainya". Sdr Nadin berupaya menulis kayu balak dengan lebih baik. Misalnya: Kesanya terhadap environment; Penebangan kawasan Balak-FMU yang digantikan dengan getah di Keningau puluhan ribu hektar oleh Sykt Dari Guangdong, Cina-Kesan: Muslihat dan alternatif yang lebih baik atau kenapa kawasan balak FMU ditebang lalu ditanam getah bukan kawasan getah di Ulu Tomani yang di tanam semula. Sebagai pemberita harus lebih provokatif seperti Sam Donalson yang amat digeruni Ronald Reagan atau seperti Barbara Walter yang dapat menjejaki Adnan Kashugi hingga terpaksa dan sanggup menemu ramahnya di atas kapal terbang mewahnya. Maaf. Saya faham juga "individual rigat". Sebab itu saya berkunjung walau jarang-jarang. Manalah tau kena bawa minum teh tarik dan makan roti canai mamak, boleh minta kayu balak. Wassalam.
Saya berasa sangat terhormat dikunjungi Senjaliza pada pagi ini, yang walaupun saya belum kenali tetapi saya amat menghargai buah fikirannya.Terima kasih atas komen. Tetapi rasanya untuk menjadi Sam Donalson atau Barbara Walter dalam iklim di negeri kita ini, mungkin agak sukar walaupun tidak mustahil. Saya yakin masanya akan tiba untuk lahirnya jiwa merdeka dan kita dapat membebaskan diri dari minda yang terpenjara.Buat masa ini,saya hanya berusaha bercakap baik dan benar sebab baik belum tentu benar.
abg. naddin..
pa'al sokong! BERKISAH DENGAN CARA SENDIRI..! kalau senja nak tulis tentang balak FMU, tulislah. Dan, dengan cara sendiri. Provokatif hanya istilah. Citarasa dalam menulis ada di peribadi. Saya lebih suka tulisan abg nad yang informatif dalam kesederhanaan dan paling penting 'sampai di hati', kerana keikhlasan terasa dalam tulisannya. Tak perlu kata-kata bombastik. Penatlah :-)
salam abdnaddin,
Saya sangat tertarik dengan entry saudara ini.
Suatu ketika dulu Sabah GAH dengan hasil2 bumi yang mengangkat nama Sabah sebagai negeri kaya di Malaysia.
Kiranya Abdnaddin bisa menyelongkar cerita 'kayu balak' ini.
Di mana silapnya bila kita menjadi papa dan meminta-minta?
kita menjadi papa dan meminta-minta, saya kira silap kita sendiri.Silap orang kita sendiri, silap pemimpin kita sendiri. Kita selalu mengamalkan politik bercakaran sehingga orang lain mengambil kesempatan itu dalam percakaran itu untuk membuat kita bercakaran lagi. Natijahnya kitalah yang rugi
25 tahun yang lalu semasa menyertai kawan-kawan Kumpulan Anak Seni di Melaka (tidak silap Hari Puisi Nasional) saya teringat ungkapan kayu balak ni, tapi yang kami ucap tu 'kulit kayu balak'. Fikiran ini hanya memfokuskan kepada seorang kawan yang membelanjakan duitnya untuk minum2 dan makan. Ini baru 'kulit kayu balak'... maksudnya ada banyak lagi duitnya atua dukit kami yang berasal dari Sabah. Masa tu memang 'loaded'lah, kerana banyak sekali peluang anak-anak seni menyertai aktiviti seni dan sastera di luar Sabah sama ada di Semenanjung, Brunei dan Indonesia. Kami mendapat biaya keraajaan Negeri secara mewah. Yayasan Sabah banyak membantu selain Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan...tidaklah seperti sekarang ni... Banyak sekali aktiviti seumpama terlepas... kecuali yang betul-betul masih ada 'kulit kayu balak'nya...
Kayu balak sudah tiada tapi bumi Sabah miskin pula
kayu balak mungkin sudah tiada tapi `kayu balak' masih disediakan selepas kita makan di restoran
biasa la tu.... makin lame makin kurang la hutan yang ade pokok balak... yang makin banyak hutan batu..... saya ni sbnarnye pelajar sains perhutanan... xpe la.... nanti kita orang tanam balik pokok balak banyak2....
betul tu